AL-KAFI #1611 : SOLAT BERJEMAAH YANG DIHALANGI LANGSIR YANG LABUH

Soalan:

Saya ingin bertanya mengenai status solat berjemaah bagi jemaah wanita yang mengikut imam lelaki di dalam surau pejabat (surau yang telah diwartakan sebagai surau oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) di mana pembahagi/penghadang antara jemaah lelaki dan wanita  ditutupi sepenuhnya dengan kain langsir yang tidak kelihatan pergerakan imam tetapi boleh diikuti atau diketahui dengan jelas pergerakan imam berdasarkan suara imam yang boleh didengari dengan jelas.  Adakah sah solat tersebut dan sekiranya sah adakah dapat pahala berjemaah. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara syarat sahnya solat berjemaah ialah imam dan makmum mesti berada dalam satu tempat yang sama, atau ijtima. Jika antara imam dan makmum terdapat penghalang yang pada pandangan uruf memisahkan tempat kedua-dua pihak, maka tidak sahlah solat pihak makmum jika mengikut imam. Syarat ijtima` ini berbeza antara solat yang dilaksanakan di masjid dan di luar masjid. Jika di masjid,  syaratnya adalah seperti berikut:

Ini kerana masjid dibina untuk tujuan solat berjemaah, maka setiap hukum yang dilakukan di dalamnya mengambilkira keadaan berjemaah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/307) oleh al-Nawawi; al-Bayan (4/139) oleh al-Imrani; al-Mughni (2/152) oleh Ibn Qudamah.

Manakala bagi qudwah di luar masjid atau salah seorangnya, sama ada imam atau makmum,  di luar masjid, syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

Menurut mazhab al-Syafie, kain penutup seumpama langsir pada urufnya memisahkan satu tempat kepada dua, bagi konteks kawasan solat selain masjid seperti dalam rumah dan pejabat. Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari:

"Sekiranya suatu menghalang jalan seperti tingkap, atau pandangan seperti pintu yang tertutup, sekalipun tidak berkunci, nescaya akan menghalang musyahadah (penglihatan), sekalipun tidak menghalang laluan, contohnya seperti penutup yang labuh.” 

      Rujuk Fath al-Mu`in (ms.75); Tuhfah al-Muhtaj (8/203)

Dalam I`anah al-Tolibin (2/35) dihuraikan:

“[al-sitri]…kata nama bagi sesuatu yang dijadikan penutup dengannya…[al-markha] yakni antara imam dan makmum.”

Oleh itu, ketika makmum perempuan di halangi oleh kain penutup, tetapi tidak menghalangnya sampai ke imam kerana dapat ditembus dengan melewatinya dan tidak menghalangi rukyah karena ditutup dengan penutup yang nipis atau tebal namun terbuka sedikit sehingga boleh melihat imam, maka solat jemaahnya sah.

Namun jika kain penutup itu menghalang rukyah (pandangan) kepada imam seperti tertutup rapat dengan penutup yang tebal hingga tidak terlihat imamnya sama sekali, maka solat makmum itu tidak sah. Apabila solat jemaah itu tidak sah, maka kesannya solatnya juga boleh terbatal sekali jika “makmum” itu menunggu “imam”nya dengan lama tanpa melakukan apa-apa. Jika menunggu tidak lama, maka solatnya sah tetapi dianggap sebagai solat bersendirian.

Disebut dalam Fath al-Muin (ms.178-179):

“Maka jika seseorang itu meninggalkan niat qudwah atau syak pada niat (termasuk jika syarat qudwahnya tidak memenuhi – pent.) kemudian dia mengikut pada perbuatan seperti menunduk badan untuk rukuk mengikut (“imam”nya) atau memberi salam, dengan niat tanpa mengikut imam, dan hal itu berlaku dengan lama mengikut uruf pada penungguannya, maka batallah solat.”

Di dalam I`anah al-Tolibin (2/25) menyebut alasan batal itu ialah:

“Kerana orang yang solat itu bermain-main dengan keadaannya yang menggantung solatnya dengan solat orang lain tanpa penyambung yang sah antara mereka berdua.”

