AL-KAFI #1343: KENAPA KETIKA I’TIDAL DIBACA DENGAN SAMI'ALLAHU LIMAN HAMIDAH BUKAN ALLAHU AKBAR

 

ITIDAL.jpg

 

SOALAN

Salam Ustaz, ada satu soalan saya nak tanya...setiap rukun perbuatan akan dimulakan dengan bacaan takbir (Allahu Akbar), tapi kenapa masa bangun daripada ruku’ dan I’tidal, bacaannya bertukar kepada (Sami'allahu liman hamidah)...adakah sejarah dan asbab kenapa bacaan tersebut berlainan?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Solat merupakan ibadah wajib yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam. Walaubagaimana keadaan sekalipun, tuntutan untuk menunaikan solat tetap perlu disempurnakan selagimana umat Islam itu masih bernyawa. Perintah ini jelas sepertimana yang dinyatakan di dalam firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat adalah satu kewajipan ke atas orang-orang beriman yang telah ditetapkan waktunya”

(Surah an-Nisa’: 143)

Lalu, bagaimana cara untuk menunaikan solat? Maka Nabi SAW mengajarkan ummatnya untuk mendirikan solat. Kemudian diperintahkan kepada ummat Islam untuk menunaikan solat sepertimana sabda Nabi SAW:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّ

Maksudnya: Solatlah, sepertimana kamu melihat aku bersolat.

(Hadis riwayat Bukhari, No. 6008)

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, kenapa ketika i’tidal dibaca dengan lafaz Sami'allahu liman hamidah bukan Allahu akbar? Menilai daripada persoalan yang diajukan, soalan ini merupakan isu yang berkisar kepada perbahasan Takbir Intiqalat. Apa yang dimaksudkan dengan Takbir Intiqalat ini? Takbir ini merupakan bacaan takbir (Allahu akbar) yang dilafazkan ketika perpindahan satu rukun solat ke rukun solat yang lain. Namun begitu, hanyasanya lafaz ini berbeza pada ketika bangun daripada ruku’ ke rukun I’tidal. Ia dibacakan dengan lafaz (Sami'allahu liman hamidah).

Kenapa lafaz bacaan ini berlainan dan berbeza seperti lafaz bacaan yang lain? Sebahagian ulama’ ada menukilkan riwayat dalam menerangkan sebab dibaca dengan lafaz tersebut. Imam Bujairimi menuliskan di dalam kitabnya, Hasyiyah Bujairimi ala al-Khathi, (m/s 2/52). Beliau mencatatkan khabar dan sejarah bacaan ini seperti berikut:

وَالسَّبَبُ فِي سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ أَنَّ الصِّدِّيقَ  رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  مَا فَاتَتْهُ صَلَاةٌ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  قَطُّ، فَجَاءَ يَوْمًا وَقْتَ صَلَاةِ الْعَصْرِ فَظَنَّ أَنَّهَا فَاتَتْهُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاغْتَمَّ بِذَلِكَ وَهَرْوَلَ وَدَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَوَجَدَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُكَبِّرًا فِي الرُّكُوعِ فَقَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ وَكَبَّرَ خَلْفَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَ جِبْرِيلُ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الرُّكُوعِ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُلْ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ . وَفِي رِوَايَةٍ اجْعَلُوهَا فِي صَلَاتِكُمْ . فَقَالَهَا عِنْدَ الرَّفْعِ مِنْ الرُّكُوعِ، وَكَانَ قَبْلَ ذَلِكَ يَرْكَعُ بِالتَّكْبِيرِ وَيَرْفَعُ بِهِ فَصَارَتْ سُنَّةً مِنْ ذَلِكَ الْوَقْتِ بِبَرَكَةِ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya: Dan sebab pada perkataan “Sami’allahu liman hamidah” adalah sesungguhnya Abu Bakar As-Siddiq R.A tidak pernah tertinggal untuk mendirikan solat dibelakang Rasulullah SAW. Pada suatu hari ketika hendak menunaikan solat asar, beliau menyangka tidak sempat untuk solat dibelakang Rasulullah SAW, beliau berlari-lari anak dalam keadaan gelisah lalu memasuki masjid, Rasulullah SAW ketika itu sedang membaca takbir ketika ruku’, maka beliau memuji Allah SWT dengan mengucapkan Alhamdulillah dan bertakbir dibelakang Rasulullah SAW, maka turun malaikat Jibril A.S kepada Rasulullah SAW yang sedang ruku’ lalu berkata: wahai Muhammad, Allah SWT telah mendengar orang yang memujinya maka bacakan “Sami’allahu liman hamidah”. Dalam riwayat lain disebutkan “Jadikanlah kalimat itu sebagai bacaan dalam solat” maka Rasulullah SAW membacanya ketika bangun dari ruku’. Sebelum itu, ketika turun untuk ruku’ dan bangun daripada ruku’ dibacakan lafaz (Allahu Akbar), semenjak itu ia telah menjadi sunnah dan dibaca dengan lafaz “Sami’allahu liman hamidah”  dengan berkat Abu Bakar as-Siddiq R.A.

