Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #288 : ADAKAH MENGHINA ORANG MEMBAWA KEPADA MURTAD?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 288 (13 JUN 2016 M / 8 RAMADHAN 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum Datuk.

Betulkah akan jatuh murtad seseorang dengan niat bergurau mengatakan kepada rakan lelakinya yang mempunyai fizikal yang gemuk berperut buncit "kau bila nak bersalin" kerana telah mengingkari ayat al Quran.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Hal demikian tidaklah mengakibatkan murtad. Adapun jika perkataan itu bermaksud menyakitkan hati rakannya, maka itu haram kerana menggelarkan sesuatu yang buruk dan tidak disukai bertentangan dengan arahan al-Quran dalam Surah al-Hujurat. Firman Allah Taala:

وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman.

Surah al-Hujurah, 49:11

Mukmin yang sejati perlu berakhlak Islam. Kita hendaklah menjaga lidah dan tangan daripada menyakiti saudaranya.

Daripada Abdullah bin Amr RA, sabda Rasulullah SAW:

المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ، وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya: Orang Islam itu ialah yang orang Islam terselamat daripada lidahnya dan tangannya, dan orang yang berhijrah itu ialah mereka yang berhijrah daripada perkara yang Allah tegah.

Muttafaqun ‘alaih.

Elak juga daripada memaki, mencela, dan menghina orang lain. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِطَعَّانٍ، وَلَا بِلَعَّانٍ، وَلَا الْفَاحِشِ الْبَذِيءِ

Maksudnya: Bukan daripada kalangan orang yang sempurna imannya mereka yang suka mencela, suka melaknat dan suka berkata-kata kotor.

Hadis riwayat Imam Ahmad (3839)

Wallahua’lam.