Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #891: SOLAT DI TINGKAT BERASINGAN WALAUPUN MASIH KOSONG DI DALAM DEWAN SOLAT

 

Screen Shot 2018 11 12 at 4.04.08 PM

SOALAN

 

Solat di tingkat berasingan sedangkan di dewan solat utama masih terdapat kekosongan. Apakah hukumnya?

 

JAWAPAN

 

Berdasarkan pertanyaan di atas beberapa perkara perlu difahami untuk menjawab persoalan ini.

 

Syarat-Syarat Qudwah iaitu mengikut imam

 

 

 Kami mulakan dengan menyenaraikan syarat-syarat sah qudwah berdasarkan Mazhab al-Syafie secara umum: 

  1. Makmum tidak boleh terkehadapan posisinya daripada imam.
  2. Makmum mestilah mengetahui perpindahan perbuatan imam.
  3. Makmum hendaklah berniat mengikut imam.
  4. Makmum hendaklah mengikut jenis solat imam yang sama bentuknya.
    [1]
  5. Makmum tidak boleh bercanggah dengan imam pada perbuatan sunat yang jelas melibatkan anggota seperti sujud sahwi dan tilawah.
  6. Makmum tidak boleh bercanggah dengan imam sehingga dua rukun, sama ada terkehadapan atau tertinggal.
  7. Hendaklah imam dan makmum itu ijtima’ (berhimpun) di satu tempat.[2] Syarat ijtima` ini berbeza antara solat yang dilaksanakan di masjid dan di luar masjid. Jika di masjid, syaratnya adalah seperti berikut:
  • Hendaklah tiada penghalang untuk makmum sampai kepada imam walaupun perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat

Manakala bagi qudwah di luar masjid atau salah seorangnya, sama ada imam atau makmum, di luar masjid, syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  • Hendaklah tiada penghadang yang menegah daripada musyahadah (melihat kepada imam atau makmum yang sah qudwahnya dengan imam)
  • Hendaklah tiada penghalang bagi istitraq (boleh makmum berjalan sampai kepada imam tanpa perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat.)
  • Tidak melebihi 300 dzira’ di antara imam di dalam masjid dan makmum di luarnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 295-297; Nail al-Raja, hlm. 147)

 

Imam dan makmum di dalam masjid yang sama

 

Imam Ibn hajar al-Haitami menyebutkan pada bab sekiranya makmum dan imam di dalam masjid yang sama:

صَحَّ الِاقْتِدَاءُ إجْمَاعًا وَإِن بَعُدَتْ الْمَسَافَةُ وَحَالَتْ الْأَبْنِيَةُ الَّتِي فِيهِ الْمُتَنَافِذَةُ الْأَبْوَابِ إلَيْهِ

Maksudnya: Sah mengikut imam secara ijma’ walaupun jarak yang jauh dan bangunan mempunyai laluan serta pintu yang menghubungkan. Lihat Tuhfah al-Muhtaj (2/313)

 Maka, berdasarkan apa yang disebutkan di atas, sah qudwah makmum yang mengikuti imam dalam masjid dengan jarak yang jauh dengan syarat berhubung atau mempunyai laluan yang boleh dilalui tanpa halangan.


Makmum di atas bumbung bangunan sekeliling masjid, dan imam berada di dalam masjid

 

Kata Imam al-Nawawi:

ولو وقف في علو وإمامه في أسفل أو عكسه شرط محاذاة بعض بدنه بعض بدنه

 

Maksudnya: “Sekiranya makmum berada di platform yang tinggi dan imamnya di bawah, atau sebaliknya, (sah qudwah) dengan syarat bertentangan sebahagian badan makmum dan dengan badan imam.” Beliau berkata lagi: “makruh kedudukan makmum lebih tinggi daripada imam atau sebaliknya, melainkan terdapat keperluan maka hukumnya adalah disunatkan.” Lihat Minhaj al-Thalibin ( 1/41).

 

Manakala Imam Ibn Imad pula berkata:

“Jika solat di atas bumbung yang berada di luar masjid maka ikutannya tidak sah kerana berlainan bangunan dan kerana tidak bertentangan imam dengan makmum. Demikian dinaskan oleh Syeikh Abu Muhammad, jika berdiri makmum di halaman yang di dalam masjid maka hukumnya seperti masjid juga. Adapun halaman di luar masjid, maka berkata Imam al-Rafi’ie sesungguhnya jumhur ulama’ telah memberi hukumnya seperti masjid pada sah ikutan makmum dengan imamnya”. Lihat al-Qaul al-Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam (90).

 

Kepentingan memenuhkan saf dalam Islam

Dalam hal ini kami telah pun menjelaskan di dalam artikel kami yang bertajuk: Irsyad Al-Hadith Siri Ke-253: Kepentingan Memenuhkan Saf[3]. Perbuatan meluruskan dan memenuhkan saf merupakan perbuatan yang dituntut sebelum seseorang itu mendirikan solat. Ini kerana, terdapat banyak hadith yang menceritakan akan kelebihan perbuatan tersebut. Selain itu, perbuatan ini termasuk di dalam perkara yang sunat dilakukan sebelum solat. Lihat Taqrirat al-Sadidah,(236).

Di samping itu juga, Nabi SAW sentiasa memastikan saf para sahabat RA yang solat bersama Baginda SAW berada dalam keadaan yang sempurna sebelum solat jemaah itu didirikan. Untuk itu, meluruskan saf ini adalah satu perkara yang amat penting dan perlu dititikberatkan oleh para imam.


Kesimpulan

Berdasarkan hujah di atas, kami berpendapat bahawa sekiranya terdapat ruang kosong di dewan solat utama, maka perlulah untuk dipenuhkan terlebih dahulu berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kamu, sesunggunya meluruskan saf itu sebahagian daripada (urusan) mendirikan solat”

Hal ini kerana, ruang solat dalam masjid surau adalah tempat solat, maka perlulah dipenuhkan terlebih dahulu ruang utama tersebut.

Namun begitu, sekiranya pengawal keselamatan yang sedang bertugas terpaksa untuk solat di tempat yang jauh dari dewan solat utama kerana sedang bertugas, maka kami katakan sah solatnya dan diberi kelonggaran dalam hal merapatkan saf.

Semoga Allah memberi taufik dan hidayah untuk kita mengamalkan syariatnya. Amin.

[1] Sebagai contoh, tidak boleh orang yang menunaikan solat fardhu mengikut imam yang melakukan solat jenazah atau solat gerhana. Begitu juga sebaliknya. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 296)

[2] Ini kerana berbeza bangunan mewajibkan iftiraq (perpisahan tempat). Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (2/316).

[3] http://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/2317-irsyad-al-hadith-siri-ke-253-kepentingan-memenuhkan-saf?highlight=WyJzb2xhdCIsInNvbGF0JyIsIidzb2xhdCIsInNvbGF0Jy4iLCJqZW1hYWgiLCJzb2xhdCBqZW1hYWgiXQ==