IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-377: BERHIMPUN KETIKA MAJLIS KHATAM AL-QURAN

 

ih377_15291523.png

 

 

 

Soalan: Apakah terdapat dalil atau contoh daripada generasi terdahulu berkaitan majlis khatam al-Quran sepertimana yang dilakukan di bulan Ramadhan?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membudayakan pembacaan al-Quran amatlah dituntut di dalam bulan Ramadhan dan juga di dalam bulan-bulan yang lain. Ini kerana, Ramadhan merupakan bulan diturunkan padanya al-Quran berdasarkan kepada firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

al-Baqarah: 185

Maksudnya: “)Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

 

Merujuk kepada soalan di atas, amalan berhimpun ketika majlis khatam al-Quran adalah disunatkan oleh para ulama iaitu dengan menghimpunkan ahli keluarga atau sahabat-handai ketika majlis tersebut. Hal ini berdasarkan kepada athar para salaf terdahulu. Antaranya, athar daripada Anas bin Malik RA:

 

كَانَ أَنَسٌ إِذَا خَتَمَ الْقُرْآنَ، جَمَعَ وَلَدَهُ وَأَهْلَ بَيْتِهِ فَدَعَا لَهُمْ

Maksudnya: “Adapun Anas apabila beliau mengkhatamkan al-Quran, beliau akan menghimpunkan anaknya serta ahli keluarganya lalu berdoa bersama mereka.” [Riwayat al-Darimi (3517)]

 

Tambahan pula, di dalam athar yang lain daripada al-Hakam berkata:

 

بَعَثَ إِلَيَّ مُجَاهِدٌ قَالَ: إِنَّمَا دَعَوْنَاكَ أَنَّا أَرَدْنَا أَنْ نَخْتِمَ الْقُرْآنَ وَإِنَّهُ بَلَغَنَا أَنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ عِنْدَ خَتْمِ الْقُرْآنِ ، قَالَ: فَدَعَوْا بِدَعَوَاتٍ

Maksudnya: “Telah diutuskan Mujahid kepadaku.” Telah berkata: “Kami memanggilmu kerana kami ingin mengkhatamkan al Quran dan bahawa sesungguhnya doa adalah mustajab pada saat khatam al-Quran.” [Riwayat al-Darimi (3525)]

Berdasarkan kepada dua athar di atas, Imam al-Nawawi mengatakan sunat hukumnya menghadiri majlis khatam al-Quran. [Lihat: al-Tibyan, 125] Hukum sunat menghadiri majlis khatam al-Quran ada juga disebutkan oleh Syeikh al-Humaidhi di dalam kitabnya. [Lihat: Jamal al-Qurra’, 149]

 

Penutup

Kesimpulannya, kami nyatakan bahawa disunatkan untuk menghadiri majlis khatam al-Quran serta memperbanyakkan berdoa di waktu tersebut kerana itu adalah di antara waktu yang mustajab. Akhirnya, semoga Allah SWT memuliakan kita semua dengan al-Quran serta menjadikan kita semua dalam ahli al-Quran. Amin.

 

Wallahua’lam