Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

al Kafi 1662

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Apakah hukum bercakap-cakap selepas kita berdiri untuk solat (selepas selesai iqamah) tapi belum lagi mengangkat takbiratul ihram? Harap Datuk Mufti dapat memberikan pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

مَن كانَ يُؤْمِنُ باللَّهِ واليَومِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik-baik ataupun diam sahaja.” Riwayat al-Bukhari (6018) dan Muslim (47)

Sebagai seorang Muslim kita sangat dituntut agar berbicara perkara-perkara yang baik-baik serta bermanfaat dan memelihara lidah kita daripada kata-kata yang buruk yang boleh menambahkan lagi dosa.

Hukum berkata-kata selepas iqamah

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, perbuatan berkata-kata selepas iqamah dikumandangkan adalah harus serta tidak perlu diulang semula iqamah tersebut. Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata :

أُقِيمَتِ الصَّلاةُ، فَسَوّى النّاسُ صُفُوفَهُمْ، فَخَرَجَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ، فَتَقَدَّمَ، وهو جُنُبٌ، ثُمَّ قالَ: على مَكانِكُمْ فَرَجَعَ فاغْتَسَلَ، ثُمَّ خَرَجَ ورَأْسُهُ يَقْطُرُ ماءً، فَصَلّى بهِمْ

Maksudnya : “Suatu ketika iqamah sudah dikumandangkan, dan orang ramai telah pun meluruskan saf-saf mereka. Lalu Rasulullah SAW telah keluar  dan bergerak ke hadapan bagi memimpin solat sedangkan baginda dalam keadaan berjunub. Kemudian baginda SAW bersabda : Tetaplah berada di tempat kalian. Baginda pun pulang ke rumah untuk mandi dan datang kembali kepada kami dalam keadaan kepalanya basah. Dan baginda pun solat bersama-sama mereka.” Riwayat al-Bukhari (640) dan Muslim (605)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa :

وَجَوَازُ الْفَصْلِ بَيْنَ الْإِقَامَةِ وَالصَّلَاةِ لِأَنَّ قَوْلَهُ فَصَلَّى ظَاهِرٌ فِي أَنَّ الْإِقَامَةَ لَمْ تُعَدْ

Maksudnya : “Padanya menunjukkan keharusan adanya jarak pemisah antara iqamah dan solat (takbiratul ihram) kerana perkataan ‘Baginda solat’, secara zahirnya difahami bahawa iqamah tidak diulang.” (Lihat Fath al-Bari, 2/122)

Di dalam riwayat lain daripada Abdullah ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أقيمُوا الصفوفَ وحاذُوا بين المناكبِ وسُدُّوا الخَللَ

Maksudnya : “Dirikan saf-saf kamu serta samakan bahu-bahu kamu dan tutuplah ruang-ruang (yang ada).” Riwayat Abu Daud (666)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa

وَفِيهِ جَوَازُ الْكَلَامِ بَيْنَ الْإِقَامَةِ وَالدُّخُولِ فِي الصَّلَاةِ وَهَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ جَمَاهِيرِ الْعُلَمَاءِ وَمَنَعَهُ بَعْضُ الْعُلَمَاءِ وَالصَّوَابُ الْجَوَازُ وَسَوَاءٌ كَانَ الْكَلَامُ لمصلحة الصلاة أو لغيرها

Maksudnya : “Pada hadis ini menunjukkan keharusan bercakap antara iqamah dan juga solat (sebelum takbiratul ihram). Ini adalah merupakan pandangan mazhab kita (mazhab Syafie) dan juga mazhab jumhur ulama walaupun sebahagian ulama melarangnya (iaitu bercakap selepas iqamah). Namun begitu, pandangan yang tepat adalah diharuskan sama ada percakapan itu berkaitan dengan perkara-perkara yang melibatkan solat atau selainnya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/157)

Beliau juga ada menyebutkan di dalam kitabnya yang lain bahawa :

مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ الْجُمْهُورِ مِنْ أَهْلِ الْحِجَازِ وَغَيْرِهِمْ جَوَازُ الْكَلَامِ بَعْدَ إقَامَةِ الصَّلَاةِ قَبْلَ الْإِحْرَامِ لَكِنَّ الْأَوْلَى تَرْكُهُ إلَّا لِحَاجَةٍ وَكَرِهَهُ أَبُو حَنِيفَةَ وَغَيْرُهُ مِنْ الْكُوفِيِّينَ

Maksudnya : “Menurut mazhab kami (mazhab Syafie) dan mazhab jumhur ulama dari Hijaz dan selain mereka bahawa diharuskan bercakap-cakap selepas iqamah dikumandangkan, dan sebelum takbiratul ihram. Akan tetapi, adalah lebih baik perbuatan bercakap-cakap itu ditinggalkan melainkan ada keperluan. Manakala Abu Hanifah dan selainnya iaitu ulama dari Kufah berpendapat hukumnya adalah makruh.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/227)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa diharuskan bercakap-cakap selepas iqamah dikumandangkan sekalipun telah berdiri dan berada di dalam saf bagi memulakan solat selagimana masih belum lagi mengangkat takbiratul ihram. Namun, perbuatan tersebut adalah lebih baik ditinggalkan sekiranya tiada keperluan agar ia tidak mengganggu orang yang sedang bersedia (fokus) untuk solat dan beribadah kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.