Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

BL 226

HUKUM ENGGAN MENERIMA RAWATAN ATAU MENJALANI PEMBEDAHAN

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Saya mempunyai mak yang sudah tua. Beliau seorang yang menghidap penyakit buah pinggang. Namun begitu, beliau enggan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana takutkan doktor. Apakah hukum bagi perbuatan tersebut?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam Wrm W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

عن ابي هريرة رضى الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”.

 Riwayat al-Bukhari (5678)

Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan sabitnya ilmu perubatan dan keharusan mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit, dan ia juga sebagai isyarat bahawa kesakitan dan kesembuhan itu semuanya daripada Allah S.W.T. (Rujuk: A’lam al-Hadis Syarh Sahih al-Bukhari, 3/1204).

Shaikh Musa Shaheen menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘Allah akan menurunkan ubat di bumi’ ialah Allah menurunkan ilmu yang berkaitan dengan perubatan dan rawatan kepada manusia di muka bumi ini. (Rujuk: Fath al-Mun'im, 8/582).

Berbalik kepada persoalan di atas, sebelum itu kita harus meneliti terlebih dahulu apakah hukum mendapatkan rawatan mengikut pandangan syarak?

HUKUM MENDAPATKAN RAWATAN

Ulama’ berselisih pandangan berkenaan hukum mendapatkan rawatan kepada beberapa pendapat:

Pendapat Pertama: Sunat. Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafie dan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 5/96; Mughni al-Muhtaj, 1/357).

Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang telah disebutkan sebelum ini. Dan mazhab Syafie menghukumkannya (mendapatkan rawatan) sebagai sunat kerana perintah untuk mendapatkan rawatan  tidak qat’ie (putus). Adapun sekiranya perintahnya berbertuk qat’ie maka hukumnya adalah wajib. (Rujuk: Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 11/115).

Pendapat Kedua: Harus. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi, Maliki dan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali.

Para fuqaha’ Hanafi berkata: Maka tidak mengapa untuk mendapatkan rawatan selagi mana seseorang beri’tiqad bahawa yang menyembuhkannya adalah Allah S.W.T.

Berkata fuqaha’ mazhab Maliki: Adalah tidak mengapa untuk mendapatkan rawatan apabila ditimpa kesakitan. (Rujuk: Al-Kifayah ‘ala al-Hidayah, 8/500; Syarh al-Zarqani ala al-Muwattha', 4/329; Kasysyaf al-Qina', 2/76).

Pendapat Ketiga: Wajib. Ini adalah pandangan mazhab Zahiri, salah satu riwayat dalam mazhab Hanafi dan salah satu riwayat dalam mazhab Syafie.

Berkata para ulama’ mazhab Hanafi: Mendapatkan rawatan itu wajib sekiranya seseorang yakin bahawa dengan mendapatkan rawatan itu boleh menyembuhkan penyakit tersebut.

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: Di sisi kami pandangan yang mewajibkannya (untuk mendapatkan rawatan) sekiranya dia ditimpa penyakit yang dikhuatiri akan membawa kepada kebinasaan.

Berkata Imam Ibn Hazim: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menyuruh kita untuk berubat, dan melarang daripada meninggalkannya, justeru ia menunjukkan bahawa berubat itu adalah wajib.(Rujuk: Al-Fatawa al-Hindiyah, 5/355; Mughni al-Muhtaj, 1/357; Al-Muhalla, 7/418).

Pendapat Keempat: Harus, tetapi meninggalkannya (rawatan) adalah lebih baik kerana ia lebih dekat kepada taqwa. Ini adalah pandangan Imam al-Nawawi dan jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 5/95; Kasysyaf al-Qina', 2/76).

Perbezaan pandangan tersebut berlaku disebabkan oleh sandaran para fuqaha’ terhadap pelbagai hadis yang berbeza yang menunjukkan hukum yang berbeza. Antara hadis yang menerangkan hukum mendapatkan rawatan ialah:

Pertama: Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: “Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan Dia menurunkan ubatnya”.

