AL-KAFI #1756: HUKUM PEMODAL MENUNTUT MODAL PELABURAN SELEPAS PERNIAGAAN MENGALAMI KERUGIAN

bisnes 2 

Soalan

Assalamualaikum tuan mufti. Saya berkecimpung dalam bisnes menjual makanan haiwan ternakan. Pada tahun 2010, kawan saya berminat untuk melaburkan duitnya sebanyak RM10,000 terhadap perniagaan saya. Dalam surat perjanjian disebutkan bahawa pemodal akan diberikan keuntungan tetap sebanyak RM300 sebulan. Malangnya, selepas beberapa tahun, perniagaan kami mula merudum dan keuntungan makin mengecil sehinggalah saya terpaksa gulung tikar pada tahun 2016.

Tidak lama selepas itu kawan saya menuntut semula duit modal tersebut secara penuh. Namun, saya merasakan sepatutnya dalam perniagaan hendaklah berkonsepkan “untung sama untung, rugi sama rugi” tetapi dalam hal ini kelihatan hanya saya yang menanggung kerugian. Mohon pencerahan SS Tuan Mufti.

Jawapan Ringkas

Dalam akad pelaburan, sekiranya bisnes yang dibuat mengalami kerugian sehingga mengakibatkan duit modal rugi keseluruhannya, maka kerugian tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pemodal dan dia tidak berhak menuntut semula duit modal kepada pihak pengusaha atau pekerja. Hal ini kerana, pihak pengusaha juga mengalami kerugian dari sudut masa dan tenaga yang dikerahkan.

Selain itu, tidak boleh menjanjikan keuntungan tetap dalam bentuk nilai yang pasti seperti RM300, RM200 dan sebagainya, termasuk juga menjanjikan pulangan daripada modal. Sebaliknya, pulangan mestilah dibuat dalam bentuk peratusan atau pecahan dan kiraannya hendaklah berdasarkan hasil keuntungan sebenar yang diperoleh, bukan dikira melalui modal.

 

Huraian Jawapan

Situasi di atas berkait dengan perbincangan ulama dalam bab pelaburan atau mudharabah. Pelaburan bermaksud pemodal memberikan sejumlah harta untuk diniagakan oleh pengusaha dan keuntungan dikongsi bersama. Terdapat dua pihak yang memainkan peranan penting dalam akad pelaburan iaitu pelabur sebagai pihak yang mengeluarkan duit modal manakala pengusaha sebagai pihak yang mengerahkan tenaga dan keringat memastikan pelaburan tersebut mendatangkan hasil dan keuntungan.

Cara Pembahagian Keuntungan

Dalam akad pelaburan, setiap pelabur dan pengusaha hendaklah mengetahui kadar keuntungan masing-masing seperti yang disepakati sewaktu awal perjanjian dibuat. Selain itu, keuntungan hendaklah dinyatakan secara pecahan (cth: 1/3 untuk pengusaha, 2/3 untuk pemodal) atau secara peratusan (cth: 40% untuk pengusaha, 60% untuk pemodal) dan sebagainya. Dalam erti kata lain, tidak sah sekiranya keuntungan ditetapkan secara bilangan dan nombor yang spesifik seperti RM100, RM1000 kerana boleh jadi keuntungan yang bakal diperoleh tidak mencapai angka tersebut ataupun itulah sahaja untung yang diperoleh.

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 7/76)

Menuntut Semula Wang Modal

Secara asas, para ulama menetapkan bahawa sekiranya suatu perniagaan berlaku kerugian sehingga menyebabkan duit modal hangus atau barang tidak laku, maka kerugian modal ditanggung sepenuhnya oleh pelabur. Bahkan, sekiranya pengusaha disyaratkan untuk menampung kerugian yang timbul, akad pelaburan tersebut dianggap terbatal.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/289)

Pendapat ini juga bertepatan dengan kaedah Fiqh yang menyebut,

الغرم بالغنم

Maksudnya: “Risiko (kerugian) sejajar dengan keuntungan”.

Dalam hal pelaburan, kedua-dua pihak perlu bersedia untuk menanggung risiko kerugian iaitu pelabur kerugian duit modalnya manakala pengusaha kerugian masa dan tenaga. Tidak boleh hanya satu pihak yang menanggung risiko dan kerugian sedangkan pihak yang lain hanya menikmati keuntungan semata-mata. Hal ini jelas bertentangan dengan konsep tolong-menolong dan kerjasama yang diterapkan Islam melalui kontrak pelaburan ini.

Berdasarkan situasi di atas, perniagaan kedai runcit tersebut mengalami kerugian dan terpaksa gulung tikar, dalam masa yang sama pelabur meminta semula duit modal. Dalam hal ini terdapat dua keadaan:

Pertama: Sekiranya aset masih ada berbaki, pengusaha perlu mencairkannya dengan cara menjual barang-barang yang dibeli menggunakan duit modal tersebut dan hasil jualan nanti dipulangkan semula kepada pelabur dalam bentuk tunai. Hasil jualan itu dianggap sebagai duit modal yang baru. (Rujuk: al-Mu’tamad, 3/295)

Kedua: Sekiranya tiada aset atau barang yang masih berbaki, pemilik modal tidak boleh menuntut semula duit modal yang telah dilaburkan sepertimana yang diterangkan di atas. Kerugian duit modal tersebut perlulah ditanggung sepenuhnya oleh pemodal kerana secara adatnya tiada siapa yang boleh menjamin keuntungan dan kerugian dalam sesuatu bisnes, khususnya pelaburan.

Akhir kata, semoga kita semua memahami dan mendalami prinsip-prinsip asas dalam islam khususnya dalam bab muamalat agar terhindar daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang dilarang oleh Syarak.

Wallahu a’lam.