AL-KAFI #1928: BOLEHKAH MENGGANTIKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI PADA HARI LAIN DAN BAGAIMANAKAH CARA MELAKUKANNYA

BOLEHKAH MENGGANTIKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI PADA HARI LAIN DAN BAGAIMANAKAH CARA MELAKUKANNYA

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan qada solat sunat hari raya tempoh hari disebabkan saya tidak sempat untuk melakukannya kerana bekerja. Bolehkah saya qada dan sekiranya boleh bagaimanakah cara untuk melakukannya.

Ringkasan Jawapan

Solat sunat Aidilfitri merupakan solat sunat al-Muaqqat iaitu solat sunat yang ditetapkan dan terikat waktunya. Oleh itu, sunat untuk menggantikannya pada bila-bila masa, namun sebaiknya disegerakan melakukannya walaupun pada hari raya.

Begitu juga, cara melakukan solat sunat Aidilfitri secara ganti adalah sama dengan melakukannya secara tunai iaitu dengan melakukan takbir al-Zawaid sebanyak tujuh kali selepas membaca doa Iftitah dan selepas bangun dari sujud pada rakaat kedua sebanyak lima kali.

Huraian Jawapan

Solat sunat Aidilfitri merupakan solat yang disyariatkan ke atas setiap umat Islam bagi menyambut hari raya Aidilfitri sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.

Waktu solat sunat Aidilfitri adalah di antara terbitnya matahari sehingga tergelincir matahari iaitu sebelum masuknya waktu zuhur. Afdal menunaikan solat Aidilfitri setelah matahari naik sekadar tinggi galah atau tombak bagi mengikuti Sunnah Baginda SAW. Imam Khatib al-Syirbini menyebut bahawa:

وقتها مَا بَين طُلُوع الشَّمْس وزوالها يَوْم الْعِيد وَيسن تَأْخِيرهَا لترتفع الشَّمْس كرمح لِلِاتِّبَاعِ

Maksudnya: Waktu menunaikannya adalah diantara terbit matahari dan tergelincirnya matahari (sebelum masuk watu zuhur) pada hari raya. Sunat melewatkannya sehingga matahari naik setinggi tombak untuk mengikuti sunnah Nabi SAW.[1]

Solat sunat Aidilfitri dikategorikan sebagai solat sunat al-Muaqqat iaitu solat sunat yang terikat dengan waktu tertentu. Menurut pandangan muktamad dalam mazhab al-Syafie, solat sunat Aidilfitri boleh diganti pada bila-bila masa sahaja sekiranya tidak berkesempatan menunaikannya pada hari raya. Hal ini jelas sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Ramli di dalam karyanya:

(وَلَوْ) (فَاتَ النَّفَلُ الْمُؤَقَّتُ) كَصَلَاةِ الْعِيدِ وَالضُّحَى وَالرَّوَاتِبِ (نُدِبَ قَضَاؤُهُ) أَبَدًا

Maksudnya: Sekiranya luput waktu solat sunat al-Muaqqat seperti solat Hari Raya, Dhuha dan Rawatib, sunat menggantikannya pada bila-bila masa. [2]

Begitu juga solat sunat Aidilfitri sebaiknya diganti dengan segera iaitu pada hari raya. Namun sekiranya tidak mampu maka ia boleh digantikan pada keesokan hari atau pada hari-hari yang lain. Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan perkara ini dengan menyebut:

(وَيُشْرَعُ قَضَاؤُهَا مَتَى شَاءَ) فِي بَاقِي الْيَوْمِ وَفِي الْغَدِ وَمَا بَعْدَهُ وَمَتَى اتَّفَقَ (فِي الْأَظْهَرِ) كَسَائِرِ الرَّوَاتِبِ، وَالْأَفْضَلُ قَضَاؤُهَا فِي بَقِيَّةِ يَوْمِهِمْ إنْ أَمْكَنَ اجْتِمَاعُهُمْ فِيهِ وَإِلَّا فَقَضَاؤُهَا فِي الْغَدِ أَفْضَلُ لِئَلَّا يَفُوتَ عَلَى النَّاسِ الْحُضُورُ

Maksudnya: Disyariatkan menggantikannya pada bila-bila masa, pada hari yang sama, pada keesokan hari atau pada bila-bila masa menurut pandangan yang muktamad sepertimana solat sunat rawatib. Afdal menggantikannya pada hari yang sama sekiranya dia mampu menunaikan pada hari tersebut sekiranya tidak mampu maka qada pada hari esok lebih afdal supaya manusia tidak terlepas peluang untuk hadir(berjemaah), sebaiknya tidak meninggalkannya untuk dilakukan secara berjemaah.[3]

Kaifiat atau cara mengerjakan qada solat sunat Adilfitri adalah sepertimana solat secara tunai. Ia dilakukan sebanyak dua rakaat dan disunatkan untuk takbir al-Zawaid iaitu tujuh kali selepas doa Iftitah dan lima kali selepas bangun dari sujud pada rakaat kedua. Imam al-Ramli menyebut di dalam kitabnya:

فَاتَتْهُ صَلَاةُ الْعِيدِ وَقَضَاهَا كَبَّرَ فِيهَا سَوَاءٌ أَقَضَاهَا فِي يَوْمِ الْعِيدِ أَمْ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: Jika seseorang terluput daripada melaksanakan solat hari raya dan mengqadanya, maka hendaklah dia bertakbir sama ada dia qada pada hari raya atau selainnya..[4]

Hal ini kerana takbir al-Zawaid merupakan sunat hai’ah ketika melakukan solat sunat Aidilfitri, maka ia juga sunat dilakukan ketika qada. Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa:

وَيُكَبِّرُ فِي قَضَاءِ صَلَاةِ الْعِيدِ مُطْلَقًا لِأَنَّهُ مِنْ هَيْئَاتِهَا

Maksudnya: Secara mutlak, takbir (al-Zawaid) hendaklah dilakukan ketika menggantikan solat sunat hari raya, ini kerana ia merupakan daripada sunat hai’ah.[5]

Kesimpulan

 Solat sunat Aidilfitri merupakan solat sunat al-Muaqqat iaitu solat sunat yang ditetapkan dan terikat waktunya. Oleh itu, sunat untuk menggantikannya pada bila-bila masa, namun sebaiknya disegerakan melakukannya walaupun pada hari raya.

Begitu juga, cara melakukan solat sunat Aidilfitri secara ganti adalah sama dengan melakukannya secara tunai iaitu dengan melakukan takbir al-Zawaid selepas membaca doa Iftitah sebanyak tujuh kali dan selepas bangun dari sujud pada rakaat kedua sebanyak lima kali.

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] Rujuk, Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, Syamsuddin al-Khatib al-Syirbini, Dar  al-Fikr Bairut, t.t, 1/186

[2] Rujuk, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, Syamsuddin Muhammad al-Ramli, Dar Fikr Bairut, 1404H, 2/121

[3] Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, Syamsuddin al-Khatib al-Syirbini, Dar Kutb ‘Ilmiyyah, 1415H, 1/595

[4] Rujuk, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, Syamsuddin Muhammad al-Ramli, Dar Fikr Bairut, 1404H, 2/390

[5] Rujuk, Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, Syamsuddin al-Khatib al-Syirbini, Dar Kutb ‘Ilmiyyah, 1/589