Riwayat al-Bukhari (5678)

Kedua: Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas R.A:

إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ، فَقَالَتْ: أَصْبِرُ

Maksudnya: "Jika kamu mahu bersabar, maka ganjaran untukmu adalah syurga, dan jika kamu mahukan (kesembuhan), akan aku doakan kepada Allah untuk menyembuhkan kamu”. Wanita tersebut lalu berkata, "Kalau begitu aku akan bersabar”.

Riwayat al-Bukhari (5652) dan Muslim (2576)

Ketiga: Hadis yang diriwayatkan daripada Al-Mughirah Ibn Syu’bah R.A:

مَنِ اكْتَوَى أَوِ اسْتَرْقَى فَقَدْ بَرِئَ مِنَ التَّوَكُّلِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meminta dirawat atau meminta dijampi maka dia telah membebaskan dirinya dari bertawakkal”.

Riwayat al-Tarmizi (2055) dan Ibnu Majah (3489)

FATWA MU’ASARAH BERKAITAN HUKUM MENDAPATKAN RAWATAN

Disebut di dalam Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami bahawa:

Hukum mendapatkan rawatan adalah wajib sekiranya apabila meninggalkannya (rawatan) boleh membawa kepada kematian atau kehilangan anggota tubuh atau lemahnya tubuh badan, atau sekiranya ditimpa penyakit yang boleh berpindah kepada orang lain seperti penyakit berjangkit. (Rujuk: Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami, No. 2148, 3/563).

Disebut di dalam kitab Fiqh al-Nawazil, hukum berubat sekiranya ditimpa penyakit adalah seperti berikut:

Disunatkan bagi seseorang yang ditimpa penyakit untuk mendapatkan rawatan, kerana Allah yang menurunkan sesuatu penyakit maka Dia juga yang menurunkan sesuatu ubat, untuk menghilangkan kesakitan, maka dengan (mendapatkan rawatan) akan menjadikan seseorang cergas untuk melaksanakan ibadah, mempelajari ilmu agama dan berdakwah di jalan Allah, memperbaiki urusan kehidupannya seharian, memberi manfaat kepada orang lain. Namun sekiranya dia yakin apabila meninggalkan rawatan, ia boleh mendatangkan kebinasaan kepada diri maka wajib baginya untuk mendapatkan rawatan. Adapun sekiranya hal keduanya sama (mendapatkan rawatan atau tidak) maka meninggalkannya lebih baik, supaya dapat menghindarkan diri daripada kemudaratan yang tidak disedari. (Rujuk: Fiqh al-Nawazil, 1/491)

Disebut di dalam Fiqh al-Muyassar, bahawa hukum berubat adalah seperti berikut:

Sekiranya seseorang yakin bahawa apabila meninggalkan rawatan boleh mendatangkan kebinasaan kepada diri, dan boleh mendapatkan manfaat melalui rawatan tersebut iaitu kesembuhan maka wajib baginya untuk berubat seperti penyakit kanser. Adapun sekiranya dia terpaksa memotong sebahagian tubuh untuk menyelamatkan dirinya maka ketika itu juga hukum berubat adalah wajib.

Sekiranya seseorang yakin boleh mendapatkan manfaat (kesembuhan) daripada rawatan tersebut, tetapi tidak ada sebarang risiko sekiranya tidak mendapatkan rawatan, maka adalah lebih utama baginya untuk mendapatkan rawatan.

Sekiranya bersamaan dua keadaan, iaitu yakin mendapatkan manfaat daripada rawatan tetapi dalam masa yang sama terdapat risiko yang boleh membahayakan nyawanya maka lebih utama dia meninggalkannya supaya dapat menghindarkan dirinya daripada sebarang kemudaratan. (Rujuk: Fiqh al-Muyassar, 1/455-456).

Disebut di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu:

Hukum mendapatkan rawatan adalah berbeza mengikut keadaan dan situasi setiap individu.

