Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI SIRI 436: Hikmah Haji Difardhukan Sekali Seumur Hidup

Pengertian Haji
Haji dari segi bahasa bererti menyengaja atau menuju dan mengunjungi. Menurut istilah syara', haji ialah menuju ke Baitullah dan tempat-tempat tertentu untuk melaksanakan amalan-amalan ibadah tertentu.

Haji adalah merupakan salah satu dari hukum Islam yang lima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim, lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya. Menurut jumhur ulama', fardhu haji mula diwajibkan pada tahun ke enam Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: "Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah"

(Surah Al- Baqarah ayat 196)
Firman Allah SWT lagi:
مَتَاعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ
Maksudnya: "Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan diantara mereka. Dan barang siapa yang mengingkarinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari sekalian alam"

(Surah Ali Imran ayat 97)

Bagaimanapula dikatakan haji sebagai satu ibadah yang istimewa? Ini kerana dituntut kepada para haji untuk menghimpunkan antara kedua-dua ‘elemen ibadah’ penting antara solat, puasa dan zakat iaitu memerlukan kepada ibadah jasmani dan ibadah harta.

Dalam melaksanakan kewajipan haji, amatlah dituntut bagi pengamalnya mempunyai kesihatan tubuh badan sihat yang melayakkan dirinya menunaikan ibadah agar tidak terganggu perjalanan musafirnya serta mempunyai kewangan yang mencukupi pergi dan balik, serta keperluan yang mencukupi untuk ahli keluarga tanggungannya yang ditinggalkan sepanjang ketiadaannya.

Di dalam al-Quran, terdapat ayat yang menyebut tentang kewajipan haji dan ia hanyalah dikhususkan bagi mereka yang memenuhi syarat yang dituntut. Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا
Maksudnya: “Dan (di antara) kewajiban manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana”
(Surah Ali Imran: 97)

Mampu yang dimaksudkan di sini adalah mampu untuk mengerjakan haji dengan diri sendiri atau mampu mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain. Manakala yang dikatakan tidak mampu itu dilihat dari sudut sakit, tua, kematian. dan sebagainya .

Dari sudut kemampuan iaitu “mampu untuk mengerjakan haji dengan diri sendiri”, punyai syaratnya yang tersendiri iaitu:

i. Mempunyai bekalan yang mencukupi semasa pergi dan balik haji

ii. Mempunyai kenderaan yang melayakannya sampai ke Tanah Suci

iii. Aman dan selamat sepanjang perjalanannya ke Tanah Suci

iv. Ditemani mahram (khusus bagi wanita)

Manakala yang dikatakan “mampu mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain” ialah:

i. Orang yang telah meninggal dunia

ii. Orang yang lemah atau terbatas kesempurnaan pergerakannya

HAJI WAJIB SEKALI SEUMUR HIDUP

Ibadat haji boleh dikerjakan berulang kali bagi mereka yang mempunyai kemampuan dan cukup syarat-syaratnya. Walau bagaimanapun menurut ulama, ibadat haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup berdasarkan hadis Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA:

أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الْحَجَّ فَحُجُّوا . فَقَالَ رَجُلٌ أَكُلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلاَثًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ AL-KAFI LI AL-FATAWI SIRI 124

"Telah berkata Rasulullah SAW dalam khutbah Baginda: "Wahai sekalian manusia, Allah SWT telah mewajibkan kepada kamu ibadat haji, oleh kerana itu kamu kerjakanlah haji". Seorang lelaki bertanya: "Adakah (dikerjakan haji) pada setiap tahun?". Baginda diam tidak menjawab sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebanyak tiga kali, selepas itu baru Baginda menjawab dan bersabda: "Jika aku katakan "Ya", nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berdaya melakukannya"
(Riwayat Muslim)

Di sini dibentangkan beberapa hikmah disebalik pensyariatan haji sekali seumur hidup kepada setiap muslim. Antaranya:

• Kewajipan haji sekali seumur hidup seperti disabdakan Nabi saw adalah tepat. Ia menggambarkan sifat Rahmatan lil Alamin yang disebut dalam al-Quran. Islam merupakan agama yang tidak memberatkan penganutnya dengan pensyariatan yang membebankan. Hal ini terbukti dalam suasana pada hari ini apabila pelaksanaan haji itu menuntut kemampuan dari segi kewangan dan juga fizikal.

• Bagi mereka yang memiliki dana lebih, maka alangkah baiknya mengalihkan dana hajinya untuk kepentingan sosial seperti bantuan kepada agensi dan persatuan agama Islam, bantuan kemanusiaan dan sebagainya.

• Dengan melaksanakan sekali haji, ia bakal memberikan ruang dan peluang kepada orang lain menunaikan rukun Islam yang kelima tersebut. Hal ini lebih terserlah apabila kita sering dengar orang ramai yang menunggu giliran haji yang bertahun-tahun lamanya. Selain itu, pihak kerajan Arab Saudi juga telah mengenakan kouta haji bagi mengelakkan kesesakan jemaah haji ketika musim haji seterusnya mampu mengelak sebarang kemudaratan kepada mereka.

Oleh itu, jelaslah di sini bahawa ibadah haji ini merupakan pensyariatan yang diturunkan berdasarkan kepada kemampuan manusia. Namun, pelaksanaannya menuntut kepada iltizam yang tinggi dan merupakan rukun yang terakhir yang melengkapkan kesempurnaan Islam seseorang.