IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-456: WAKTU AFDHAL UNTUK SOLAT SUBUH

 

 

 

 

 

ih456_15291523.png

 

Soalan: Apakah waktu yang afdhal untuk ditunaikan solat Subuh? Adakah pada waktu ghalas atau Isfar ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami mendatangkan hadith-hadith yang berkaitan, suka bagi kami untuk menerangkan terlebih dahulu maksud ghalas dan juga isfar. Ghalas ialah bercampurnya cahaya waktu Subuh dengan kegelapan malam. Adapun Isfar pula adalah waktu yang terang sedikt atau jelas bahawa telah masuknya waktu fajar. Untuk itu, waktu Isfar akan datang selepas daripada waktu ghalas.

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan terlebih dahulu hadith-hadith yang membicarakan berkaitan waktu Nabi SAW menunaikan solat Subuh. Ini kerana, terdapat hadith yang dilihat seakan-akan bercanggah di antara satu sama lain dan keduanya adalah hadith yang sahih:

 

 

أَسْفِرُوا بِالفَجْرِ، فَإِنَّهُ أَعْظَمُ لِلأَجْرِ

Maksudnya: “Lewatkanlah solat Fajar (Subuh) sehingga keluar cahaya kuning kerana padanya ganjaran yang besar.” [Riwayat al-Tirmizi (154)][Imam al-Tarmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

 

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الصُّبْحَ بِغَلَسٍ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW solat Subuh ketika waktu masih gelap.” [Riwayat al-Bukhari (947)]

 

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي الصُّبْحَ بِغَلَسٍ، فَيَنْصَرِفْنَ نِسَاءُ المُؤْمِنِينَ لاَ يُعْرَفْنَ مِنَ الغَلَسِ أَوْ لاَ يَعْرِفُ بَعْضُهُنَّ بَعْضًا

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW solat Subuh ketika waktu masih gelap sehingga kaum wanita daripada kalangan orang yang beriman beredar dalam keadaan tidak ada yang mengenalinya atau sebahagian mereka tidak mengetahui sebahagian yang lain.” [Riwayat al-Bukhari (873)]

 

Imam al-Tirmizi berkata bukan hanya seorang ulama daripada kalangan para sahabat Nabi SAW dan juga para tabi’in berpendapat bahawa solat Subuh (Fajar) dikerjakan apabila waktu sudah agak terang dan ini merupakan pendapat yang dipegang oleh Sufyan al-Thauri. Adapun di sisi al-Syafie, Ahmad dan Ishaq bahawa makna al-Isfar adalah ketika waktu Fajar telah terang tanpa diragukan lagi padanya serta mereka tidak berpendapat bahawa makna al-Isfar itu bermaksud melewatkan solat. [Lihat: Jami’ al-Tirmizi, 1/289]

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya bahawa Imam al-Syafie dan selain daripadanya berpendapat bahawa hadith Rafi’ itu bermaksud kepastian telah terbitnya (masuknya) waktu fajar. Imam al-Thahawi pula berpendapat bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi SAW (di dalam hadith Rafi’) adalah perintah agar memanjangkan bacaan padanya (solat Subuh) sehingga dia keluar (menghabiskan) daripada solat ketika waktu telah agak terang. Sebahagian ulama mendakwa bahawa hadith ini telah memansukhkan hadith solat Subuh ketika waktu masih gelap dan ini merupakan pandangan yang jauh (kurang tepat). [Lihat: Fath al-Bari, 2/55]

Di samping itu juga, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata yang dimaksudkan dengan al-Isfar itu adalah berterusan bukannya permulaan, maka seseorang itu memulakan solatnya ketika waktu masih gelap dan selesai menunaikannya ketika waktu telah agak terang sedikit sepertimana yang dilakukan oleh Nabi SAW yang mana ucapannya sudah pasti bertepatan dengan perbuatannya dan tidak sekali-kali bertentangan. [Lihat: I’lam al-Muwaqqi’in, 4/294]

Setelah kami melihat kepada beberapa pandangan di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa waktu yang terbaik untuk ditunaikan solat Subuh adalah di awal waktunya. Adapun berkaitan hadith yang membicarakan berkaitan al-Isfar, kemungkinan Nabi SAW menganjurkan untuk dipanjangkan bacaan di dalam solat Subuh sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Thahawi dan berkemungkinan juga Nabi SAW ingin mengajar dan memberitahu akan keluasannya.

 

Penutup

Semoga dengan sedikit pencerahan yang ringkas ini dapat memberi manfaat serta kefahaman kepada kita dalam memahami ilmu Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.

 

Wallahua’lam