Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-237: SYEIKH AHMAD SYAKIR ULAMA’ HADITH KONTEMPORARI

Soalan: Siapakah Syeikh Ahmad Syakir?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Dengan melihat dan membaca kembali sejarah sarjana-sarjana besar Islam samada yang dulu atau masa kini akan menaikkan dan membakar sedikit sebanyak semangat kita dalam menuntut ilmu. Selain itu, kita juga dapat mengenali dan mencontohi sifat atau akhlak yang ditonjolkan supaya ia dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian kita.

 

Berdasarkan soalan di atas, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan secara ringkas berkaitan latar belakang seorang tokoh yang hebat dan besar juga sumbangannya kepada perkembangan ilmu dan juga agama Islam iaitu Syeikh Ahmad Syakir.

 

Beliau ialah al-Ustaz al-‘Allamah al-Muhaddith Abu al-Ashbal al-Syeikh Ahmad bin Muhammad Syakir bin Ahmad Ibn Abd al-Qadir. Lahirnya tokoh ini pada hari Jumaat bersamaan 29 Jumadil al-Akhir tahun 1309 Hijrah (1892 Masihi) di rumah ayahnya bertempat di Kaherah. Setelah itu, ayahnya telah berpindah ke Sudan setelah dilantik menjadi salah seorang hakim di sana.

 

Syeikh Ahmad Syakir telah memulakan pengajiannya di Sudan dan setelah beliau pulang semula ke Mesir. Beliau menyambung pengajiannya di Iskandariah kemudian di al-Azhar yang mana ayahnya merupakan salah seorang wakil di situ pada tahun 1328 Hijrah.

 

Adapun perpindahan beliau ke al-Azhar merupakan satu titik permulaan baru di dalam hidupnya sehingga beliau mampu untuk berinteraksi dengan ramai kalangan alim ulama’ dan juga penuntut-penuntut ilmu yang ada di situ. Setelah itu, beliau mula berpindah ke perpustakaan di Kaherah dan di sana beliau telah banyak mengambil manfaat daripada para alim ulama’ serta banyak mengkaji pelbagai bidang. Di samping itu, beliau telah mendapat sijil daripada al-Azhar pada tahun 1917 Masihi. Dalam masa yang sama, beliau telah bekerja sebagai salah seorang tenaga pengajar dalam tempoh 4 bulan sahaja. Setelah itu, beliau bekerja dalam bidang kehakiman sehinggalah beliau bersara pada tahun 1951 Masihi.

 

Beliau telah mempelajari subjek usul al-Fiqh dengan gurunya ketika di Iskandariah iaitu Seyikh Mahmud Abu Daqiqah. Selain itu, beliau juga banyak belajar daripada bapanya Syeikh Muhammad Syakir dalam pelbagai bidang seperti tafsir, hadith, bahasa dan sebagainya. Syeikh Ahmad Syakir juga mengambil ilmu daripada Syeikh Idris al-Sanusi, Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, Syeikh Ahmad bin al-Syams al-Syanqiti, Syeikh Syakir al-Iraqi, Syeikh Thohir al-Jazairi, Sayyid Muhammad Rasyid Redha, Syeikh Salim al-Basyari, Syeikh Habib al-Syanqiti, Syeikh Jamal al-Din al-Qasimi dan ramai lagi yang mana sebahagian besarnya adalah terdiri daripada Imam-Imam besar hadith sehingga beliau menjadi salah seorang yang mahir dalam bidang tersebut.

 

Dalam tempoh tersebut, beliau tidak pernah sesekali meninggalkan kajian dan pembacaan walaupun sibuk dengan tugasan hariannya. Bahkan, beliau telah memenuhkan perpustakaan Islam dengan kajian-kajian beliau yang bernilai dan kitab-kitab utama yang telah beliau semak atau tahqiqkan.

 

Syeikh Ahmad Syakir telah mempelajari mazhab Abu Hanifah di al-Azhar dan dengan mazhab tersebut beliau berhukum di dalam perkara yang melibatkan isu kehakiman syar’ie. Akan tetapi, beliau bukanlah seorang yang fanatik dengan satu mazhab tertentu sahaja, bahkan beliau lebih gemar untuk melihat pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh para salaf sama ada berbentuk kata-kata atau dalil-dalil mereka.

