IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-296: UMUR DHAB SELAMA 700 TAHUN

 

ih296.png

 

Soalan: Adakah terdapat hadith bahawa dhab akan hidup selama 700 tahun?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dhab merupakan sejenis biawak (dalam budaya Melayu) yang terdapat di padang pasir. Dari segi sains ia dikelaskan sebahagian daripada keluarga cicak. Nama Inggerisnya Egyptian Mastigure atau Egyptian dab lizard atau Egyptian spiny-tailed lizard. Manakala nama sainsnya pula adalah Uromastyx aegyptius microlepis.

Tambahan pula, Dhab merupakan haiwan reptilia yang berdarah sejuk, membiak secara bertelur dan mempunyai kulit bersisik tebal. Selain itu, Dhab merupakan sejenis haiwan vegetarian (hanya memakan tumbuhan atau sayuran). Ia menghabiskan banyak masanya di dalam lubang yang digalinya untuk menyembunyikan dirinya atau dicelah-celah batu-batu yang selamat untuknya berlindung. Panjang seekor dhab boleh sampai kepada 14 inci ke 36 inci atau lebih daripada itu. [Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Dhab]

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak menemui riwayat atau hadith yang menceritakan tentang usia dhab (biawak pasir) akan hidup. Akan tetapi, hal tersebut ada diucapkan oleh Ibn Khalawaih dan ia dinukilkan oleh ramai ulama’ di dalam kitab mereka. Berikut adalah nukilan daripada Ibn Khalawaih:

 

وَذَكَرَ بِنْ خَالَوَيْهِ أَنَّ الضَّبَّ يَعِيشُ سَبْعَمِائَةِ سَنَةٍ وَأَنَّهُ لَا يَشْرَبُ الْمَاءَ وَيَبُولُ فِي كُلِّ أَرْبَعِينَ يَوْمًا قَطْرَةً وَلَا يَسْقُطُ لَهُ سِنٌّ وَيُقَالُ بَلْ أَسْنَانُهُ قِطْعَةٌ وَاحِدَةٌ

Maksudnya: “Telah disebutkan oleh Ibn Khalawaih bahawasanya dhab ini hidup selama 700 tahun. Ia tidak meminum air dan akan kencing pada setiap 40 hari. Giginya tidak akan gugur dan dikatakan giginya tidak berbahagi-bahagi (seperti gigi manusia).”

 

Selain itu, antara ulama’ yang menukilkan pandangan ini di dalam karya mereka ialah:

 

Hukum Memakan Dhab

Para ulama’ berselisih pendapat dalam hukum memakan dhab ini. Akan tetapi, jumhur ulama’ menyatakan hukumnya adalah harus. Ini juga merupakan pandangan Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Minhaj:

 

وَأَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَنَّ الضَّبَّ حَلَالٌ لَيْسَ بمكروه مَا حُكِيَ عَنْ أَصْحَابِ أَبِي حَنِيفَةَ مِنْ كَرَاهَتِهِ

Maksudnya: “Dan umat Islam telah ijma’ bahawa memakan dhab adalah halal bukannya makruh sepertimana yang disebut oleh ashab (ulama’) bermazhab Abu Hanifah bahawa ia adalah makruh.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 93-94/13]

 

Antara dalil yang digunakan oleh para ulama’ dalam mengharuskan memakan dhab ini adalah berdasarkan sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

 

دَخَلْتُ أَنَا وَخَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ، مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْتَ مَيْمُونَةَ، فَأُتِيَ بِضَبٍّ مَحْنُوذٍ، فَأَهْوَى إِلَيْهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ، فَقَالَ بَعْضُ النِّسْوَةِ اللَّاتِي فِي بَيْتِ مَيْمُونَةَ: أَخْبِرُوا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَا يُرِيدُ أَنْ يَأْكُلَ، فَرَفَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ، فَقُلْتُ: أَحَرَامٌ هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: لَا، وَلَكِنَّهُ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ، قَالَ خَالِدٌ: فَاجْتَرَرْتُهُ فَأَكَلْتُهُ وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ

Maksudnya: “Aku dan Khalid bin al-Walid bersama Rasulullah SAW masuk ke rumah Maimunah. Lalu dihidangkan kepada kami daging dhab yang telah dibakar dan Rasulullah SAW menghulurkan tangannya untuk mengambil daging tersebut. Tiba-tiba sebahagian daripada wanita yang berada di rumah Maimunah berkata: “Beritahulah kepada Rasulullah SAW hidangan apa yang beliau makan?.” Rasulullah SAW pun menarik tangannya, lalu aku bertanya: “Apakah daging tersebut haram wahai Rasulullah?.” Beliau menjawab: “Tidak, tetapi ia tidak terdapat di negeri kaumku, maka aku tidak menyukainya.” Khalid berkata: “Aku mengambil daging tersebut dan memakannya, sedangkan Rasulullah SAW hanya melihat.” [Riwayat Muslim (1945)]

 

Penutup

Kesimpulannya, kami tidak menemui sebarang hadith atau riwayat yang thabit daripada Nabi SAW bahawa dhab akan hidup selama 700 tahun. Ia hanyalah pandangan daripada Ibn Khalawaih sebagaimana yang kami nyatakan di atas dan ia dinukilkan di dalam kitab-kitab yang mensyarahkan hadith Nabi SAW. Tambahan pula, Rasulullah SAW tidak melrang sahabtnya memakan daging dhab ini walaupun baginda SAW tidak menggemarinya. Akhirnya, semoga Allah memberi kita kefahaman di dalam agama. Amin.

 

Wallahua’lam