Hukumnya adalah wajib sekiranya apabila meninggalkan rawatan boleh membawa kepada kebinasaan diri (kematian) atau kehilangan anggota tubuh atau menyebabkan tubuh badannya tidak berdaya, atau sekiranya seseorang ditimpa penyakit yang boleh berpindah kepada orang lain seperti penyakit berjangkit.

Hukumnya adalah sunat sekiranya apabila meninggalkan rawatan akan menyebabkan tubuhnya lemah dan lesu (bukannya seperti keadaan yang pertama).

Hukumnya harus sekiranya dengan meninggalkan rawatan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua.

Hukumnya adalah makruh sekiranya apabila seseorang mendapatkan rawatan maka ia membawa kepada risiko yang lebih besar daripada penyakit yang ingin dirawat tersebut. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5204).

ADAKAH MENDAPATKAN RAWATAN MENYALAHI KONSEP TAWAKKAL

Berkata Imam Hajar al-Asqalani: “Dan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud dapat difahami bahawa ada sesetengah penyakit yang tidak diketahui penawarnya oleh sesiapapun, adapun perbuatan berubat ialah sebagai ikhtiar dan hal tersebut tidak menafikan konsep tawakkal kepada Allah bagi sesiapa yang beriman bahawa sesuatu penawar itu tidak dapat menyembuhkan penyakit dengan sendirinya melainkan dengan kehendak dan kekuasaan Allah”.

“Dan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A dapat difahami bahawa semuanya berlaku (iaitu kesembuhan) dengan izin Allah dan kehendaknya, adapun berubat itu tidak menafikan konsep tawakkal seperti mana tidak ternafi tawakkal dengan menolak lapar dan dahaga dengan makan dan minum. Begitu juga (tidak ternafi tawakkal) dengan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang membawa kepada kebinasaan dan berdoa supaya mendapat kesihatan yang baik dan ditolak segala kemudaratan”. (Rujuk: Fath al-Bari, 10/135).

Berkata Imam Ibnu al-Qayyim: “Bahawa dapat difahami daripada hadis Nabi S.A.W perintah untuk berubat dan ianya bukanlah menafikan konsep tawakkal, seperti tidak ternafinya ia (tawakkal) dengan menghilangkan lapar, dahaga, panas dan sejuk dengan perkara yang dapat menghilangkannya”. (Rujuk: Zad al-Ma'ad, 4/15).

Berkata Imam Ibnu Kathir: “Bahawasanya Allah-lah yang mengizinkan sesuatu penyakit untuk sembuh, adapun kita perlu berikhtiar dan mengambil langkah-langkah yang boleh membawa kepada kesembuhan seperti mendapatkan rawatan daripada ahlu al-ikhtisas (orang yang berautoriti), mereka yang mahir tentang perubatan. Maka mengabaikan sebab dan ikhtiar adalah perkara yang dicela dalam agama, sedangkan bertawakkal atau menyandarkan sesuatu keputusan kepada sebab semata-mata adalah perkara yang dicela dalam tauhid”. (Rujuk: Tafsir al-Quran al-Karim, 5/131).

Justeru, mendapatkan rawatan untuk merawat sesuatu penyakit ialah salah satu ikhtiar untuk memperoleh kesembuhan dan bukannya menafikan konsep tawakkal kepada Allah. Bahkan mengambil sebab-sebab yang diharuskan di sisi syarak adalah dituntut dalam agama. Namun mestilah seseorang itu tetap meyakini bahawa Allah jualah yang mengizinkan sesuatu penyakit itu sembuh.

TARJIH PANDANGAN

Pada asalnya hukum mendapatkan rawatan adalah diraikan oleh syarak, kerana terdapat banyak ayat al-quran dan sunnah nabi samada dari segi percakapan atau perbuatan yang menunjukkan kepada hal tersebut. Dan ia juga termasuk dalam menjaga nyawa iaitu salah satu daripada maqasid al-kuliyyah. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5204).