Begitu juga kisah tersebut tercatat di dalam beberapa kitab fiqh yang lain, seperti karangan Sheikh Taha Abdullah Al-Afifi yang bertajuk al-Miah as-Saniah min Wasoya Rasulullah SAW, jilid 1 m/s 85-86, Hasyiyah Jamal ala Syarh Manhaj, jilid 2 m/s 281, karangan Sheikh Sulaiman al-Jamal dan Hasyiyah I’anah Tholibin, jilid 2 m/s 22, karangan Sheikh Abu Bakar Muhammad Syatha ad-Dimyathi.

Namun begitu, hasil dapatan daripada kajian kami berkenaan riwayat tersebut, setakat yang kami jumpai, tidak ada asal yang menjelaskan riwayat tersebut merupakan hadis yang bersumberkan daripada Nabi SAW.

Akan tetapi, sungguhpun begitu, bersandarkan kepada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bacaan tersebut merupakan sunnah Nabi SAW dan Baginda mengajar umat Islam untuk membaca bacaan tersebut sepertimana yang dilakukan olehnya ketika menunaikan solat.

Kata Abu Hurairah R.A:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ يُكَبِّرُ حِينَ يَقُومُ ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْكَعُ ثُمَّ يَقُولُ: سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ حِينَ يَرْفَعُ صُلْبَهُ مِنَ الرُّكُوعِ ثُمَّ يَقُولُ وَهُوَ قَائِمٌ: رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَهْوِي ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْفَعُ رَأْسَهُ ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَسْجُدُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْفَعُ رَأْسَهُ؛ ثُمَّ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي الصَّلاَةِ كُلِّهَا حَتَّى يَقْضِيَهَا؛ وَيُكَبِّرُ حِينَ يَقُومُ مِنَ الثِّنْتَيْنِ بَعْدَ الْجُلُوسِ ‏

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW ketika berdiri untuk menunaikan solat, Baginda akan mengucapkan Takbir, kemudian mengucapkan takbir ketika ruku’, kemudian mengucapkan Sami’allahu liman hamidah, dan ketika mengangkat tulang punggungnya dari ruku’ dan berada pada kedudukan tegak, baginda akan mengucapkan Rabbana walakal hamd. lalu Baginda mengucapkan takbir ketika turun hendak melaksanakan sujud, bertakbir ketika mengangkat kepala (dari sujud), kemudian takbir ketika akan sujud (kedua), lalu takbir ketika mengangkat kepala (dari sujud kedua). Baginda melakukan itu semua di dalam solat sehingga selesai, dan baginda bertakbir ketika berdiri dari dua rakaat setelah duduk (tasyahud awal).

(Hadis riwayat Bukhari, No. 786)

Jelas daripada hadis tersebut, tujuan Rasulullah SAW adalah untuk mengajar dan memberi kefahaman kepada umat Islam dalam menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam menunaikan solat.

Kesimpulan bagi persoalan ini, bacaan ketika I’tidal yang dilafazkan dengan Sami’allahu liman hamidah adalah satu lafaz sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW ketika menunaikan solat. Maka itu merupakan jawapan yang sempurna yang dapat disimpulkan berkenaan soalan yang diajukan. Mari bersama-sama memelihara dan mempraktikkan sunnah Nabi SAW. Taat kepada sunnah Nabi SAW, sudah pasti ada kejayaan yang akan dimiliki.

Sabda Nabi SAW;

كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Maksudnya: Setiap umatku akan memasuki syurga melainkan mereka yang enggan, Para sahabat bertanya, Wahai Rasulullah, lantas siapakah yang enggan? Nabi SAW menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku akan memasuki syurga dan sesiapa yang mengingkariku bererti dia enggan masuk syurga.

(Hadis riwayat Bukhari, No. 7280)

WallahuA’lam.