AL-KAFI #1806: HUKUM TIDAK MELEPASKAN KUARTERS KERAJAAN WALAUPUN SUDAH MEMILIKI RUMAH SENDIRI DALAM RADIUS 25KM

KUATERS.png

 

SOALAN

Assalamualaikum.

Apakah hukum jika penjawat awam tidak melepaskan kuarters kerajaan yang didiaminya selepas membuat pembelian rumah sendiri?

Terima kasih.

 

JAWAPAN RINGKAS

Perbuatan tidak menyerahkan kuarters jika telah memiliki rumah dalam 25KM radius daripada kuarters adalah salah. Hal ini kerana, pihak tersebut telah melanggar syarat kontrak yang telah dipersetujui bersama. Oleh itu, dinasihatkan agar agar berlaku jujur dalam memenuhi setiap syarat yang dipersetujui agar tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari.

HURAIAN JAWAPAN

 

Kuarters kerajaan merupakan satu tempat kediaman yang disediakan oleh kerajaan kepada Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Anggota Perkhidmatan Badan Berkanun yang berkhidmat di dalam stesen yang sama dengan kuarters seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) atau berkhidmat di kawasan atau Jabatan yang telah diluluskan oleh BPH dibolehkan untuk memohon menduduki kuarters. Pihak BPH telah meletakkan syarat-syarat yang khusus bagi setiap penjawat awam bagi melayakkan mereka untuk mendiami kuarters kerajaan. Setiap maklumat yang diberikan hendaklah sah dan benar. Jika maklumat palsu diberikan maka pihak BPH berhak membatalkan permohonan atau menarik balik kelulusan permohonan tersebut. Pihak BPH juga telah meletakkan syarat bahawa jika pemilik sudah mempunyai rumah sendiri pada radius 25km daripada kuarters wajib menyerahkan kembali kuarters yang didiami kepada pihak BPH.

(Rujuk Frequently Ask Questions FAQ BPH)

 

Secara umumnya, terdapat perjanjian yang telah dipersetujui bersama di antara penjawat awam dan pihak BPH yang perlu dipatuhi. Islam sangat menitikberatkan penganutnya agar berpegang pada janji. Hal ini kerana, pematuhan kepada setiap perjanjian yang dibuat membuktikan kejujuran dan kepercayaan di dalam kehidupan manusia. Terdapat banyak perbincangan melibatkan penunaian janji yang telah disebut di dalam al Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW. Menurut firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

Surah al-Maidah (1)

Dr. Wahbah al Zuhayli menafsirkan ayat ini bahawa perbuatan melanggar janji adalah perbuatan maksiat dan berdosa. Perkara ini disebutkan di dalam tafsirnya:

فالعهد فضيلة وميثاق، والعقد التزام وارتباط، والإخلال بالعهد خيانة ونفاق، والتحلل من العقد إهدار للثقة وتضييع للحقوق، فيجب شرعا الوفاء بالعهد، وتنفيذ مقتضى العقد، فمن أخلف بوعده، ولم يوف بعهده، ولم ينفذ التزام عقده، وقع في الإثم والمعصية

Maksudnya: “Janji adalah satu keutamaan dan pegangan teguh. Merosakkan janji adalah satu sifat khianat dan nifak. Meleraikan perjanjian merupakan sikap yang meruntuhkan kepercayaan dan menafikan hak (manusia). Oleh itu, tetapi janji adalah wajib menurut syarak. Sesiapa yang memungkiri janji dan tidak menepati janji, sebenarnya dia telah melakukan dosa dan maksiat.” 

(Rujuk Tafsir al Munir 15/73)

Seterusnya, Allah juga befirman:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

Surah al-Isra’ (34)

 

Syeikh al-Maraghi menyatakan penyempurnaan janji adalah semua janji yang selari dengan syariat mahupun undang-undang yang diredhai oleh Allah SWT.

(Rujuk Tafsir al-Maraghi 15/44)

 

Dalam pada itu, banyak hadis-hadis yang menyentuh perihal menunaikan janji atau berpegang pada janji. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah memberikan khutbah kepada kami. Baginda bersabda :

لاَ إِيمَانَ لِمَنْ لاَ أَمَانَةَ لَهُ وَلاَ دِينَ لِمَنْ لاَ عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: “Tiada iman (tidak sempurna) bagi yang tiada sifat amanah. Tiada agama (kurang agama) bagi yang tidak menepati janji.”

Riwayat al-Baihaqi

Seterusnya, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: “Orang muslim itu berpegang pada janji mereka.”

Riwayat Abu Daud

Imam Ibnu Ruslan ketika mensyarahkan hadis ini berpendapat bahawa maksud عَلَى شُرُوطِهِمْ adalah mereka yang tetap berpegang pada janji mereka tanpa memungkirinya

(Rujuk Kitab Syarah Sunan Abi Daud Li Ibni Ruslan 14/655)

Kewajipan memenuhi syarat dalam akad adalah merupakan kewajiban yang harus dipenuhi oleh kedua belah pihak. Imam al Mawardi menyatakan bahawa wajib bagi kedua belah pihak memenuhi setiap syarat yang ditetapkan dalam perjanjian. 

(Rujuk al Hawi al Kabir 5/359)

Perbuatan melanggar syarat yang telah dipersetujui semasa akad dibuat adalah perbuatan yang salah. Hal ini kerana, kedua belah pihak mesti mengikut syarat yang telah dipersetujui. Jika salah satu pihak melanggar syarat, maka pihak satu lagi berhak untuk membatalkan akad tersebut.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, perbuatan tidak menyerahkan kuarters jika telah memiliki rumah dalam 25KM radius daripada kuarters adalah salah. Hal ini kerana, pihak tersebut telah melanggar syarat kontrak yang telah dipersetujui bersama. Oleh itu, dinasihatkan agar agar berlaku jujur dalam memenuhi setiap syarat yang dipersetujui agar tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari. Wallahuallam.