Ini merupakan pendapat yang asah (lebih sahih). Adapun pendapat ulama yang muqabil asah (berlawanan dengan yang lebih sahih) mengatakan hukumnya adalah tidak membatalkan solat tetapi dikira solat bersendirian. Fakta ini ada disebutkan dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/201):

“[Pendapat yang asah lagi masyhur mengatakan hukumnya batal solatnya kerana solatnya diikatkan dengan orang yang tidak bukan imam bagi, maka jadilah seperti hukum mengikat dengan orang yang tidak bersolat. Inilah pendapat yang dipastikan oleh al-Baghawi dan ulama lain. Manakala pendapat kedua bahawa tidak batal kerana orang itu telah melaksanakan rukun-rukun berdasarkan bentuknya. Inilah pendapat yang telah dipastikan oleh ramai ulama. Justeru jika kita berpegang bahawa tidak batal solatnya maka jadilah solat itu dilaksanakan secara berseorangan, dan tidak mendapat pahala jemaah tanpa khilaf, dan inilah yang dijelaskan oleh al-Mutawalli, dan selain beliau.”

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa sebaiknya tidak diletakkan langsir yang menutup pandangan makmum perempuan kepada imam. Ini bagi mengeluarkan diri daripada khilaf yang berlaku dalam kalangan ulama berkenaan kesahihan solat berjemaah bahkan solat itu sendiri. Imam al-Baihaqi ada menyebut satu riwayat daripada Imam al-Syafie yang berkata:

قَدْ صَلَّى نِسْوَةٌ مَعَ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حُجْرَتِهَا، فَقَالَتْ: " لَا تُصَلِّيَنَّ بِصَلَاةِ الْإِمَامِ؛ فَإِنَّكُنَّ دُونَهُ فِي حِجَابٍ ". قَالَ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللهُ تَعَالَى: وَكَمَا قَالَتْ عَائِشَةُ فِي حُجْرَتِهَا إِنْ كَانَتْ قَالَتْهُ قُلْنَاهُ

“Beberapa orang wanita solat bersama Aisyah, isteri Nabi ﷺ dalam biliknya, kemudia Aisyah berkata: Janganlah kalian solat dengan solat Imam (kerana bilik beliau bersebelahan masjid Nabawi, ketika itu – pent.). Ini kerana sesungguhnya kalian tidak dapat mengikutinya di belakang disebabkan penghalang.” Berkata al-Syafie – semoga Allah merahmatinya -: Seperti mana yang dikatakan oleh Aisyah (tentang solat berjemaah) di dalam biliknya, jika beliau mengatakan sebegitu, kami juga berpendapat sebegitu.”

Rujuk Sunan al-Kubra (5246) oleh al-Baihaqi.

Tambahan lagi, solat berjemaah di belakang imam yang tidak dapat dilihat pergerakan solatnya sebenarnya adalah sukar untuk mengetahui pergerakan dengan tepat. Keadaan ini juga mendedahkan makmum kepada kekeliruan jika imam tersilap dalam rukun, sujud tilawah, sujud sahwi atau seumpamanya.

Namun begitu, sekiranya fakta yang menyebut surau pejabat itu telah diwartakan di bawah Jabatan agama bermaksud ia sudah menjadi mengambil hukum masjid, seperti disediakan untuk ditunaikan di dalamnya solat lima waktu, hanya sahaja dikekalkan nama surau bagi tujuan pentadbiran, maka kewujudan langsir itu tidak memudaratkan solat berjemaah berkenaan. Kami telah membahaskan isu seumpama ini dalam Al-Kafi #833: I'tikaf Di Surau Diri Jumaat Dalam Wilayah Persekutuan; Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-103 : Hukum Menunaikan Solat Sunat Tahiyyatul Masjid Di Surau Diri Jumaat.

Jika statusnya bukan masjid, status solat makmum di belakang langsir yang tertutup penuh tidak dapat melihat pergerakan imam adalah tidak sah mengikut pendapat yang asah. Manakala pendapat kedua, mengatakan hukumnya adalah sah tetapi hilang fadhilat berjemaah. Manakala pendapat dalam mazhab Maliki, menghukumkan sah tetapi makruh apabila makmum berdekatan, dapat mendengar suara imam dan mengetahui pergerakannya tetapi tidak dapat melihatnya.

Rujuk Hasyiah al-Dusuqi (1/338); al-Majmu’ (4/309)

Wallahua`lam.