IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-374: MULUT PUNCA KE NERAKA

 

ih374_15291523.png

 

Soalan: Apakah benar terdapat hadith yang mengatakan bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami mulakan artikel ini dengan menyatakan bahawa agama Islam merupakan sebuah agama yang amat menitikberatkan perihal akhlak. Ini kerana, Rasulullah SAW diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Hal ini disebut berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]

 

Bagi menjawab persoalan di atas, sememangnya terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kebanyakan penghuni neraka adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya ketika hidup di dunia. Antara hadith yang menceritakan berkaitan hal tersebut adalah:

 

تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الخُلُقِ، وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ، فَقَالَ: الفَمُ وَالفَرْجُ

Maksudnya: “Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” [Riwayat al-Tirmizi (2004)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib][Imam Ibn Hibban mensahihkan hadith ini di dalam sahihnya]

 

Syeikh Abdullah al-Talidi berkata di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini, hadith ini membicarakan berkaitan sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam Syurga atau Neraka. Adapun berkaitan maksud mulut di dalam hadith adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya. [Lihat: Jawahir al-Bihar, 1/170]

Tambahan pula, Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadith ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah sahih dan thabit daripada Nabi SAW. Akhirnya, marilah sama-sama kita cuba untuk menjadi seorang muslim yang baik pada peribadi atau akhlak dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik. Amin.

 

Wallahua’lam