AL-KAFI #1716: HUKUM JUAL BELI BAJA DARIPADA NAJIS HAIWAN

kafi 1716

 

Soalan:

Saya ada belajar, bahawa dalam mazhab Syafi’e, hukum jual beli najis itu adalah haram dan akad itu tidak sah. Maka bagaimana dengan jual beli baja yang diperbuat daripada najis haiwan, seperti tahi ayam, tahi kambing dan sebagainya? Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Jual beli najis menurut mazhab Syafie

Menurut mazhab Syafie, syarat barang yang dijual supaya suatu aqad itu sah ialah barang tersebut mestilah:

  1. Suci dan bersih
  2. Mendatangkan manfaat
  3. Mampu diserahkan
  4. Dimiliki oleh penjual (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Muamalat hlm. 14-15)

Antara contoh jual beli barang yang najis ialah menjual anjing, khinzir, arak dan lain-lain perkara yang dianggap sebagai najis. Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah R.A, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan kota Mekah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ شُحُومَ الْمَيْتَةِ فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ وَيُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ فَقَالَ لَا هُوَ حَرَامٌ

Maksudnya : ”Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, khinzir dan berhala. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu tetang lemak bangkai (haiwan ) yang digunakan untuk menyalut sampan,meminyakkan kulit dan digunakan sebagai pelita. Nabi SAW bersabda : Tidak boleh. Ia tetap haram dijual.”

Sahih al-Bukhari ( 2236)  dan Sahih Muslim ( 4132)

Dalam isu baja daripada najis haiwan, ia juga diharamkan menurut Imam al-Nawawi:

بَيْعُ سِرْجِينِ الْبَهَائِمِ الْمَأْكُولَةِ وَغَيْرِهَا وَذَرْقِ الْحَمَامِ بَاطِلٌ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ هَذَا مَذْهَبُنَا

Maksudnya: Menjual najis haiwan yang boleh dimakan dan selainnya, serta najis burung adalah batil, dan hasil penjualannya adalah haram, dan inilah adalah mazhab kami (ulama Syafi’eyah). (Rujuk Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab 9/230)

Namun, para ulama Syafi’eyyah lain telah memberikan alternatif dan jalan keluar untuk membolehkan jual beli baja ini diharuskan, iaitu dengan menamakan akad atau kontrak itu dengan istilah naql al-yad, atau menggugurkan hak atas pemilikan dengan gantian sejumlah wang tertentu. Kata Imam al-Syarwani dan Imam Ibrahim al-Baijuri:

ويجوز نقل اليد عن النجس بالدراهم كما في النزول عن الوظائف، وطريقه أن يقول المستحق له: أسقطت حقي من هذا بكذا، فيقول الآخر: قبلت

Maksudnya: Diharuskan menukar pemilikan (naql al-yad) pada perkara-perkara najis dengan dirham (wang) sepertimana dalam hukum melepaskan jawatan; dan kaedahnya ialah dengan pemilik najis itu berkata “Aku menggugurkan hak aku daripada barang ini dengan harga sekian sekian”, dan pihak yang satu lagi pula berkata: “Aku terima”.  (Rujuk Hasyiyah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj 4/235 dan Hasyiyah a-Baijuri ‘ala Syarh al-Ghazi 1/42. Hal yang serupa turut disebut oleh Imam al-Bujairimi dalam Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 3/4 dan 3/60)

Bahkan menurut ulama mazhab Hanafi, jual beli baja adalah halal dan akad tersebut dikira sah. Menurut Imam al-Nawawi, ulama mazhab Abu Hanifah berpandangan demikian kerana najis haiwan itu boleh dimanfaatkan, maka ia diharuskan untuk jual beli sepertimana barangan yang lain. (Rujuk Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar 6/385)

Selain itu, pengambilan keuntungan melalui industri baja juga boleh dilakukan melalui akad atau kontrak ijarah, iaitu pengambilan upah ke atas sesuatu perkhidmatan. Contohnya, upah diberi kepada pemilik baja atas dasar upah mengumpul, memaket, mengangkut dan menguruskan baja tersebut.

 

Kesimpulan:

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa sememangnya pandangan mazhab Syafi’e mengharamkan jual beli najis, dan ia termasuklah baja daripada najis haiwan. Namun demikian, disana ada pengecualian dan alternatif atas dasar maslahah, di mana akad jual beli baja ditukar kepada akad penukaran hak milik dengan bayaran tertentu (naql al-yad), atau dengan kontrak upah (ijarah) atas pengurusan baja tersebut.

Wallahu a’lam.

 

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan