IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-425: HADITH KELEBIHAN MENGHAFAL SATU HADITH

 

ih425_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan menghafal satu hadith dan ganjarannya seperti para Nabi?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebagai seorang muslim kita dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk menyampai serta menyebarkan agama-Nya mengikut kemampuan masing-masing. Ini kerana, kerja dakwah ini merupakan kerja para Nabi yang terdahulu dan juga junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Selain itu, di antara perkara yang penting dalam berdakwah ini selain daripada menyampaikan al-Quran adalah menyebarkan hadith-hadith Nabi SAW kepada sekalian manusia. Hal ini termasuk di dalam anjuran Nabi SAW sendiri iaitu:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” [Riwayat al-Bukhari (3461)]

 

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini menuntut kita untuk menyampaikan satu ayat daripada al-Quran walaupun ayat tersebut pendek. Hadith ini juga boleh difahami bahawa Nabi SAW juga menuntut kita untuk menyampaikan hadith-hadith Baginda SAW. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 7/360]

Berdasarkan soalan di atas, suka bagi kami untuk menukilkan terlebih dahulu matan hadith yang dimaksudkan:

مَنْ حَفِظَ عَلَى أُمَّتِي حَدِيثًا وَاحِدًا كَانَ لَهُ كَأَجْرِ أَحَدٍ وَسَبْعِيْنَ نَبِيًّا صِدِّيقًا

Maksudnya: “Barangsiapa daripada kalangan umatku yang menghafal satu hadith, maka baginya ganjaran seperti 71 Nabi yang benar.”

 

Antara ulama yang menilai hadith ini ialah:

 

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami juga berpandangan bahawa hadith tersebut adalah tidak sahih dan haram bagi kita untuk menyebarkannya melainkan dengan tujuan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Di sana juga terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan menghafal 40 hadith daripada jalur yang banyak. Akan tetapi, Imam al-Nawawi sendiri dan juga para huffaz berpandangan bahawa hadith tersebut adalah dhaif walaupun jalur banyak. Hal ini boleh didapati pada Mukadimah Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Hadith 40. [Lihat: al-Wafi fi Syarh al-Arbain al-Nawawiyyah, 8]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih dan haram bagi kita untuk menyebarkannya melainkan dengan tujuan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Tambahan pula, tugasan menyampaikan hadith Nabi SAW adalah satu tugas yang mulia tetapi seseorang itu perlu memastikan terlebih dahulu bahawa apa yang disampaikan itu adalah sahih daripada Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam menyampaikan hadith-hadith Nabi SAW serta mengamalkan apa yang dibawa oleh Baginda SAW. Amin.

 

Wallahua’lam