Perubatan juga diumpamakan seperti syariat, bahawa ia berperanan untuk membawa kemaslahatan kepada manusia dan menolak kemudaratan iaitu menjaga kesihatan manusia dan merawat mereka daripada penyakit. (Rujuk: Qawa’id al-Ahkam, 1/40). Syariat telah menjelaskan mengenai kepentingan ilmu perubatan dan hukum mendapatkan rawatan pada asalnya adalah harus. Ia juga bertepatan dengan salah satu maqasid al-syariah iaitu untuk menjaga nyawa manusia, akan tetapi hukumnya boleh berubah-ubah mengikut situasi dan keadaan seseorang individu. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 3/182).

Konsep al-tadawi (berubat) atau mendapatkan rawatan adalah untuk mencapai matlamat-matlamat syarak seperti:

  • Menjaga kesihatan yang sedia ada.
  • Mengembalikan kesihatan dengan usaha yang termampu.
  • Menghilangkan kesakitan atau mengurangkannya dengan usaha yang termampu.
  • Mengambil mudarat yang sedikit untuk menolak mudarat yang lebih besar.
  • Meninggalkan manfaat yang sedikit demi menjaga manfaat yang lebih besar. (Rujuk: Zad al-Ma'ad, 3/111; Al-Tib al-Nawawi, hlm. 114).

Adapun mengenai hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas ((إٍن شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ para ulama’ mentafsirkan hadis ini seperti berikut:

Hadis ini menunjukkan keharusan untuk meninggalkan rawatan dan keutamaan untuk memilih pilihan yang lebih berat iaitu bersabar di atas kesakitan daripada mendapatkan rawatan bagi sesiapa yang berkemampuan. Dan ianya diharuskan dengan dua syarat iaitu niat yang benar dan pergantungan yang kuat kepada Allah. Adapun berubat itu tetaplah dianjurkan berdasarkan hadis Rasulllah S.A.W yang lain, namun hadis ini menerangkan ada kelebihan bagi sesiapa yang bersabar. (Rujuk: Fath al-Bari, 10/115)

Berkata Imam al-Syanqiti: “Bahawasanya di dalam syariat terdapat beberapa pilihan, iaitu samada baik atau lebih baik. Dan perkataan nabi di dalam hadis tersebut (إن شئت دعوت لك) adalah menunjukkan nabi memberi pilihan kepadanya untuk berubat dan sembuh dari penyakit tersebut dan ia adalah pilihan yang baik. Manakala yang lebih baik ialah dia bertawakkal dan menyerahkkan urusannya kepada Allah sekiranya dia yakin dirinya (mampu bersabar menghadapi penyakit itu)”. Tetapi hal ini tidaklah menunjukkan kepada terbatalnya anjuran untuk berubat tetapi bertawakkal adalah pilihan yang lebih baik yang telah dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W kepada wanita tersebut . (Rujuk: Syarh Zaad al-Mustaqni', 243/20).

Adapun hadis ini tidaklah bercanggah dengan hadis yang menganjurkan supaya berubat, justeru barangsiapa yang mampu bersabar maka dia boleh bersabar, adapun bagi mereka yang tidak mampu bersabar kerana kesakitan atau sempit dada maka ketika itu berubat adalah lebih baik baginya kerana kelebihan untuk bertawakkal telah hilang kerana hilangnya kemampuannya untuk bersabar”. (Rujuk: Al-Raudhah al-Nadiyyah, 2/228).

Manakala mengenai hadis Al-Mughirah bin Syub’bah (مَن اكْتَوَى أَوِ اسْتَرْقَى فَقَدْ بَرِئَ مِنَ التَّوَكُّل) pula, ulama’ memperincikan hadis tersebut seperti berikut:

Disebut di dalam kitab Al-Adab al-Syar'iyyah: “Hadis ini tidak menunjukkan kepada dianjurkan untuk tidak berubat, kerana ruqyah itu bukannya ubat, tetapi kerana ia berkait dengan kepercayaan mereka, kerana pada zaman jahiliyah kebanyakan ruqyah adalah berkait dengan perkara-perkara yang batil dan khurafat”. (Rujuk: Al-Adab al-Syar'iyyah, 2/333).

