اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Ketetapan Menjemput Penceramah Bagi Program Anjuran Kementerian dan Agensinya, Masjid dan Surau di Wilayah Persekutuan

Ketetapan Menjemput Penceramah Bagi Program Anjuran Kementerian dan Agensinya, Masjid dan Surau di Wilayah Persekutuan

Adalah dimaklumkan bahawa, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Tauliah Mengajar Agama Islam) (Pindaan 2021) menyatakan bahawa:

"tiada seorang pun boleh diterima sebagai pengajar, melainkan jika dia diberikan tauliah untuk mengajar agama Islam"

 

Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III - Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya, Seksyen 11: Mengajar agama tanpa tauliah menyatakan

"mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 96 Akta Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya"

 

Sehubungan itu, mana-mana kementerian dan agensinya, masjid serta surau di Wilayah Persekutuan yang ingin mengundang mana-mana penceramah untuk menyampaikan sebarang maklumat berkaitan agama Islam dalam sesuatu program hendaklah memastikan:

  1. penceramah berkenaan mempunyai Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan;
  2. tauliah yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Wilayah Persekutuan (JPPAWP); dan
  3. tauliah penceramah tersebut masih sah.

 

Sekiranya kementerian dan agensinya, masjid serta surau Wilayah Persekutuan ingin mengundang mana-mana penceramah samada warganegara Malaysia atau bukan yang tidak mempunyai Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan, maka pihak penganjur hendaklah memohon Tauliah Khas menurut kaedah berikut:

  1. mengemukakan "Surat Permohonan Tauliah Khas" dengan lengkap kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dalam tempoh tidak kurang 14 hari daripada tarikh program yang dirancang dilaksanakan.
  2. memastikan surat tersebut disertakan dengan dokumen profil penceramah, dokumen latar belakang pengajian penceramah dan maklumat program.
  3. JPPAWP melalui PMWP akan mempertimbangkan pengeluaran Tauliah Khas kepada penceramah yang diundang; dan
  4. penceramah yang berkenaan hanya dibenarkan berceramah pada tarikh dan lokasi seperti yang dipohon oleh pihak penganjur sahaja.

 

DATUK DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH
Mufti Wilayah Persekutuan