Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #294 : ADAKAH HADIS MENDAHULUI AL-QURAN?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 294 (20 JUN 2016 M / 15 RAMADHAN 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum Tuan Guru, sekadar bertanya tentang permasalahan pengaruh-pengaruh orientalis atau golongan anti hadis dan liberal di kalangan masyarakat melayu muslim kita. Seringkali di dalam media massa mereka mengutarakan pendapat yang menyatakan kesalahan pendapat Al Imam As Syafie terhadap hadis ahad dan rujukan yang kononnya menyatakan pendapat Joseph E Lowry terhadap sikap Al Imam As Syafie yang menganggap hadis Ahad adalah sumber legislatif yang boleh melangkau Al Quran did alam menetapkan hukum hakam di dalam masalah Akidah. Minta jasa baik Tuan Guru untuk menjawab kemusykilan saya ini.

 

JAWAPAN :

Waalaikumussalam wbt,

Pertama sekali nas ibarat Imam Syafie yang dikritik itu saya tidak tahu. Jadi sukar saya hendak beri pandangan, apakah benar dakwaan Imam Syafie sampai kata macam itu. Sepengetahuan saya, sebagai seorang tokoh yang amat terkenal dengan suatu kaedah usul fiqhnya, dia telah menetapkan kaedahnya adalah seperti berikut.

Pertama: Kembali kepada al-Quran al-Karim

Keduanya: Kembali kepada Sunnah Rasulullah SAW. Dan sunnah ini pecahannya sama ada, khabar mutawatir atau khabar ahad.

Ketiga: Kembali kepada Ijma'

Keempat: Kembali kepada Qiyas.

Keenam : Juga Imam Syafie kadang-kadang menggunakan Qaul Sahabi (pendapat sahabat).

Jad itu kaedah yang digunakan oleh Imam syafie. Jadi kalau kita tengok macam itu, jelas menunjukkan Imam Syafie mendahulukan al-Quran al-Karim.

Dalilnya kalau kita buka kitab al-Umm, karya Imam Syafie, yang ditulis atas nama Imam Syafie, di mana dalam kitab tersebut, kalau membincangkan apa-apa, maka asa utamanya dia akan rujuk kepada Kitabullah, kemudian Sunnah Rasulullah SAW, kemudian kalau ada pendapat para sahabat, kemudian baru dia akan menyatakan ‘wa qulna’ (Dan kami berpendapat) atau ‘wa qultu’ (aku berpendapat).

Jadi kalau cara macam itu menunjukkan bahawa Imam Syafie tidaklah meletakkan seolah-olah khabar ahad atau hadith ahad itu mendahului apa yang telah dinaskan dalam al-Quran al-Karim maka ghalibnya, imam syafie telah menyebut sebagaimana yang makruf peranan sunnah itu. Disebut dalam kitab usul fiqh, Imam Syafie menyatakan pandangannya berkenaan dengan sunnah. Sunnah ini berfungsi dengan tiga fungsi utama:

Fungsi yang pertama ialah (مقررة للقرآن): Ia mentaqrirkan yakni mengiyakan apa yang ada dalam al-Quran.
Fungsi yang kedua ialah (مفسرة للقرآن): Ia mentafsirkan apa yang ada di dalam al-Quran.
Fungsi yang ketiga ialah (مبينة للقرآن): Ia bermaksud bahawa yang mujmal itu dijelaskan dengan sebaik mungkin kesamaran/kemujmalan.
Jadi ini antara fungsi yang disebut oleh Imam Syafie Rahimahullah.

Kalau begitu tidak timbul persoalan, sunnah melampaui al-Quran. Sebab itu bagi saya kena cek balik apa yang kitakan kaedah:

فإن كنت ناقلا فعليك بالتصحيح وإن كنت داعيا فعليك بالدليل

Maksudnya: kalau kamu naqalkan sesuatu maka hendaklah kamu tashihkannya. Dan kalau kamu membuat pendakwaan maka hendaklah kamu kemukakan dalil.

Firman Allah SWT:

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar"

(Surah al-Baqarah, 2:111)

Jika ada hujjah, maka nyatakanlah.

Wallahua’lam.