Berkata Imam al-Nawawi: “Hadis ini tidak bercanggah dengan hadis yang menganjurkan supaya berubat, kerana yang dimaksudkan dengan meninggalkan ruqyah di sini ialah ruqyah yang mengandungi bacaan daripada kalam kuffar atau yang tidak diketahui maknanya kerana berkemungkinan boleh membawa kepada maksud kufur atau yang dibenci. Adapun ruqyah yang dibaca dengan ayat-ayat al-quran dan zikir-zikir yang diketahui (ada sandaran daripada para ulama’) maka hal tersebut tidaklah ditegah bahkan ianya adalah sunat”. (Rujuk: Nail al-Authar, 8/230).

Justeru, setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa hukum mendapatkan rawatan adalah sangat dianjurkan oleh agama. Namun begitu, hukumnya adalah berbeza mengikut situasi dan keadaan seseorang individu. Sekiranya dengan meninggalkan rawatan akan membawa kepada kecacatan anggota tubuh atau kemudaratan kepada diri atau kepada orang lain seperti dalam kes penyakit berjangkit, maka hukumnya menjadi wajib. Hukum mendapatkan rawatan menjadi sunat dalam keadaan jika meninggalkannya akan membawa kepada melemahkan tubuh badan namun tidak sampai kepada tahap yang memudaratkannya. Hukumnya akan kekal menjadi harus sekiranya dengan meninggalkan rawatan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua. Manakala hukum rawatan akan menjadi makruh apabila terdapat risiko bahawa rawatan tersebut akan menyebabkan kesan sampingan lain yang lebih teruk daripada penyakit yang ingin dirawat.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, hukum mendapatkan rawatan adalah amat dituntut oleh agama kerana ia selari dengan salah satu daripada maqasid syariah iaitu menjaga nyawa. Ia juga tidaklah menolak konsep tawakkal itu sendiri kerana ianya adalah salah satu ikhtiar untuk mencari kesembuhan melalui jalan yang dibenarkan di sisi syarak. Walau bagaimanapun, hendaklah seseorang meyakini bahawa ubat dan rawatan itu adalah suatu ikhtiar semata-semata tetapi yang menyembuhkan segala penyakit adalah daripada Allah S.W.T.

Namun begitu hukum mendapatkan rawatan adalah berbeza mengikut keadaan dan situasi yang dihadapi oleh setiap individu iaitu seperti berikut:

Pertama: Wajib – Sekiranya dengan meninggalkan rawatan akan membawa kepada kecacatan anggota tubuh atau kemudaratan kepada diri atau kepada orang lain seperti dalam kes penyakit berjangkit.

Kedua: Sunat – Sekiranya jika meninggalkannya akan membawa kepada melemahkan tubuh badan namun tidak sampai kepada tahap memudaratkannya. Ia juga sunat sekiranya jika seseorang meninggalkan rawatan ia boleh membawa kepada pengabaian hak-hak manusia seperti seorang bapa yang tidak mampu memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, dan membawa kepada pengabaian hak-hak Allah seperti kurang cergas dalam melaksanakan ibadah seperti solat dan puasa. (Rujuk: Silsilah al-Tafasir, 8/80).

Ketiga: Harus – Sekiranya dengan meninggalkan rawatan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua.

Keempat: Makruh – Sekiranya terdapat risiko bahawa rawatan tersebut akan menyebabkan kesan sampingan lain yang lebih teruk daripada penyakit yang ingin dirawat tersebut.

Oleh itu, bentuk rawatan yang sesuai perlu dijalankan ke atas pesakit sekiranya penyakit yang dihadapi olehnya boleh memudaratkan diri lebih-lebih lagi dalam situasi yang mampu menggugat nyawanya. Namun begitu segala risiko ini mestilah dirujuk dan mendapat pengesahan daripada pengamal perubatan terlebih dahulu. Wallahu a’lam.

Semoga Allah S.W.T memberikan kita kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen