IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-332: TURUNNYA RAHMAT DISEBABKAN ORANG SOLEH

 

ih332.png

 

 

 

Soalan: Apakah benar dakwaan yang menyatakan rahmat Allah SWT akan turun apabila nama-nama orang soleh disebut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Rahmat merupakan salah satu daripada sifat Allah SWT dan sifat ini banyak disebutkan di dalam al-Quran. Antaranya:

فَلَوْلَا فَضْلُ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَكُنتُم مِّنَ الْخَاسِرِينَ

al-Baqarah:64

Maksudnya: “Maka jika tidak kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu daripada golongan orang-orang yang rugi.”

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

al-Imran:74

Maksudnya: “Allah menentukan pemberian rahmat-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.”

 

Kedua ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT menisbahkan sifat rahmat kepada diri-Nya dan sifat ini meliputi sekalian alam atau sekalian makhluk-Nya. Kesan sifat rahmat daripada Allah ini akan diperolehi dan dirasai oleh setiap hamba itu apabila dia melaksanakan segala ketaatan dan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, di samping meninggalkan segala larangan dan maksiat. Dengan cara itulah, rahmat Allah ke atas hamba itu akan dirasai.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah ucapan yang dikatakan bahawa ia datang daripada Rasulullah SAW iaitu:

 

عِنْدَ ذِكْرِ الصَّالِحِينَ تَنْزِلُ الرَّحْمَةُ

Maksudnya: “Ketika disebutkan orang-orang yang soleh, maka rahmat Allah akan turun.”

 

Sebelum kami nyatakan berkaitan status atau hukum terhadap hadith ini. Terlebih dahulu, kami akan menyatakan beberapa pandangan para ulama berkaitan hadith atau riwayat ini, antaranya adalah:

 

Tambahan pula, Imam Ibn Solah (643 H) di dalam kitabnya ada menukilkan sebuah kisah daripada Abu ‘Amr Ismail bin Nujaid apabila beliau telah bertanya kepada Abu Ja’far Ahmad bin Hamdan dan kedua orang ini adalah hamba Allah yang soleh. Katanya (kepada Abu Ja’far): “Dengan niat apa untuk aku menulis sebuah hadith?.” Maka Abu Ja’far menjawab: “Adakah kamu melihat apabila disebutkan orang yang soleh maka rahmat Allah akan turun?.” Jawab Abu ‘Amr: “Benar.” Maka kata Abu Ja’far: “Dengan itu, Rasulullah SAW adalah penghulu kepada sekalian orang yang soleh.” [Lihat: Ma’rifah Anwa’ Ulum al-Hadith, 353/1]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung bahawa hadith tersebut bukanlah daripada Nabi SAW, bahkan ia adalah ucapan daripada Sufyan bin ‘Uyainah walaupun Imam al-Zamakhsyari menukilkan di dalam khutbahnya bahawa ia adalah hadith Nabi SAW. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 82/2] Walaubagaimanapun, di sana terdapat sebuah hadith yang sahih berkaitan rahmat Allah akan meliputi orang-orang yang berada di dalam majlis yang mana majlis tersebut boleh mengingatkan kepada Allah SWT:

 

لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah sesuatu kaum yang duduk berkumpul untuk mengingati Allah melainkan akan dinaungi oleh para malaikat, dilimpahkan kepada mereka rahmat dan akan diturunkan kepada mereka sakinah (ketenangan) serta Allah SWT akan menyebut mereka di hadapan para makhluk yang ada di sisi-Nya.” [Riwayat Muslim (2700)]

 

Tambahan pula, kebiasaannya nama-nama orang soleh ini akan banyak disebut di dalam majlis-majlis ilmu. Akan tetapi, di dalam hadith yang sahih di atas menunjukkan rahmat Allah SWT turun bukannya disebabkan wujudnya nama-nama orang soleh tetapi ia adalah disebabkan perkara tersebut mengingatkan kepada Allah SWT. Di samping itu juga, menjadi kewajipan kita sebagai seorang muslim apabila mengetahui akan status sesebuah hadith yang tidak sahih daripada Rasulullah, untuk tidak menyandarkan sesuatu yang tidak thabit kepada Rasulullah SAW kerana bimbang ia termasuk di dalam berdusta di atas nama Nabi SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih kerana ia tidak mempunyai asal yang marfu’ iaitu yang sampai kepada Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam