AL-KAFI #1884: HUKUM MEMBERI SALAM KE ARAH KIRI TERLEBIH DAHULU SEBELUM KANAN DI AKHIR SOLAT

alkafi 1884

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, ketika selepas tahiyat akhir, saya terus memberi salam ke arah kiri, kemudian baru berpaling ke arah kanan, adakah sah solat saya tersebut? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Sekiranya seseorang itu memberi dua salam dengan cara mengucapkan salam pertama ke arah kiri terlebih dahulu sebelum kanan, maka solatnya tetap sah, namun perbuatannya itu dihukumkan makruh kerana ia berlawanan dan meninggalkan sunnah Nabi SAW yang mendahulukan salam pertama dengan menghadapkan wajah ke arah kanan, seterusnya salam kedua ke arah kiri.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Sebagaimana yang diketahui, salam merupakan salah satu rukun solat. Hal ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW[1]:

مِفْتَاحُ الصَّلاَةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

Maksudnya: “Kunci solat itu adalah bersuci, ihramnya adalah takbir dan yang menghalalkannya adalah salam.”

Riwayat al-Tirmizi (3)

Imam al-Nawawi menjelaskan maksud hadis di atas bahawa salam yang pertama merupakan kefarduan atau rukun di dalam solat, maka ia wajib dilafazkan seperti kewajipan melafazkan takbiratul ihram. Ia juga disunatkan dilakukan sebanyak dua kali, iaitu salam yang pertama menghadapkan wajah ke arah kanan dan salam yang kedua ke arah kiri[2].

Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh daripada Sa’d R.A[3]:

كُنْتُ أَرَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ يَسَارِهِ حَتَّى أَرَى بَيَاضَ خَدِّهِ

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW mengucapkan salam ke kanan dan ke kirinya hingga kelihatan putih pipinya.”

Riwayat Muslim (582)

Salam tersebut hendaklah sekurang-kurangnya dengan lafaz: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ. Sekiranya dia menyebutnya dengan kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, maka tidak sah salamnya itu. Adapun sebaik-baik lafaz salam ialah: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ.[4]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berkenaan salam pertama pada belah kiri, yang pada asalnya, dan pada sunnahnya adalah salam pertama dipalingkan wajah ke arah kanan. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi ada menyebutnya di dalam kitab beliau:

قَالَ أَصْحَابُنَا وَلَوْ سلم التسليمتين عَنْ يَمِينِهِ أَوْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ أَجْزَأَهُ وَكَانَ تَارِكًا لِلسُّنَّةِ قَالَ الْبَغَوِيّ وَلَوْ بَدَأَ بِالْيَسَارِ كُرِهَ وَأَجْزَأَهُ

Maksudnya: Para ulama kami(mazhab Syafi‘i) berkata sekiranya seseorang itu memberi dua salam dengan menghadap ke arah kanannya sahaja, atau menghadap ke arah kirinya sahaja, ataupun hanya menghadap ke arah hadapan, ia adalah sah namun ia dikira meninggalkan sunnah. Imam al-Baghawi berkata, sekiranya dia memulakan salam pertama dengan menghadap ke arah kiri terlebih dahulu, maka solatnya adalah sah namun hukumnya makruh.[5]

Kesimpulannya, sekiranya seseorang itu memberi dua salam dengan cara mengucapkan salam pertama ke arah kiri terlebih dahulu sebelum kanan, maka solatnya tetap sah, namun perbuatannya itu dihukumkan makruh kerana ia berlawanan dan meninggalkan sunnah Nabi SAW yang mendahulukan salam pertama dengan menghadap ke arah kanan, seterusnya salam kedua ke arah kiri. Wallahu A‘lam.

[1] Muhammad bin Abu al-‘Abbas al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan terakhir, 1404H), 1/535.

(الثَّانِيَ عَشَرَ) مِنْ أَرْكَانِهَا (السَّلَامُ) لِقَوْلِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - «وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ»

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (T.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 3/473.

ثُمَّ يُسَلِّمُ وَهُوَ فَرْضٌ فِي الصَّلَاةِ لِقَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطَّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ " وَلِأَنَّهُ أَحَدُ طَرَفَيْ الصَّلَاةِ فَوَجَبَ فِيهِ نُطْقٌ كَالطَّرَفِ الْأَوَّلِ وَالسُّنَّةُ أَنْ يُسَلِّمَ تَسْلِيمَتَيْنِ إحْدَاهُمَا عَنْ يَمِينِهِ وَالْأُخْرَى عَنْ يَسَارِهِ

[3] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 1/141.

وأقل صيغه: السلام عليكم. مرة واحدة. وأكمله: السلام عليكم ورحمة الله مرتين، الأولى عن يمينه عن يمينه والأخرى عن شماله.

[4] Al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/475-477.

(الشَّرْحُ)

حَدِيثُ مِفْتَاحِ الصَّلَاةِ إلَى آخِرِهِ سَبَقَ بَيَانُهُ فِي تَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ وَمَا يَتَعَلَّقُ بِهِ: أَمَّا حُكْمُ السَّلَامِ فَحَاصِلُهُ أَنَّ السَّلَامَ رُكْنٌ مِنْ أَرْكَانِ الصَّلَاةِ لَا تَصِحُّ إلَّا بِهِ وَلَا يَقُومُ غَيْرُهُ مَقَامَهُ وَأَقَلُّهُ أَنْ يَقُولَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ فَلَوْ أَخَلَّ بِحَرْفٍ مِنْ هَذِهِ الْأَحْرُفِ لَمْ يَصِحَّ سَلَامُهُ...(ص 475-476).

وَأَمَّا أَكْمَلُهُ فَأَنْ يَقُولَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ...(ص 477).

[5] Al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/478. Lihat juga: Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafie, (Damsyik, Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 1/300.

ولو سلّم التسليمتين تلقاء وجهه، أو عن يمينه فقط، أو عن يساره فقط أجزأه، وكان تاركًا للسنة، ولو بدأ باليسار كره وأجزأه.