IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-337: BAKHIL MEMBERI SALAM

 

ih337.png

 

 

 

Soalan:

Apakah terdapat hadith yang menyatakan bahawa orang yang tidak suka memberi salam adalah orang yang bakhil?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hukum mengucapkan salam adalah sunnah yang amat digalakkkan (سنة مستحبة) dan amat dituntut oleh Rasulullah SAW. Ini kerana, di sana terdapat perintah atau arahan daripada Nabi SAW agar kita menyebarkan serta mengucapkan salam kepada orang lain. Namun, perintah tersebut bukanlah bersifat wajib tetapi ia hanyalah sunnah yang amat digalakkan. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan para ulama. Adapun hukum menjawab salam adalah wajib, berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

al-Nisa’:86

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).”

 

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat riwayat yang menyatakan bahawa orang yang paling bakhil adalah orang yang bakhil memberi salam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani (360 H) di dalam kitabnya secara marfu’:

 

وَأَبْخَلُ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلَامِ

Maksudnya: “Orang yang paling bakhil adalah orang yang bakhil memberi salam.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (5591)]

 

Hukum hadith

Riwayat Abu Hurairah RA ini datang dalam keadaan sanadnya mawquf (terhenti pada sahabat dan tidak sampai kepada Nabi SAW) dan marfu’ (iaitu sanadnya sampai kepada Nabi SAW dan tidak terputus). Di antara ulama yang meriwayatkan riwayat di atas dengan sanad yang mawquf adalah Imam Ibn al-Ja’d (230 H) di dalam musnadnya (2663) dan Imam al-Bukhari (256 H) di dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad (1015). Adapun di antara ulama yang meriwayatkan riwayat ini dengan marfu’ adalah Imam al-Thabarani sepertimana di atas, Imam al-Baihaqi (458 H) di dalam kitabnya Syu’ab al-Iman (8392,8394 dan 8395) dan Ibn Syahin (385 H) di dalam kitabnya al-Targhib fi Fadhail al-‘Amal (488 dan 492).

Selain itu juga, Imam al-Daraquthni mengatakan bahawa pendapat yang sahih ia adalah mawquf dalam menentukan sama ada riwayat ini mawquf ataupun marfu’. [Lihat: al-‘Ilal, 217/11] Pandangan al-Daraquthni ini berbeza dengan pandangan Imam Ibn Hibban kerana beliau meriwayatkan riwayat ini di dalam kitab sahihnya. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 349-350/10] Walaupun riwayat ini adalah mawquf, tetapi ia mempunyai beberapa sokongan daripada hadith yang lain walaupun hadith-hadith sokongan ini sanadnya adalah dhaif tetapi ia boleh mengangkat darjat atau status riwayat yang mawquf ini. Antaranya ialah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mughaffal di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3392) dan Jabir RA di dalam Musnad Ahmad (14517) dan al-Mustadrak oleh Imam al-Hakim (2195).

Melihat kepada perbezaan di atas, kami cenderung bahawa riwayat Abu Hurairah RA di atas adalah mawquf atau dhaif kerana pada sanadnya terputus dan tidak sampai kepada Nabi SAW. Antaranya yang cenderung kepada pandangan ini adalah Imam al-Daraquthni sebagaimana yang kami nyatakan di atas dan juga Imam al-Bukhari kerana beliau (al-Bukhari) tidak menyandarkan riwayat ini kepada Nabi SAW, bahkan beliau menyandarkannya kepada Abu Hurairah sebagaimana di dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad. Tambahan pula, ini juga merupakan pandangan Imam al-Hafiz Ibn Hajar (852 H) pada riwayat Abu Hurairah RA ini. [Lihat: Fath al-Bari, 565/9]

 

Kelebihan Memberi Salam

Antara hadith Nabi SAW yang menceritakan akan kelebihan memberi salam adalah:

 

أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَيُّ الْإِسْلَامِ خَيْرٌ ؟ قَالَ: تُطْعِمُ الطَّعَامَ، وَتَقْرَأُ السَّلَامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ، وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ

Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.” [Riwayat al-Bukhari (6236) dan Muslim (63)]

 

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ: بِعِيَادَةِ المَرِيضِ، وَاتِّبَاعِ الجَنَائِزِ، وَتَشْمِيتِ العَاطِسِ، وَنَصْرِ الضَّعِيفِ، وَعَوْنِ المَظْلُومِ، وَإِفْشَاءِ السَّلاَمِ، وَإِبْرَارِ المُقْسِمِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memerintahkan kami dengan tujuh perkara iaitu melawat orang yang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang dizalimi, menyebarkan salam dan menunaikan sumpah.” [Riwayat al-Bukhari (6235]

 

Di dalam hadith ini terdapat 7 arahan Nabi SAW kepada kita untuk dilaksanakan dalam menjaga hubungan sesama manusia. Salah satu di antaranya ialah menyebarkan salam. Natijah pelaksanaan perintah ini akan melahirkan masyarakat yang saling mawaddah dan berkasih sayang.

 

Penutup

Kesimpulannya, riwayat di atas adalah mawquf atau dhaif kerana pada sanadnya terdapat keguguran iaitu tidak sampai kepada Nabi SAW dan ia terhenti hanya pada Abu Hurairah RA sahaja. Selain itu, memberi salam merupakan satu sunnah yang amat dicintai oleh Rasulullah SAW dan digalakkan oleh agama kita berdasarkan kepada dalil yang begitu banyak, sama ada daripada al-Quran ataupun hadith Nabi SAW pada menggalakkan perbuatan atau amalan tersebut. Dengan itu, kami ingin menutup artikel ini dengan ucapan daripada Imam al-Nawawi (676 H) yang menunjukkan akan kepentingan memberi dan menjawab salam ini:

“Ketahuilah bahawa memulakan salam adalah sunnah yang disukai dan ia bukanlah bersifat wajib. Ia juga merupakan Sunnah Kifayah yang bermaksud apabila seorang muslim dalam keadaan berjemaah (berkumpulan) maka sudah memadai bagi mereka jika seorang sahaja daripada kalangan mereka yang mengucapkannya. Jika kesemuanya mengucapkan salam maka itu adalah lebih baik. Adapun menjawab salam, jika yang diucapkan salam itu seorang maka dia perlulah menjawabnya dan jika yang diucapkan itu adalah ramai atau berkumpulan maka ia menjadi fardhu kifayah ke atas mereka untuk menjawabnya. Apabila seorang daripada mereka sudah menjawab salam maka ia sudah memadai bagi yang lain dan jika kesemuanya tidak menjawab maka kesemuanya berdosa. Namun, jika kesemuanya menjawab salam maka ia adalah di tahap yang paling sempurna dan baik.” [Lihat: al-Azkar, 394]

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi SAW serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

 

Wallahua’lam