Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1536 : TIDAK BATAL WUDUK MENYENTUH ANGGOTA BADAN YANG TERPUTUS

af1536 compressed

Soalan:

Apakah hukum anggota pasukan penyelamat atau perubatan seperti bomba dan pihak hospital menyentuh cebisan daging dan kulit mangsa musibah jika berlainan jantinan dan tidak berlapik? Adakah berdosa dan membatalkan wuduk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya, hukum menyentuh kulit yang berlainan jantina adalah membatalkan wuduk. Namun, jika anggota itu sudah terpisah maka hukumnya sudah berbeza.

Firman Allah ﷻ:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Maidah: 6)

Imam al-Syafie Rahimahullah ketika menghuraikan ayat di atas menyebut: “Maka diserupakan hukum dengan wajibnya wuduk apabila membuang air besar dan bersentuhan (dengan wanita). Bersentuhan disebut secara bersambung dengan membuang air besar, selepas ayat itu menyebut tentang berjunub, maka hukumnya sama dengan bersentuhan. Bersentuhan itu boleh jadi menyentuh dengan tangan dan juga cium, walaupun tanpa berjunub. Telah mengkhabarkan kami akan Malik daripada Ibn Syihab, daripada Salim bin Abdillah, daripada ayahnya, (Ibn Umar) yang berkata: “Ciuman lelaki terhadap isterinya, dan menyentuhnya dengan tangan, ialah mulamasah (bersentuhan), maka barangsiapa yang mencium isterinya atau menyentuhnya dengan isterinya maka wajib dia berwuduk.” Telah sampai kepada kami riwayat daripada Ibn Mas’ud yang mempunyai makna yang dekat dengan pendapat Ibn Umar.”

Beliau juga berkata: “Tidak diertikan (sentuhan itu) mesti bersyahwat, kerana itu merupakan pekerjaan hati. Cukup erti itu pada perbuatan (menyentuh).”

Rujuk al-Umm (1/29-30); al-Muwatta’ oleh Imam Malik (64) dan (65).

Berkata Syeikh Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj: “Tidak batal wuduk (menyentuh) anggota yang terpisah, selain faraj, maka jika seorang wanita terbelah dua, maka adakah batal wuduk kalau menyentuh faraj yang terbelah itu? Terdapat dua pandangan tetapi yang lebih tepat ialah tidak batal.

Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/146); Hasyiah al-Bijairimi (1/214)

Adapun hukum melihat dan menyentuhnya, maka berkata Imam al-Suyuti: “Setiap anggota yang diharamkan untuk dilihat maka adalah haram untuk disentuh.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazhair (ms. 475).

Manakala Imam Tajuddin al-Subki dalam kitab Asybah-nya (1/367) meletakkan salah satu pengecualian bagi kaedah di atas ialah kepada tabib sekiranya terdapat hajat keperluan untuk menyentuh. Begitu juga hajat untuk melihat.

Al-Suyuti menyambung: Menyentuh anggota yang terputus daripada perempuan (oleh lelaki) terdapat dua pandangan; pandangan yang paling sahih ialah tidak membatalkan wuduk, kerana anggota itu tidak dinamakan perempuan, sedangkan batal wuduk tertakluk hukumnya pada perbuatan menyentuh perempuan.”

Memandang anggota yang terputus daripada perempuan yang asing, maka terdapat dua pandangan; yang lebih sahih ialah diharamkan melihat kepadanya. Manakala pandangan yang bertentangan dengannya ialah (diharuskan) kerana sifatnya yang jarang mendatangkan fitnah (syahwat kepada pelihatnya)

Rujuk al-Asybah wa al-Nazhair (ms. 475).

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, hukum anggota pasukan penyelamat atau perubatan seperti bomba dan pihak hospital menyentuh cebisan daging dan kulit mangsa musibah jika berlainan jantina dan tidak berlapik adalah diharuskan dan tidak membatalkan wuduk, kerana alasan berikut:

  1. Wujud hajat keperluan untuk mengumpulkannya dan menguruskannya dengan cara terhormat
  2. Sudah hilang sebab fitnah dan syahwat

Semoga Allah ﷻ menerima amalan baik kita semua. Wallahua’lam.