AL-KAFI #1523 : ADAKAH ORANG YANG BERJUNUB PERLU BERWUDUK TERLEBIH DAHULU SEBELUM MAKAN?

al Kafi 1523

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ada satu persoalan. Saya pernah mendengar bahawa orang yang berjunub kena ambik wuduk dulu sebelum makan? Betul ka Dato’? Saya harap Dato’ Mufti dapat beri pencerahan dalam hal ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

بَرَكَةُ الطَّعَامِ الوُضُوءُ قَبْلَهُ وَالوُضُوءُ بَعْدَهُ

Maksudnya : “Keberkatan makanan itu ialah dengan berwuduk sebelumnya dan berwuduk selepasnya.” [HR al-Tirmizi (1846)]

Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa antara hikmahnya ialah :

أَنَّ الْأَكْلَ بَعْدَ غَسْلِ الْيَدَيْنِ يَكُونُ أَهْنَأَ وَأَمْرَأَ وَلِأَنَّ الْيَدَ لَا تَخْلُو عَنِ التَّلَوُّثِ فِي تَعَاطِي الْأَعْمَالِ فَغَسْلُهَا أَقْرَبُ إِلَى النَّظَافَةِ وَالنَّزَاهَةِ وَلِأَنَّ الْأَكْلَ يُقْصَدُ بِهِ الِاسْتِعَانَةُ عَلَى الْعِبَادَةِ فَهُوَ جَدِيرٌ بِأَنْ يَجْرِيَ مَجْرَى الطَّهَارَةِ مِنَ الصَّلَاةِ فَيُبْدَأُ بِغَسْلِ الْيَدَيْنِ وَالْمُرَادُ مِنَ الْوُضُوءِ الثَّانِي غَسْلُ الْيَدَيْنِ وَالْفَمِ مِنَ الدُّسُومَاتِ

Maksudnya : “Sesungguhnya makan selepas membasuh kedua-dua tangan menjadikan ia lebih selamat dan enak (makanan tersebut), kerana tangan tidak dapat lari daripada tercemar atau kotor disebabkan oleh aktiviti (seharian kita), maka membasuhnya adalah (merupakan perbuatan) lebih dekat (terjamin) kepada kebersihan dan kesucian. Juga kerana tujuan makan adalah untuk memudahkan kita beribadah (ada kekuatan). Maka, perkara tersebut sesuai, lebih-lebih lagi ia selari dengan perbuatan bersuci bagi menunaikan solat (berwuduk) yang mana dimulai dengan membasuh kedua-dua tangan. Manakala makna kedua bagi berwuduk di sini ialah membasuh kedua-dua tangan dan mulut daripada lemak-lemak (daging yang melekat).” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/470)

Sunat berwuduk bagi orang berjunub sebelum makan dan minum

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, Imam al-Nawawi ada menyatakan di dalam kitabnya bahawa :

وَيُكْرَهُ لِلْجُنُبِ أَنْ يَنَامَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ وَيُسْتَحَبُّ إذَا أَرَادَ أَنْ يَأْكُلَ أَوْ يَشْرَبَ... أَنْ يَتَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاةِ وَيَغْسِلَ فَرْجَهُ فِي كُلِّ هَذِهِ الْأَحْوَالِ

Maksudnya : “Makruh hukumnya bagi orang yang berjunub untuk tidur sehinggalah dia berwuduk. Dan disunatkan juga, sekiranya dia mahu makan atau minum untuk dia berwuduk sebagaimana wuduknya bagi menunaikan solat serta membasuh kemaluannya pada setiap keadaan-keadaan ini.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/156)

Begitu juga, Ibn Nujaim al-Hanafi ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa :

وَيُسْتَحَبُّ غَسْلُ الْيَدَيْنِ قَبْلَ الطَّعَامِ فَإِنَّ فِيهِ بَرَكَةً، وَفِي الْبُرْهَانِيَّةِ : وَالسُّنَّةُ أَنْ يَغْسِلَ الْأَيْدِيَ قَبْلَ الطَّعَامِ وَبَعْدَهُ...وَيُكْرَهُ لِلْجُنُبِ رَجُلًا كَانَ، أَوْ امْرَأَةً أَنْ يَأْكُلَ طَعَامًا، أَوْ شَرَابًا قَبْلَ غَسْلِ الْيَدَيْنِ وَالْفَمِ وَلَا يُكْرَهُ ذَلِكَ لِلْحَائِضِ

Maksudnya : “Disunatkan untuk membasuh kedua-dua tangan sebelum makan kerana sesungguhnya padanya ada keberkatan. Dan di dalam al-Burhaniyyah menyebutkan bahawa sunat untuk membasuh tangan sebelum makan dan selepasnya… Dan makruh hukumnya bagi orang yang berjunub dalam kalangan laki-laki dan perempuan untuk makan atau minum sebelum membasuh tangan dan mulut mereka. Akan tetapi tidak makruh perkara tersebut kepada perempuan yang haid.” (Lihat al-Bahru al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, 8/208-209)

