Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-584 : HUKUM KHATIB TIDAK MEMBACA KHUTBAH KEDUA BAGI SOLAT JUMAAT

IF584

SOALAN

Assalamualaikum WBT. Saya ingin bertanya, apakah hukum jika sekiranya khatib tidak membaca khutbah kedua bagi solat Jumaat? Adakah khutbah dan solat Jumaat tersebut dikira sah?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Syarat sah bagi solat Jumaat hendaklah didahulukan dengan dua khutbah disisi jumhur ulama termasuk mazhab al-Syafie. Jika sekiranya imam terlupa atau sengaja tidak membaca khutbah yang kedua, maka hendaklah mengingatkan dan menegurnya. Namun jika imam masih tidak mengingatinya atau enggan, maka para jemaah tidak boleh mengikut imam tersebut kerana sudah diketahui bahawa solat Jumaat yang akan didirikan tidak sah kerana tidak cukup syarat.

Dalam situasi seperti ini, para jemaah hendaklah mendirikan solat Zuhur. Begitu juga, jika solat Jumaat tersebut sudah pun dilaksanakan tanpa khutbah kedua, maka para jemaah hendaklah mengulang kembali solat Zuhur juga kerana solat Jumaat tersebut tidak sah kerana tidak mencukupi syarat.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertamanya, syarat sah bagi solat Jumaat hendaklah didahului dengan dua khutbah disisi jumhur ulama termasuk mazhab al-Syafie. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab bahawa:

ولا تصح الجمعة حتى يتقدمها خطبتان لِمَا رُوِيَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ " صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي " وَلَمْ يُصَلِّ الجمعة إلا بخطبتين وروى ابْنِ عُمَرَ قَالَ " كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم يخطب يوم الجمعة خطبتين يجلس بينهما

Maksudnya: Tidak sah solat Jumaat sehingga ia didahului oleh dua khutbah, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW, bahawa Baginda SAW bersabda: “Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat.” Tidak boleh didirikan solat Jumaat kecuali didahului dua khutbah, yang mana berdasarkan hadis yang diriwayat daripada Ibn Umar RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW sentiasa berkhutbah pada hari Jumaat, Baginda SAW duduk di antara kedua-duanya.” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4:513)

Kedua, dua khutbah dalam solat Jumaat tersebut menggantikan dua rakaat Zuhur, maka jika sekiranya berlaku kekurangan dalam khutbah, ia sama juga seperti kekurangan rakaat dalam solat. Oleh itu, sepertimana tidak boleh untuk hanya cukup dengan satu rakaat bagi solat Jumaat, maka tidak boleh juga untuk hanya cukup kepada satu khutbah baginya.

Maka dengan itu, jika sekiranya imam terlupa atau sengaja tidak membaca khutbah yang kedua, para jemaah hendaklah mengingatkan dan menegur imam supaya membaca khutbah kedua. Jika sekiranya imam tidak mengingatinya atau enggan, maka para jemaah tidak boleh mendirikan solat Jumaat bersama imam tersebut kerana batal solat bagi orang yang mengikutinya dan hendaklah mereka mengulang kembali dengan mendirikan solat Zohor. [1]

Kesimpulan

Oleh yang demikian, jika berlaku keadaan di mana imam terlupa atau sengaja tidak membaca khutbah kedua, maka para jemaah hendaklah menegur dan mengingatkan imam terhadap perkara tersebut.

Namun jika imam tidak ingat atau enggan, maka tidak boleh untuk diikuti imam tersebut kerana solatnya tersebut adalah terbatal disisi jumhur ulama’. Dalam situasi ini, para jemaah hendaklah mendirikan solat Zuhur. Begitu juga, jika solat Jumaat tersebut sudah pun dilaksanakan tanpa khutbah kedua, maka para jemaah hendaklah mengulang kembali solat Zuhur juga kerana solat Jumaat tersebut tidak sah kerana tidak mencukupi syarat.

WaAllahu a’lam.

------

Rujukan

[1] Web Darul Ifta’ Jordan –[https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=1957#.X1cpTsgzZPY]