Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #23: MENGUCAP SYAHADAH DALAM BAHASA LAIN

shahdah

 

Soalan: Bolehkah orang yang ingin masuk Islam mengucap syahadah dengan menggunakan bahasa yang dia fahami? Ini kerana dia belum mampu melafazkan dlm Bahasa Arab. Atau adakah dia tetap kena mengucap dlm Bahasa Arab juga?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Syahadah (شهادة) dari sudut bahasa ialah pecahan daripada perkataan (شهد) yang memberi maksud menyaksikan. (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 406). Perkataan syahadah juga boleh diertikan memberitahu apa yang dilihat, menafsirkan apa yang diketahui (Lihat Mu'jam al-Wasit, hlm. 516)

Mengucap dua kalimah syahadah merupakan rukun yang pertama daripada lima rukun Islam. Hal ini sepertimana hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahwasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya ‘Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh dari-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam surga berapa pun amal yang telah diperbuatnya.”

Riwayat Bukhari (3435)

 

Adakah Boleh Mengucap Syahadah Dalam Bahasa Lain?

Menjawab isu di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Nawawi, kata beliau:

أَمَّا إِذَا أَقَرَّ بِالشَّهَادَتَيْنِ بِالْعَجَمِيَّةِ وَهُوَ يُحْسِنُ الْعَرَبِيَّةَ فَهَلْ يُجْعَلُ بِذَلِكَ مُسْلِمًا ؟

فِيهِ وَجْهَانِ لِأَصْحَابِنَا : الصَّحِيح مِنْهُمَا أَنَّهُ يَصِير مُسْلِمًا لِوُجُودِ الْإِقْرَار ، وَهَذَا الْوَجْه هُوَ الْحَقّ  .

Maksudnya: Adapun sekiranya berikrar dua kalimah syahadah dengan selain Bahasa Arab sedangkan dia boleh berbahasa Arab, adakah ia dapat menjadikan seseorang itu sah menganut Islam?

Padanya terdapat dua pendapat. Yang sahih daripada kedua-dua pendapat tersebut ialah dia menjadi Muslim kerana wujudnya iqrar (pengakuan). Pandangan inilah yang benar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 1/69)

Imam al-Mawardi pula berkata dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir:

وَالْمَقْصُودُ بِالشَّهَادَتَيْنِ: الْإِخْبَارُ عَنِ التَّصْدِيقِ بِالْقَلْبِ، وَهَذَا الْمَعْنَى يَسْتَوِي فِيهِ لَفْظُ الْفَارِسِيَّةِ وَالْعَرَبِيَّةِ.

Maksudnya: Maksud dengan dua kalimah syahadah ialah: “Perkhabaran tentang membenarkan dengan hati. Dan makna ini sama dalam lafaz Parsi dan Arab.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/96)

Berdasarkan nas-nas ulama’ di atas, dapat disimpulkan, mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa selain Arab adalah dibolehkan.

Oleh itu, sekiranya seseorang benar-benar tidak mampu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab, maka dibolehkan untuknya mengucapkan dalam bahasa selain Arab.

Walaubagaimanapun, kami lebih cenderung agar lafaz asal dua kalimah syahadah dilafazkan dalam Bahasa Arab. Kemudian ia diterjemahkan dalam bahasa ibunda seseorang yang ingin memeluk Islam.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang jelas dalam menjalankan setiap perintah-Nya. Amin.