AL-KAFI #651 : TATACARA SOLAT SUNAT TAUBAT

Soalan:

Bagaimanakah cara solat taubat yang betul ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di antara rahmat Allah S.W.T kepada para hamba-Nya adalah dengan memberikan peluang dan ruang untuk mereka kembali kepada-Nya setelah melakukan maksiat dan dosa. Pintu taubat itu sentiasa terbuka bagi sesiapa sahaja yang mencarinya.

Taubat berasal dari perkataan تاب إلى الله توبا  iaitu kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Ia juga membawa maksud meninggalkan maksiat. Manakala istitabah membawa erti meminta seorang untuk bertaubat. Rujuk Basooir Zawi Al-Tamyiiz (2/304).

Manakala dari sudut istilah, taubat adalah sebagaimana yang didefinisikan oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: Sesungguhnya taubat itu adalah suatu ibarat terhadap penyesalan yang mewariskan keazaman dan kehendak (untuk meninggalkan dosa), serta penyesalan tersebut mewariskan ilmu bahawa maksiat-maksiat itu merupakan penghalang di antara seseorang itu dengan kekasihnya. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (14/192).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq R.anh beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Aali Imran: 135]

Riwayat Abu Dawud (1521)

Berdasarkan hadis di atas, baginda Nabi S.A.W memberikan suatu cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa itu membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut. Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah S.W.T.

Kata al-Syeikh Mulla ‘Ali Al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Yang dimaksudkan dengan beristighfar di dalam hadis ini adalah taubat yang berterusan dan berhenti dari melakukan maksiat tersebut seerta berazam untuk tidak kembali melakukannya buat selamanya. Rujuk Al-Mirqaat Al-Mafatiih, Mulla ‘Ali Al-Qari (3/988).

Tatacara Solat Taubat

Berikut kami kongsikan beberapa cara dalam melakukan solat taubat berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih daripada Nabi S.A.W. Seseorang yang ingin mengerjakan solat taubat perlulah:

Dalam erti kata lain dengan meraikan perkara-perkara wajib dan sunat ketika wuduk. Sebahagian ulama lain menterjemahkan perkataan bersuci di dalam hadis tersebut sebagai mandi, dan mandi dengan air yang sejuk itu adalah lebih sempurna. Ini berkemungkinan diambil daripada sabda Nabi S.A.W:

اللهم اغسل خطاياي بالماء والثلج والبرد

Maksudnya: Ya Allah, basuhkanlah dosa-dosaku dengan air, salji, dan kesejukan.

 

Kata Syeikh ‘Ali Al-Qari: Pada hadis tersebut isyarat kepada menyejukkan jantung hati daripada kepanasan hawa nafsu. Rujuk Al-Mirqaat Al-Mafatih (3/988).

Kami lebih cenderung bahawa bersuci di dalam hadis tersebut adalah merujuk kepada berwuduk. Ini berdasarkan siyaq al-hadis (konteks hadis) yang menunjukkan bersuci itu datang sebelum menunaikan solat.

Inilah yang masyarakat kita namakan sebagai solat sunat taubat, walaupun tidak dinyatakan penamaan ini di dalam hadis. Manakala berkenaan apakah yang perlu dibaca di dalam solat, terdapat sebuah riwayat daripada Ibn Al-Sunni yang mengatakan supaya dibaca surah Al-Kafirun dan juga surah Al-Ikhlas. Demikian juga boleh untuk dibaca ayat yang terdapat di dalam hadis tersebut iaitu ayat ke-135 dari surah Aali Imraan, ataupun ayat yang berikut:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang melakukan suatu keburukan atau dia menzalimi dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah nescaya dia akan mendapati bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [Surah Al-Nisaa: 110]

Inilah surah-surah atau ayat yang boleh dibaca semasa solat sunat taubat, dan kami berpandangan bahawa boleh juga untuk dibaca surah-surah atau ayat-ayat lain yang mudah untuk dibaca oleh seseorang yang mengerjakan solat sunat ini. Berdasarkan keumuman firman Allah S.W.T:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: Dan bacalah kalian apa yang mudah daripada al-Quran. [Surah Al-Muzzammil: 20]

 

Sesudah seseorang itu selesai menunaikan solat sunat taubat, hendaklah dia melazimi dan memperbanyakkan istighfar kepada Allah S.W.T. Kami berpandangan bahawa hal ini adalah berdalilkan firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah lalu beristighfar ke atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka tidak berterusan terhadap apa yang telah mereka lakukan dalam keadaan mereka mengetahui. [Surah Aali Imraan: 135]

Istighfar boleh sahaja dilakukan dengan mengucapkan lafaz ‘’Astaghfirullah’’, ataupun istighfar dalam ertikata lain adalah bertaubat kepada Allah S.W.T. Iaitu seseorang itu menyesal terhadap maksiat yang dilakukan, berhenti dari melakukannya, serta berazam untuk tidak mengulanginya kembali buat selamanya.

Kesimpulan

Akhir kalam, semoga dengan penjelasan ini dapat membantu kita dalam melakukan solat sunat taubat dengan sebaik mungkin. Semoga Allah S.W.T menerima taubat kita dan membersihkan jiwa-jiwa kita daripada kegelapan dosa dan maksiat. Ameen.