Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-97: SOLAT SUNAT KAFFARAH

 

 

Soalan:

Apakah sahih hadith berkaitan solat sunat kaffarah yang dilakukan pada Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menerangkan secara ringkas berkaitan sebuah hadith yang menceritakan akan solat sunat Kaffarah yang dilakukan pada hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan. Dalam isu ini, suka untuk kami menyatakan matan hadith tersebut terlebih dahulu:

 

Matan Hadith

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ صَلَّى فِي آخِرِ جُمُعَةٍ مِنْ رَمَضَانَ الْخَمْسَ الصَّلَوَاتِ الْمَفْرُوضَةَ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ قَضَتْ عَنْهُ مَا أَخَلَّ بِهِ مِنْ صَلاةِ سُنَّتِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat fardhu lima waktu pada Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan sehari semalam maka telah sempurnalah solatnya yang tidak sempurna sepanjang tahun itu”.

 

Definisi Kaffarah

Dari sudut bahasa Kaffarah bermaksud penutup atau penghapus. Dinamakan kaffarah adalah kerana ia menutup atau menghapuskan dosa-dosa kita.

 

Dari sudut istilah pula, ia bermaksud perbuatan yang boleh menghapus dosa yang berupa membebaskan hamba, bersedekah dan puasa dengan syarat-syarat tertentu. Ia juga sebagai penampung terhadap kecuaian yang telah dilakukan oleh manusia dalam tindakkannya.

Tujuan Solat Sunat Kaffarah

Antara tujuan solat sunat ini dilakukan adalah untuk mengqadha’ solat yang ditinggalkan atau unutk menyempurnakan solat-solat yang dilakukan dengan tidak sempurna.

 

Pendapat Ulama’ Berkaitan Hadith Ini

Di sini, suka untuk kami naqalkan kalam atau pendapat Imam al-Syaukani berkaitan hadith ini dengan menyatakan:

 

“Ia (hadith) adalah palsu tanpa ragu-ragu lagi padanya dan aku tidak menemuinya di dalam kitab yang dihimpunkan oleh penulis-penulisnya berkaitan hadith-hadith palsu. Namun ia (hadith) masyhur dalam sekumpulan pelajar-pelajar feqah di bandar Sanaa' (Yaman) pada zaman kita ini serta ramai daripada kalangan mereka yang melakukannya dan aku juga tidak ketahui siapa yang memalsukan hadith ini kepada mereka. Semoga Allah SWT memburukkan para pendusta terhadap di hadith Nabi SAW”. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu'ah, 54]

 

Hukum Hadith

Setelah kami melihat dan menekuni beberapa pendapat para ulama’ antaranya ialah Imam al-Syaukani (sebagaimana di atas) dan juga Syeikh Mulla Ali al-Qari, maka kami nyatakan bahawa hadith ini adalah palsu dan jelas pada hadith tersebut ciri-ciri atau tanda-tanda kepalsuannya. Begitu juga dengan riwayat-riwayat yang lain berkaitan solat sunat Kaffarah pada Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan. Tambahan pula, amalan ini tidak diamalkan oleh para salaf termasuk para sahabat RA. Jika ia adalah sunnah atau ibadah, nescaya para sahabat adalah orang yang pertama akan melukankannya. Selain itu, kita tidak boleh menyebarkan dan beramal dengan hadith ini kerana ia adalah dusta di atas nama Nabi Muhammad SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, dalam menentukan atau menetapkan sesuatu ibadah maka ia perlulah disulami dengan dalil samada daripada al-Qur’an atau al-Sunnah. Jika sesuatu ibadah itu tidak mempunyai dalil atau sandarannya maka ibadah tersebut tertolak dengan sendirinya dan kita sesekali tidak boleh mengamalkannya.  Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita daripada melakukan perkara atau ibadah yang tidak mempunyai asas di dalam agama yang suci ini terutamanya di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Amin.