 

Beliau wafat pada 26 Zulkaedah 1377 Hijrah bersamaan 1958 Masihi. Antara kata-kata beliau di dalam salah satu daripada buku beliau adalah:

 

“Adapun zaman kita ini, ramai orang telah meninggalkan ilmu periwayatan (hadith). Setelah itu, mereka meninggalkan ilmu pengkajian hadith melainkan segelintir daripada mereka’.

[Lihat: Alfiyah al-Suyuthi fi ‘Ilmi al-Hadith, 93]

 

Pujian Terhadap Beliau

Antara pujian yang pernah diberikan kepada beliau:

  • Mahmud Syakir telah menyifatkan abangnya sebagai “Imam al-Muhaddithin.” (imam bagi semua ahli hadith pada kurun itu). Selain itu beliau juga mengatakan abangnya ialah “satu-satunya orang daripada bilangan yang sedikit yang mempelajari hadith Nabi SAW di zaman ini dengan sempurna, di mana ia terbina di atas usul yang masyhur dalam kalangan para imam di kurun-kurun awal.”

 

  • Syeikh Abd al-Salam Muhammad Harun mengatakan bahawa “Syeikh Ahmad Syakir merupakan seorang imam yang sukar untuk kita menceritakan akan kelebihan yang ada padanya.”

 

  • Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh: “Ahmad Syakir merupakan salah seorang yang telah sampai ke tahap mengetahui hadith Nabi SAW secara riwayah dan dirayah. Beliau dianggap sebagai perintis kepada penyebaran semula teks-teks hadith di kurun ini serta penyemakannya kembali mengikut kaedah yang dicontohi oleh para pengkaji hadith.”

 

Karya-Karya Beliau

Antara karya-karya yang pernah dihasilkan atau ditahqiqkan oleh beliau adalah:

  • Tahqiq kitab al-Risalah oleh Imam al-Syafie.
  • Tahqiq al-Jami’ (Sunan al-Tirmizi).
  • Tahqiq dan Syarah Musnad Ahmad bin Hanbal. (hanya satu pertiga sahaja)
  • Tahqiq Mukhtasar Sunan Abi Daud oleh al-Hafiz al-Munziri.
  • Tahqiq Sahih Ibn Hibban. (jilid satu sahaja)
  • Syarah Alfiyah oleh Imam al-Suyuthi.
  • Syarah al-Baith al-Hathith atau Ikhtisar Ulum al-Hadith oleh al-Hafiz Ibn Kathir.
  • Tahqiq kitab al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Ibn Hazm.
  • Kitab Umdah al-Tafsir. (Ringkasan daripada tafsir al-Hafiz Ibn Kathir)
  • Takhrij hadith-hadith di dalam Tafsir al-Thabari.
  • Tahqiq kitab Lubab al-Adab oleh al-Amir Usamah bin Munqiz.
  • Tahqiq kitab Syarah al-Aqidah al-Thahawiyyah.
  • Nizhom al-Talaq fi al-Islam.
  • Al-Kitab wa al-Sunnah
  • Tahqiq al-Muhalla oleh Ibn Hazm

 

Penutup

Kesimpulannya, Syeikh Ahmad Syakir  merupakan salah seorang tokoh ilmuan hadith yang unggul di zaman ini yang mana jasa, khidmat dan bakti beliau terhadap ilmu hadith dan juga beberapa ilmu yang lain menjadikan beliau salah seorang tokoh yang namanya sentiasa disebut-sebut oleh pencinta-pencinta ilmu kerana jasa beliau amat besar di dalam perkembangan ilmu Islam. Tambahan pula, hingga ke saat ini karya-karya beliau masih segar dan menjadi rujukan oleh masyarakat Islam khususnya. Semoga Allah SWT merahmatinya dan memberinya sebaik-baik pembalasan serta menjadikan kita sebahagian daripada hamba-hamba-Nya yang sentiasa berjasa dan menyumbang kepada agama yang dicintai ini. Amin.

 

Wallahua’lam