AL-KAFI #1864: HUKUM JUAL BELI PEMAIN BOLA SEPAK

alkafi 1864 1

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya sering terdengar berkenaan jual beli pemain bola sepak di media massa, persoalan saya di sini adalah bolehkah kita melakukan jual beli tubuh badan manusia? Bukankah ia dilarang dalam agama? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Jual beli pemain bola sepak bukan menyerupai sindiket pemerdagangan manusia, dan bukan pula terdiri atas akad jual beli sebagaimana namanya. Akan tetapi, ia terdiri atas kontrak sewa dan upah, dan ia sememangnya dibenarkan menurut syarak.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan.

Islam sememangnya melarang daripada melakukan jual beli tubuh badan manusia yang merdeka.[1] Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis qudsi yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Baginda bersabda:

قَالَ اللَّهُ: ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ: رَجُلٌ أَعْطَى بِي ثُمَّ غَدَرَ، وَرَجُلٌ بَاعَ حُرًّا فَأَكَلَ ثَمَنَهُ، وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ

Maksudnya: “Allah SWT berfirman: “Tiga golongan, di mana Aku menjadi musuh mereka pada Hari Kiamat; orang yang memberi (membuat perjanjian) atas nama-Ku kemudian dia khianat, orang yang menjual orang yang merdeka lalu memakan hasil jualannya dan orang yang mengupah pekerja lalu menyuruh untuk menyempurnakan pekerjaannya, tetapi tidak membayar upahnya.”

Riwayat al-Bukhari (2227)

Sementara, menurut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ada menyebut bahawa aktiviti pemerdagangan orang bermaksud segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan, dan termasuklah perbuatan merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang.[2]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, realiti sebenar jual beli atau pertukaran pemain bola sepak tidak menggambarkan berlakunya pemerdagangan manusia yang secara jelas menyalahi akta yang ditetapkan pihak kerajaan oleh kerana tidak terdapatnya unsur eksploitasi ataupun paksaan di dalamnya. Sebaliknya, ia merupakan sukarela diri mereka untuk mengikat kontrak dengan sesebuah kelab bola sepak, dan sekiranya kontrak mereka masih terikat dengan kelab tersebut, dan pada masa yang sama, ada kelab lain yang ingin merekrutnya, maka mereka akan ‘membelinya’ dengan cara memberikan kompensasi atau bayaran ganti rugi kepada kelab asal pemain tersebut bagi tujuan penamatan kontrak pemain tersebut dengan kelab asal mereka. Seterusnya, sekiranya kontrak seorang pemain dengan kelab asalnya sudah berakhir, lalu ada kelab lain yang ingin mengambilnya, maka mereka tidak perlu membayar sebarang wang ganti rugi kepada kelab lama pemain tersebut.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada gambaran kasar ini, dapat kita melihat bahawa pertukaran pemain bola sepak di sini bukanlah terdiri atas akad jual beli, akan tetapi sebenarnya ia bersandarkan kepada akad ijarah iaitu kontrak upah oleh kerana kontrak yang terjalin antara pemain bola dengan kelab bola sepak tersebut. Konsep muamalat ini bertepatan dengan kaedah Fiqh yang menyebut:

العبرة في العقود للمقاصد والمعاني لا للألفاظ والمباني

Maksudnya: Sesuatu akad diambil kira berdasarkan tujuan dan objektif yang dimaksudkan, bukanlah sekadar lafaz dan susunan huruf.[3]

Berdasarkan kaedah fiqh di atas, dapat difahami bahawa walaupun dinamakan sebagai jual beli pemain namun hakikatnya ia membawa erti perpindahan kontrak pemain tersebut dari suatu kelab ke kelab lain. Kontrak ijarah berlaku dengan cara termeterainya sebuah perjanjian antara seseorang pemain dengan sesebuah kelab bola sepak, yang mana dalam perjanjian tersebut kelab bola akan memberikan upah kepada pemain bola sesuai dengan kontrak dan prestasinya bermain bola sepanjang tempoh yang telah kedua-dua pihak sepakati.

Akhir kalam, jual beli pemain bola sepak bukan menyerupai sindiket pemerdagangan manusia, dan bukan pula terdiri atas akad jual beli sebagaimana namanya. Akan tetapi, ia terdiri atas kontrak sewa dan upah, dan ia sememangnya dibenarkan menurut syarak. Wallahu A‘lam.

[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 3/25.

الإنسان الحرّ له منفعة ولا يجوز بيعه قطعاً...

[2] Lihat: https://www.moha.gov.my/index.php/ms/akta-antipemerdagangan-orang-dan-penyeludupan-migran-2007/sekretariat-akta-definisi, laman web diakses pada 19/1/2022.

[3] Ma‘lamah Zayid li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, 7/16. Lihat juga: Muhammad Aali Borno, Mausu‘ah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, (Beirut: Muassasah al-Risalah, cetakan pertama, 1424H), 7/378.

القاعدة السادسة والعشرون [المقاصد]

أولاً: لفظ ورود القاعدة:

العبرة في العقود للمقاصد لا للألفاظ (1). أو للمعاني دون الألفاظ (2).

ثانياً: معنى هذه القاعدة ومدلولها:

إن الاعتداد في العقود من بيع وشراء ونكاح وإجارة وهبة وغيرها بمقاصد المتعاقدين لا بالألفاظ التي يستعملونها، إلا إذا تعذر إعمال النيات والمقاصد فلا تهمل الألفاظ.

Cetak