IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-472: AL-HAJAR AL-ASWAD TANGAN KANAN ALLAH DI BUMI

 

ih466_15291523.png

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

الْحَجَرُ الأَسْوَدُ يَمِينُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ يُصَافِحُ بِهَا عِبَادَهُ

Maksudnya: “Al-Hajar al-Aswad adalah tangan kanan Allah di Bumi yang mana dengannya Allah bersalaman dengan hamba-hamba-Nya.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Hajar al-Aswad merupakan batu yang terletak di salah satu daripada penjuru Ka’bah dan Allah SWT menurunkannya dari Syurga sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith yang sahih:

نَزَلَ الحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الجَنَّةِ، وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Al-Hajar al-Aswad diturunkan dari Syurga. Warna lebih putih daripada putihnya susu tetapi ia telah dihitamkan oleh sebab dosa-dosa anak Adam.” [Riwayat al-Tirmizi (877)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

Berdasarkan soalan di atas, suka bagi kami untuk menukilkan terlebih dahulu sebahagian daripada pandangan para ulama berkaitan hukum hadith di dalam persoalan di atas:

Melihat kepada beberapa pandangan daripada kalangan para ulama, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah tidak thabit daripada Nabi SAW. Justeru itu, kita sama sekali tidak boleh menyandarkannya kepada Nabi SAW. Akan tetapi, sepertimana yang diperkatakan bahawa hadith ini berkemungkinan merupakan ucapan Ibn Abbas R.anhum dan bukannya daripada Nabi SAW dengan lafaz yang sedikit berbeza, iaitu:

 

الْحَجَرُ الْأَسْوَدُ يَمِينُ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ صَافَحَهُ وَقَبَّلَهُ فَكَأَنَّمَا صَافَحَ اللَّهَ وَقَبَّلَ يَمِينَهُ

Maksudnya: “Al-Hajar al-Aswad adalah tangan kanan Allah di Bumi. Barangsiapa yang bersalaman dan mengucupnya, seakan-akan dia bersalaman dengan Allah serta mengucup tangan kanan-Nya.”

 

Hal ini disebutkan oleh Imam Abu Bakar Abd al-Razzaq di dalam musannafnya bahawa ia adalah ucapan daripada Ibn Abbas R.anhuma:

 

الرُّكْنُ - يَعْنِي الْحَجَرَ - يَمِينُ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ يُصَافِحُ بِهَا خَلْقَهُ مُصَافَحَةَ الرَّجُلِ أَخَاهُ

Maksudnya: “Rukun (al-Hajar al-Aswad) adalah tangan kanan Allah di Bumi, yang mana dengannya Allah bersalaman dengan hamba-hamba-Nya seperti bersalaman seorang lelaki dengan saudaranya.” [Lihat: Musannaf Abd al-Razzaq (8919)]

Jika kita amati ucapan Ibn Abbas R.anhuma ini tidaklah termasuk di dalam bab menyifatkan Allah SWT dengan makhluk. Ini kerana, ucapan Ibn Abbas R.anhuma bersifat perumpamaan dan bukannya hakikat. Tambahan pula, di dalam al-Quran jelas Allah SWT menyatakan bahawa Dia sama sekali tidak sama dengan makhluk yang diciptakan oleh-Nya:

 

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

al-Syura: 11

Maksudnya: “Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifatNya dan pentadbiran-Nya) dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih atau thabit daripada Nabi SAW tetapi ia merupakan ucapan daripada Ibn Abbas R.anhuma. Selain itu, kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan para jemaah haji dan umrah agar tidak menyakiti orang lain ketika ingin mengucup atau mengusap al-Hajar al-Aswad kerana perbuatan tersebut adalah haram. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kesempatan dan peluang untuk mengusap dan mengucup al-Hajar al-Aswad. Amin.

 

Wallahua’lam