IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-384: PERBEZAAN MUKHADRAM DAN TABI’IN

 

ih384_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat perbezaan di antara mukhadram (المخضرم) dan tabi’in?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Istilah-istilah yang sedemikian biasanya akan kita temui di dalam kitab-kitab yang menghimpunkan berkaitan perawi-perawi hadith Nabi SAW. Justeru itu, sekiranya kita mengetahui makna istilah tersebut, ia sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam mengenali latar belakang seseorang perawi.

Bagi menjawab persoalan di atas, al-Mukhadram bermaksud seorang perawi yang berada di antara dua tabaqat iaitu di antara tabaqat sahabat atau tabaqat tabi’in. Oleh itu, perawi yang seperti ini dinamakan al-Mukhadram iaitu perawi yang sempat hidup di zaman al-Jahiliyyah dan juga zaman Islam tetapi mereka tidak pernah melihat Nabi SAW. Pendapat yang sahih adalah mereka ini digolongkan di dalam tabaqat atau kelompok tabi’in yang besar sama ada salah seorang daripada mereka diketahui islamnya di zaman Nabi SAW seperti al-Najasyi ataupun tidak. Ini adalah pendapat al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya al-Nuzhah. [Lihat: Nuzhah al-Nazhor, 118]

Menurut Imam al-‘Iraqi, yang dimaksudkan mereka sempat hidup di zaman al-Jahiliyyah adalah mereka sempat hidup bersama kaumnya atau selain daripada itu di dalam kekufuran sebelum daripada pembukaan kota Makkah. Imam Muslim telah menyebut salah seorang daripada perawi yang al-Mukhadram ialah Yusair bin ‘Amr. Ini kerana , beliau dilahirkan selepas daripada peristiwa hijrah dan ketika kewafatan Nabi SAW usianya tidak sampai sepuluh tahun serta beliau sempat hidup pada zaman al-Jahiliyyah bersama kaumnya. [Lihat: al-Taqyid wa al-‘Idhah, 324]

Setelah kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan al-Mukhadram ini, marilah kita melihat istilah yang kedua iaitu tabi’in. Tabi’in ialah seseorang yang sempat bertemu dengan salah seorang sahabat Nabi SAW dan dia beriman dengan Nabi SAW serta dia mati dalam agama Islam. Tambahan pula, para tabi’in ini mempunyai beberapa tabaqat atau tingkatan. Sebahagian mereka ada yang digolongkan dalam kalangan yang thiqah dan sebagainya. [Lihat:Lughah al-Muhaddith, 287]

Melihat kepada kedua istilah di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa istilah al-Mukhadram adalah tidak sama dengan istilah tabi’in. Ini kerana, yang membezakan di antara keduanya adalah, al-Mukhadram ialah seorang yang sempat hidup di zaman Nabi SAW dan beriman dengannya tetapi tidak pernah melihat Baginda SAW. Adapun tabi’in ialah seseorang yang tidak sempat hidup di zaman Nabi SAW tetapi mereka hidup pada zaman Sahabat Nabi SAW.

 

Penutup

Semoga dengan sedikit pencerahan yang ringkas ini dapat memberi manfaat serta kefahaman kepada kita dalam memahami ilmu Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.

 

Wallahua’lam