AL-KAFI #408 : SELAWAT KEPADA NABI-NABI DALAM SOLAT

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 408 (20 OKTOBER 2016 M / 19 MUHARRAM 1438 H)

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz, ade org tny pasal apa duk bc dlm tahiyat selawt kpd nabi muhammad ngan nabi ibrahim saja sdngkn bnyk lg nabi2 lain..

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Solat merupakan satu daripada ibadah khusus yang diwajibkan ke atas semua orang Islam. Ibadah khusus atau disebut ibadah mahdh (murni) berbeza dengan ibadah yang umum seperti menolong ibu bapa, memuliakan jiran dan bersedekah. Ibadah am ini boleh dilaksanakan menggunakan pelbagai sarana tetapi ibadah khusus ini mesti dilakukan dengan kaifiyyat atau cara yang ditunjukkan oleh Allah Taala dan Rasulullah SAW semata-mata. Jika tidak maka amalan itu tidak diterima.

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: Barangsiapa beramal dengan suatu amalan yang bukan daripada urusan (agama) kami maka ianya tertolak.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Berhubungan dengan soalan penanya, selawat kepada Rasulullah SAW, Ahli Baitnya, pengikutnya, dan juga kepada Nabi Ibrahim, seperti yang warid daripada amalan Rasulullah SAW adalah salah satu daripada kaifiyyah yang dimaksudkan di atas. Dalam erti kata lain, solat kita itu perlulah dibaca apa yang diajar Rasulullah SAW selaku orang paling mengetahui apakah kehendak Allah SWT supaya amal kita diterima.

Daripada Malik bin Huwairith RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.

Hadis riwayat al-Syafie dalam Musnad-nya (1/55), dan Ibn Hibban dalam Sahih-nya (1658)

Pensyariatan hukum sunat dan lafaz selawat itu ada banyak, yang popular seperti hadith riwayat Imam Muslim (406):

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمِ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad dan kerabat Muhammad seperti mana Engkau berikan selawat ke atas kerabat Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas kerabat Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas kerabat Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

Lafaz-lafaz lain:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas kerabat Muhamad seperti mana Engkau berikan selawat ke atas kerabat Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung. Dan berkatilah ke atas Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

HR. Bukhari

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدُ مَجِيدٌ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas isteri-isteri baginda dan zuriatnya seperti mana Engkau berikan selawat ke atas kerabat Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas isteri-isteri baginda dan zuriatnya seperti mana Engkau memberkati ke atas kerabat Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

HR. Bukhari & Muslim

اللهم صل على محمد عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ وَآلِ إبْرَاهِيمَ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad, hamba-Mu dan utusan-Mu, seperti mana Engkau berikan selawat ke atas Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan kerabat Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas Ibrahim dan kerabat Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

HR. Bukhari

اللَّهُمَّ صَلِّ مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صليت عَلَى إبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad, seorang Nabi dan seorang yang ummi, dan ke atas kerabat Muhammad seperti mana Engkau berikan selawat ke atas Ibrahim dan kerabat Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad, seorang Nabi dan seorang yang ummi, dan ke atas kerabat Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas Ibrahim dan kerabat Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

HR Ibn Hibban, al-Hakim, al-Daruqutni dan al-Baihaqi. Al-Daruqutni berkata hadis ini hasan manakala al-Hakim berkata sahih.

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/464-465)

Selawat Allah kepada baginda ialah pujian yang Allah berikan kepada baginda di hadapan para malaikat, seperti yang disebut oleh Abu Aliyah. Ibn Abbas dan lain-lain menyebut selawat bererti rahmat. Rujuk al-Fath al-Bari (11/155-156) oleh Ibn Hajar al-Asqalani.

Justeru hendaklah kita beriltizam dengan cara dan kaifiyyah beribadah yang ditunjukkan oleh sebaik-baik contoh yakni Baginda Rasulullah SAW yang telah menunjukkan cara yang betul dalam ibadah agar amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Wallahua’lam.