AL-KAFI #423 : PENDAPAT PARA ULAMA BERKENAAN HUKUM MEMBACA MUSHAF DI DALAM SOLAT

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 423 (3 NOVEMBER 2016 M / 3 SAFAR 1438H)

 

SOALAN:

Salam Ustaz,
Hukum Imam membaca dengan melihat Mushaf di hadapanya pd setiap kali solat fardu berjemaah.
Wassalam

 

JAWAPAN:

 

Waalaikummussalam warahmatullahhi wabarakatuh, terima kasih kepada tuan yang bertanya.

Harus yang demikian itu, daripada Saiyyidatina Aisyah Radiyallahu’anha isteri Nabi ﷺ bahawa beliau pernah diimami oleh seorang hamba yang telah dimerdekakan miliknya, bernama Zakwan dalam keadaan membaca al-Quran pada mushaf di bulan Ramadhan.

Di dalam Kitab al-Mudawwanah: Syeikh Ibnu Wahbin mengatakan: Syeikh Ibnu Syihab berkata: Adalah khiyaruna ( mereka yang terpilih dan terbaik dalam kalangan kami ) membaca al-Quran dengan melihat mushaf ketika dalam solat di bulan Ramadhan. Disebut bahawa seseungguhnya hamba Saiyyidatina Aisyah Radiyallahu’anha mengimamkan beliau ketika solat di dalam bulan Ramadhan dalam keadaan melihat pada mushaf, dan perkara yang sama disebut oleh Imam Malik dan Imam al-Laith.

Imam an-Nawawi menyebut di dalam Kitab Majmu’ Syarah al-Muhazzab, kitab solat:

“Bab pada menyatakan perkara yang membatalkan dan makruh dilakukan di dalam solat adalah perbuatan yang bukan sebahagian daripada solat, pada masaalah tentang seseorang membaca al-Quran melihat mushaf ketika solat.”

“Sekiranya seseorang membaca al-Quran melihat mushaf maka tidak batal solatnya sama ada seseorang itu menghafal al-Quran atau tidak, bahkan wajib ke atasnya melihat mushaf sekiranya ia tidak menghafal surah al-Fatihah seperti mana perbincangan yang lalu. Sekiranya terkadang-kadang ia membalikkan mushaf al-Quran (dengan tidak melakukan pergerakan yang besar tiga kali berturut-turut) di dalam solat maka ia tidak membatalkan solat. Juga sekiranya ia melihat tulisan yang tercatat selain daripada al-Quran dan mengulang-ulangkan apa yang dilihatnya itu untuk bacaan dirinya, maka tidak juga membatalkan solat walaupun ia panjang tetapi perbuatan tersebut dikira makruh. Perkara itu telah di naskan oleh Imam as-Syafi’e di dalam kitam Imla’, dan telah dipersetujui oleh ulama-ulama dalam mazhab Syafi’e. Katanya lagi: “Dan perkara melihat al-Quran pada mushaf tidak membatalkan solat ia adalah mazhab kami dan begitu juga mazhab Imam Malik, Imam Abi Yusuf, Imam Muhammad dan Imam Ahmad."

Berkata Imam Abu Hanifah: “Mengatakan perkara tersebut membatalkan solat.”

Imam Abu Bakr ar-Razi berkata: “Maksud Imam Abu Hanifah batal solat sekiranya ia tidak menghafal al-Quran dan hendak membaca banyak ayat-ayat al-Quran. Adapun sekiranya ia menghafal al-Quran atau tidak menghafal tetapi membaca sedikit sahaja daripada ayat al-Quran seperti beberapa ayat dan seumpamanya maka ia tidak membatalkan solat. Mereka berhujah bahawa melihat kepada mushaf berhajat kepada berfikir dan melihat. Ini merupakan suatu pekerjaan yang banyak. Begitu juga jika seseorang menegur orang lain di dalam solat, ulama Syafi’e menggunakan hujah bahawa ia hendaklah menegur dengan mendatangkan bacaan. Adapun melihat selain dari mushaf dengan cara berfikir dan melihat di dalam solat maka ia tidak membatalkan solat secara kesepakatan para ulama. Oleh itu, melihat mushaf di dalam solat adalah lebih utama berbanding yang lain. Manakala menegur di dalam solat tidak membawa kepada batalnya solat di sisi mazhab kami tanpa ada perselisihan dikalangan ulama.