Oleh itu kita ketahui bahawa di sisi mazhab Syafi’iyyah, membasuh tangan sebelum makan bagi orang yang berjunub hukumnya adalah sunat. Ini juga adalah merupakan pendapat mazhab Hanafiyah dan Hanabilah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270)

Mereka berhujahkan dengan riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa :

كانَ رَسولُ اللهِ ﷺ إذا كانَ جُنُبًا، فأرادَ أنْ يَأْكُلَ، أوْ يَنامَ، تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلاةِ

Maksudnya : “Bahawa Rasulullah SAW sekiranya dalam keadaan berjunub. Kemudian, baginda mahu makan atau tidur, baginda akan berwuduk terlebih dahulu sebagaimana wuduknya bagi menunaikan solat.” [HR al-Bukhari (288) dan Muslim (305)]

Al-Khatib al-Syirbini ada menyebutkan bahawa diqiaskan orang yang berjunub dengan perempuan yang haid dan nifas sekiranya telah berhenti darahnya. Juga diqiaskan dengan perbuatan makan dan minum. Hikmah akan perkara tersebut adalah bagi meringankan hadasnya dan kebersihan. Sekiranya dia melakukan semua perkara tersebut (seperti makan, minum dan tidur) dalam keadaan berjunub, hukumnya adalah makruh. Dan wuduk yang dimaksudkan disini ialah wuduk syar’ie (sebagaimana hendak solat) dan bukannya lughawi (membasuh tangan). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/195)

Kemudian para ulama telah berselisih mengenai makna berwuduk pada hadis berkenaan kepada dua pendapat :

Pendapat pertama : Para ulama mengatakan bahawa makna wuduk di dalam hadis tersebut adalah sebagaimana wuduk bagi menunaikan solat.

Pendapat kedua : Sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa maknanya adalah dari segi bahasa iaitu membasuh kedua-dua tangan.

(Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270)

Pendapat kedua ini adalah berdasarkan kepada riwayat Aisyah R.Anha :

كانَ رسولُ اللَّهِ صلّى اللهُ علَيهِ وسلَّمَ إذا أرادَ أن ينامَ، وَهوَ جنبٌ، تَوضَّأَ. وإذا أرادَ أن يأْكلَ، أو يشربَ. قالت : غسلَ يدَيهِ، ثمَّ يأكلُ أو يشربُ

Maksudnya : “Bahawa Rasulullah SAW sekiranya mahu tidur sedangkan baginda dalam keadaan berjunub, baginda akan berwuduk terlebih dahulu. Dan sekiranya baginda mahu makan atau minum. Aisyah R.Anha berkata : Baginda akan membasuh kedua-dua tangannya, kemudian barulah baginda akan makan atau minum.” [HR al-Nasaie (257) dan al-Albani menilai hadis ini sebagai hadis sahih]

Dan pendapat yang kedua ini juga adalah merupakan pendapat Ibn Qayyim al-Jauziyyah iaitu sekiranya orang yang berjunub itu hendak makan, basuhlah kedua-dua tangannya terlebih dahulu. (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 10/233)

Syeikh Abdul Aziz al-Rajihi menyebutkan bahawa hadis ini menunjukkan keluasan dalam perkara tersebut. Di dalam hadis yang lain menyatakan sekiranya baginda mahu makan, baginda akan berwuduk terlebih dahulu. Sedangkan di dalam hadis ini menunjukkan baginda hanya membasuh kedua-dua tangannya. Oleh yang demikian, perbuatan membasuh tangan itu, hukumnya adalah harus. Akan tetapi sekiranya dia dapat berwuduk adalah lebih baik (afdhal) dan tiada masalah sekiranya dia meninggalkan wuduk sekalipun. Namun, sekiranya dia mahu tidur, dia hendaklah berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat.

Selain daripada itu, hadis tersebut juga menunjukkan bahawa urusan makan dan minum adalah lebih mudah berbanding hendak tidur. Hal ini kerana Nabi SAW tidak pernah tidur melainkan dalam keadaan berwuduk. Bahkan ketika baginda dalam keadaan junub sekalipun, baginda akan berwuduk sekiranya hendak tidur. Adapun mengenai makan dan minum, ada kalanya Nabi SAW berwuduk terlebih dahulu dan ada kalanya Nabi SAW makan dan minum tanpa berwuduk terlebih dahulu.

(Lihat Syarah Sunan al-Nasaie oleh Syeih Abdul Aziz al-Rajihi, 13/32-34)

Kesimpulannya

Setelah kami melihat kepada pendapat-pendapat ulama serta dalil-dalil mereka, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya serta mengamalkan syariahNya dengan sebaik mungkin.