AL-KAFI # 591 : HUKUM MENANAM TANAMAN DI ATAS TANAH ORANG LAIN

SOALAN

Saya mempunyai sebidang tanah. Tetapi tanah saya telah ditanam pokok buah-buahan oleh orang yang tidak mengetahui tanah tersebut adalah tanah saya. Siapakah berhak ke atas pokok yang ada pada tanah saya itu. Adakah saya dibolehkan untuk memakan buah-buahan tersebut?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Secara asasnya, permasalahan ini telah dijudulkan pada satu bab dalam kitab Fiqh dalam bab Pemilikan Hak. Perkara ini telah jelas diterangkan dalam satu hadis Nabi SAW yang menceritakan berkenaan seseorang yang telah menanam pohon kurma pada tanah seorang ansar. Perkara tersebut telah dijelaskan dalam hadis seperti berikut :

Dari Samurah bin Jundub :

أَنَّهُ كَانَتْ لَهُ عَضُدٌ مِنْ نَخْلٍ فِي حَائِطِ رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ قَالَ وَمَعَ الرَّجُلِ أَهْلُهُ قَالَ فَكَانَ سَمُرَةُ يَدْخُلُ إِلَى نَخْلِهِ فَيَتَأَذَّى بِهِ وَيَشُقُّ عَلَيْهِ فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَطَلَبَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى ‏.‏ قَالَ ‏"‏ فَهَبْهُ لَهُ وَلَكَ كَذَا وَكَذَا ‏"‏ ‏.‏ أَمْرًا رَغَّبَهُ فِيهِ فَأَبَى فَقَالَ ‏"‏ أَنْتَ مُضَارٌّ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِلأَنْصَارِيِّ ‏"‏ اذْهَبْ فَاقْلَعْ نَخْلَهُ ‏"

Maksudnya : Beliau memiliki sederet pohon kurma yang tumbuh di kebun milik salah seorang ansar. Tempat tersebut didiami oleh orang ansar tersebut bersama keluarganya. Samurah sering memeriksa pohon-pohon kurmanya, termasuk pohon kurma yang tumbuh di tanah orang ansar tersebut. Kedatangan Samurah pada tanah tersebut mengganggu dan menyebabkan orang Anshar tersebut merasa tidak nyaman. Orang ansar tersebut menawarkan kepada Samurah agar menjual pohon kurma tersebut kepadanya. Samurah menolak. Orang ansar meminta Samurah memindahkan pohon kurmanya. Samurah juga menolak tawaran tersebut. Akhirnya, dia melaporkan permasalahan ini kepada Nabi SWT. Nabi SWT meminta Samurah untuk menjual pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SWT meminta Samurah untuk memindahkan pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SWT mengatakan kepada Samurah, “Hadiahkan pohon kurma tersebut kepadanya, dan untukmu ada ganjaran demikian dan demikian.” Nabi SAW sebutkan hal yang disukai oleh Samurah. Samurah tetap menolak, maka Nabi SWT mengatakan, “Engkau ini memang pengganggu!” Nabi SWT lantas berkata kepada si ansar, “Pergilah! Silakan tebang saja pohon kurmanya!”

(Riwayat Abu Daud no 3636)

Berdasarkan kepada hadis di atas, kami dapat nyatakan bahawa pemilikan mutlak tanah tersebut adalah ke atas pemilik tanah yang asal. Manakala pemilik pohon tersebut adalah milik penanam pokok tersebut. Hal ini jelas berdasarkan tafsir hadis diatas apabila nabi mengatakan “Pergilah! Silakan tebang saja pohon kurmanya!”. Perkara ini menunjukkan bahawa pemilik tanah dibolehkan untuk menebang pokok tersebut dan memberi pokok yang ditebang tersebut kepada penanam pokok tersebut.

Jika tuan tanah mahu semula tanah tersebut, maka penanam pokok perlu untuk membuang serta membersihkan tanaman tersebut seperti sediakala. Namun jika terdapat kerosakan pada tanah tersebut, penanam tersebut perlu dikenakan penalti atau menggantikan semula tersebut seperti keadaan asal. Selain itu, tuan tanah juga boleh mengenakan sewa keatas penanam tanah tersebut selama mana dia menggunakan tanah tersebut.

KESIMPULAN

Pada pandangan kami, tuan tanah tidak berhak ke atas pohon-pohon yang telah ditanam tersebut, namun pemilik tanah boleh meminta izin kepada penanam pokok tersebut sebelum memakan tanaman tersebut. Ini adalah berdasarkan kepada dalil alQuran yang jelas seperti yang berikut :

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya : Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu Dengan jalan Yang salah.

(Surah alBaqarah ayat 188)

Kepada pihak penanam pokok pula mestilah meminta izin kepada tuan tanah dahulu sebelum membuat sebarang penanaman di atas tanah bukan milik kita. Hal ini adalah kerana, perkara tersebut akan memberi kesusahan dan kemudaratan kepada pihak tuan tanah. Ini dapat dilihat berdasarkan hadis dari Nabi SAW seperti berikut :

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maknanya : Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan kemudaratan atas orang lain.

(Sunan Ibn Majah no 2341)

Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Amin.