Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-57 : Sufiyan al-Thauri

 

Soalan

Siapakah Sufiyan al-Thauri?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Nama dan kelahiran beliau

Nama beliau ialah Sufiyan bin Said bin Masruq bin Habib bin Rafi’ bin Abdillah bin Muhibah bin Abi Abdillah bin Munqiz bin Nashr bin Al-Harith bin Tsa’labah bin Amir bin Milkan bin Tsur bin Abdi Manah Uddi bin Thabikhah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan. Beliau lahir pada tahun 97 Hijrah di Kufah pada zaman khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Ayahnya juga merupakan seorang ahli hadith yang masyhur, iaitu Said bin Masruq Al-Thauri.

 

Guru-Guru Beliau:

Beliau telah berguru dengan ramai para ulama’ dari berbagai tempat. Antara guru beliau ialah:

 

  • Di Kufah:
  • Abi Ishak al-Syaibani
  • Ismail bin Abi Khalid
  • Hammad bin Abi Sulaiman
  • Abi Malik al-Ashja’i
  • Thariq bin Abd al-Rahman

 

  • Di Basrah:
  • Ziyad bin Ilaqah
  • Sulaiman al-Taimiy
  • Ibrahim bin Maisarah
  • Daud bin Abi Hind
  • Yunus bin Ubaid

 

  • Di Hijaz:
  • Zaid bin Aslam
  • Ayyub bin Musa
  • Abi Zannad
  • Hisyam bin Urwah
  • Yahya bin Said al-Ansari

 

Murid-Murid Beliau:

Beliau mempunyai murid yang bilangan tidak dapat dihitung. Antaranya ialah:  

 

  • Ja’far bin Burqan
  • Syu’bah
  • Malik
  • Abd al-Rahman bin Mahdi
  • Yahya bin Said al-Qattan
  • Ubaidullah al-Ashja’iy
  • Fudhail bin Iyadh
  • Yazid bin Harun
  • Makhlad bin Yazid
  • Abu Nu’aim

 

Kisah Sufiyan al-Thauri dan khalifah Abu Ja’far

Khalifah Abu Ja’far telah meminta Imam Sufiyan al-Thauri untuk menjadi pemimpin setelah terbunuhnya Imam Abu Hanifah tetapi Imam al-Thauri menolak tawaran tersebut setelah berkali-kali diminta oleh khalifah dan Imam al-Thauri juga enggan hadir untuk bertemu dengan khalifah. Setelah itu, Imam al-Thauri telah melarikan diri ke Mekah dari Kufah kerana beliau berkeras untuk tidak menerima tawaran tersebut. Disebabkan itu, khalifah Abu Ja’far mengatakan “barangsiapa yang berjaya menangkap Imam al-Thauri akan dihadiahkan baginya sejumlah wang sebanyak sepuluh ribu”. Apabila beliau mengetahui tawaran khalifah itu, maka Imam al-Thauri telah melarikan diri ke Basrah dari Mekah.

Akan tetapi Imam al-Thauri tidak menetap lama di Basrah kerana khuatir bahawa masyarakat di situ akan mengenalinya. Beliau mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Yaman dan di sana beliau telah diuji dengan ujian yang lebih berat apabila dituduh mencuri. Kemudian perkara itu dibawa dan diangkat kepada Ma’an bin Zaidah iaitu pempimpin di tempat tersebut yang terkenal dengan orang yang menjaga maruah dan mempunyai akhlak yang mulia. Apabila Ma’an mengetahui bahawa yang dituduh itu adalah Sufiyan al-Thauri maka beliau melepaskannya dan memberi kebebasan kepada Imam al-Thauri.

 

Begitulah kehidupan Imam al-Thauri yang hidup dalam keadaan asing kerana sentiasa berpindah-randah antara tempat ke tempat yang lain. Di akhirnya, beliau membuat keputusan untuk pergi ke Mekah dan menunaikan haji di sana tetapi dalam masa yang sama khalifah Abu Ja’far juga akan menunaikan haji pada tahun yang sama. Apabila khalifah mengetahui akan berita kedatangan Imam al-Thauri ke Mekah maka Khalifah mengutuskan surat kepada pemimpin di Mekah pada waktu itu untuk menangkap Imam al-Thauri serta membunuhnya. Imam al-Thauri apabila mendengar berita bahawa orang sedang mencarinya, beliau telah bersembuyi di sebalik kain Ka’bah lalu bersumpah dan berdoa kepada Allah SWT agar tidak diizinkan khalifah Abu Ja’far untuk memasuki Mekah. Dengan izin Allah SWT dan kemuliaan yang terdapat pada Sufiyan al-Thauri, Allah SWT telah memakbulkan doanya. Disebabkan doa tersebut, dengan kuasa Allah SWT, khalifah Abu Ja’far telah wafat sebelum sempat memasuki Mekah. Ini merupakan antara karamah atau kemuliaan yang Allah SWT kurniakan kepada Imam al-Thauri RA. Antara sebab Imam al-Thauri lari menyembunyikan diri dan dalam masa yang sama menolak tawaran khalifah adalah disebabkan beliau tidak sanggup dan tidak boleh sabar dengan perkara-perkara mungkar yang ada di depannya (dilihatnya). [Lihat: Siyar A’lam al-Nubala’, 6:621]

 

Sanjungan Para Ulama Terhadapnya

Para ulama’ sangat mengagumi akan keilmuan Sufiyan bin al-Thauri, antara sanjungan dan pujian yang diberikan kepada beliau adalah:

 

Telah berkata al-Khatib; “Beliau adalah imam daripada kalangan imam-imam orang Islam, tanda daripada tanda agama. Beliau adalah seorang yang mempunyai kemuliaan sehingga beliau tidak memerlukan sebarang pujian terhadapnya. Selain itu, Sufiyan al-Thauri juga seorang yang boleh dipercayai, mempunyai hafalan yang kuat, berilmu luas, warak dan zuhud”.

Telah berkata Imam al-Zahabi: “Sanad yang paling baik bagi orang Iraq ialah: Sufiyan daripada Mansur daripada Ibrahim daripada ‘alqamah daripada Abdullah bin Mas’ud”.

Telah berkata Syu’bah, Ibn Ulayyah, Abu Asim, Yahya bin Main dan ramai lagi: “Sufiyan adalah Amir al-Mukminin dalam hadith”.

 

Telah berkata Yahya al-Qattan: “Tidak ada seorang yang lebih aku kasihi daripada Syu’bah dan tidak ada yang standing dengannya (Sufiyan al-Thauri) pada zamannya dalam feqah, hadith, zuhud dan dalam semua perkara”.

 

Telah berkata Ibn Uyainah: “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengetahui akan halal dan haram daripada Sufiyan al-Thauri”.

 

Telah berkata Bishir al-Hafi: “Sufiyan di zamannya seperti Abu Bakar dan Umar di zaman mereka berdua”.

 

Telah berkata Ibn Uyainah: Ibn Abbas adalah ahli hadith di zamannya, al-Sya’bi adalah ahli hadith di zamannya dan al-Thauri adalah ahli hadith di zamannya”.

 

Wafat Beliau

Imam Al-Zahabi mengatakan pendapat yang benar adalah Sufiyan al-Thauri wafat pada bulan Sya’ban tahun 161 Hijrah,

 

Penutup

Demikian adalah pengenalan dan sejarah ringkas tentang seorang ulama’ yang agung di dalam Islam iaitu Sufiyan al-Thauri. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan orang-orang yang soleh dan juga mengurniakan kita ilmu pengetahuan yang luas seperti Sufiyan al-Thauri. Amin.