AL-AFKAR #120 : HUKUM MENGGAMBARKAN TANGAN TUHAN DENGAN TANGAN MANUSIA

afkar120

Soalan:

Assalamualaikum,saya ingin bertanya,adakah simbol tangan seperti ini semuanya berkaitan dengan bible?. Bolehkah menggambarkan tangan Tuhan seperti itu?

as

Jawapan ringkas :

Menggambarkan tangan Tuhan adalah satu perbuatan yang dipanggil tajsim iaitu menggambarkan Tuhan sama seperti manusia yang mana perbuatan tersebut adalah perbuatan yang diharamkan bahkan boleh merosakkan akidah. Mustahil Allah serupat dengan makhluk-Nya.Semoga Allah memelihara kita semua daripada perkara yang boleh merosakkan akidah.

Huraian jawapan :

Satu perkara yang perlu diketahui apabila membicarakan tentang sifat Allah, adalah Allah sama sekali tidak serupa dengan makhluk-Nya.Iktikad yang betul adalah mentahzihkan (mensucikan) Allah dari sebarang bentuk penyerupaan. Oleh kerana itu,di antara sifat wajib bagi Allah SWT adalah Mukhalafutuhu Lil Hawadith yang memberi maksud bahawa Allah SWT berlawanan dengan yang baharu dan tidak serupa dengan makhluk-Nya. Mustahil Allah SWT bersifat serupa dengan makhluk yang diciptakan oleh-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

Maksudnya : “…Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya)…”[1]

Sheikh Mustafa Al-Maraghi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut :

أي ليس كخالق الأزواج شىء يزاوجه ، لأنه الفرد الصمد ، وقد يكون المعنى ليس مثله شىء فى شئونه التي يدبرها بمقتضى قدرته الشاملة ، وعلمه الواسع ، وحكمته الكاملة

“(Maksud ayat tersebut) Iaitu tiada yang seperti Pencipta pasangan-pasangan dengan sesuatu yang sepadan dengannya. Kerana Dia adalah Maha Esa dan menjadi tumpuan makhluk untuk memohon sebarang hajat. Boleh jadi makna ayat tersebut adalah tiada apa-apa pun yang sama dengan-Nya dalam pentadbiran-Nya yang mana Kudrat-Nya adalah Maha Sempurna. Ilmu-Nya Maha Luas dan kebijaksanan-Nya adalah Maha Lengkap.”[2]

Para ulama apabila memberikan takrif mukhalafutu Lil Hawadith, mereka mengatakan :

عبارة عن نفي المماثلة في الذات والصفات والأفعال

“Satu ibarat berkaitan (adanya) penafian penyerupaan (dengan makhluk-Nya) pada zat, sifat-sifat dan perbuatan.”

Sheikh Muhammad Bin Umar Al-Tilmisani menukilkan maksud mukhalafatuhu Lil Hawadith daripada kitab Umm Al-Barahin :

نفي المثل له تعالى في الذات والصفات والأفعال

“ Penafian adanya penyerupaan bagi Allah Ta’ala pada zat, sifat dan af’al (perbuatan).”[3]

Menyamakan Allah dengan makhluk dengan melukis tangan dan sebagainya lalu menyebut ia adalah hand of god atau tangan Tuhan  adalah satu perbuatan yang menjurus kepada kekufuran. Ini dijelaskan oleh Sheikh Abdurrahman Habannakah bahawa iktikad yang kufur adalah melukis atau menterjemahkan sifat atau zat Allah dalam bentuk jasad yang mempunyai keserupaan dengan makhluk.[4]

Justeru itu, haram hukumnya menyamakan Allah SWT dengan makhluk apatahlagi menggambarkannya dalam bentuk lukisan yang merupakan satu bentuk tasybih (penyerupaan) dan merupakan satu perbuatan yang kufur bahkan boleh merosakkan akidah.

NOTA HUJUNG:

[1] Surah Al-Syura : 11

[2] Al-Maraghi, Muhammad Mustafa, Tafsir Al-Maraghi j.25 h.15

[3] Abu Abdullah Al-Millali Al-Tilmisani, Muhammad Bin Umar Bin Ibrahim, Syarh Umm Al-Barahim h.58

[4] Al-Midani, Abdurrahman Bin Hasan Habannakah, Al-‘Akidah Al-Islamiyyah Wa Ususuha, h.618


Cetak   Emel