Fidyah: tidak tahu berapa hari puasa ditinggalkan

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 230 (29 MAC 2016 M / 20 JAMADILAKHIR 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum,

Adakah kita perlu menggantikan atau membayar fidyah waris yang kita tidak pasti sama ada dia pernah tinggalkan puasa atau tidak. Dia meninggal pada usia 34 tahun.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam hal ini, waris-waris terdekat seperti isteri, anak-anak atau ibu bapa hendaklah memastikan bilangan hari puasa yang ditinggalkan oleh si mati. Ini boleh dilakukan dengan perbincangan antara ahli waris berkenaan pengetahuan mereka tentang bilangan itu secara tahdid (pasti bilangannya) atau taqrib (anggaran yang dekat). Jika di antara waris timbul perbezaan antara dua bilangan, ambil yang lebih banyak sebagai langkah ihtiyati (berjaga). Ini juga bertepatan dengan kaedah:

الإثباتُ مقدَّمٌ على النفي

Maksudnya: Penetapan itu diutamakan diatas penafian.

Rujuk al-Burhan oleh Imam al-Juwaini (2/780)

 

Selain itu, kami berpendapat diutamakan menggantikan puasa oleh kaum kerabat berbanding membayar fidyah. Kecenderungan kami ini berdalilkan hadis riwayat Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: Barangsiapa meninggal dunia dan ke atasnya ada puasa (yang tertunggak), maka walinya berpuasa bagi pihaknya.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (1952) dalam Sahihnya

Juga hadis daripada Abdullah bin Abbas R.anhuma:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا؟ قَالَ: " نَعَمْ، قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah mati sedangkan beliau ada puasa sebulan yang tertunggak, apakah boleh aku menunaikannya bagi pihak beliau? Jawab Rasulullah SAW: Boleh. Baginda berkata lagi: Kerana hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk ditunaikan.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (1953)

Dalam mazhab Syafie, seseorang yang mati dan ke atasnya ada puasa qada yang tertunggak, sedangkan dia mampu untuk menggantikannya sebelum meninggal dunia, pendapat terpilih ialah  harus bagi kaum kerabat si mati untuk berpuasa bagi pihak si mati dan berpahala bagi mereka kerana menunaikannya. Imam Nawawi mentarjihkan pendapat ini. Ini juga pendapat lama Imam al-Syafie. Rujuk Kitab al-Majmu` (6/368).

Sekiranya kaum kerabat tidak mahu menggantikannya, boleh juga mengambil pendapat membayar fidyah satu mud bagi setiap hari yang tertunggak. Ini berdasarkan berdasarkan ayat:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

(Surah al-Baqarah, 2:184)

Wallahua`lam.