Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IHADITH 493 SAHABAT TABIIN

Soalan:

Saya pernah mendengar bahawa ada sahabat Rasulullah SAW yang meriwayatkan hadith daripada tabi’in. Benarkah hal tersebut? Jazakallah khair.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Para ulama hadith telah meletakkan satu bab di dalam ilmu hadith, iaitu bab mengenali riwayah al-akabir ‘an al-asoghir (رواية الأكابر عن الأصاغر), iaitu riwayat seorang tokoh besar daripada tokoh yang lebih kecil. Menurut Syeikh Ahmad Syakir, salah satu jenis riwayat dalam kategori ini ialah riwayat para sahabat R.’Anhum daripada para tabi’in. (Rujuk al-Ba’ith al-Hahith Syarh Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith, hlm. 387)

Menurut Imam Ibn al-Mulaqqin al-Syafi’e, riwayah al-akabir ‘an al-asoghir ini turut dikenali dengan nama riwayah al-fadhil ‘an al-mafdhul (riwayat orang yang lebih utama daripada yang kurang utama) dan riwayah al-syeikh ‘an al-tilmiz (riwayat guru daripada murid). Antara contohnya ialah riwayat al-Zuhri, Yahya bin Sa’id dan Rabi’ah daripada Imam Malik.  (Rujuk al-Tazkirah fi ‘Ulum al-Hadith hlm. 23-24)

Menurut Imam Mulla ‘Ali al-Qari, antara hikmah di sebalik wujudnya kategori riwayat guru daripada murid atau tokoh besar daripada tokoh kecil ini ialah sebagai satu bentuk bantahan terhadap orang jahil yang sombong dan enggan mengambil ilmu daripada mereka yang lebih rendah martabatnya atau yang kurang dikenali. Allah SWT berfirman:

سَأَصْرِفُ عَنْ آيَاتِيَ الَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

Maksudnya: Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu);

Surah al-A’raf (146)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya: Hikmah kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang mu’min; di mana saja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.

Jami’ al-Tirmizi (2687)

Saidina Ali Karramallahu Wajhah juga pernah berkata: Lihatlah kepada apa yang diucapkan, bukannya kepada siapa yang mengucapkannya. (Rujuk Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih 8/3471)

 

Riwayat-riwayat sahabat daripada tabi’in

Menurut Imam al-Zarkasyi, Imam Ibn Solah memasukkan kategori riwayat sahabat daripada tabi’in di bawah kategori riwayah al-akabir ‘an al-asoghir, dan Imam al-Khatib al-Baghdadi telah mengumpul kesemua riwayat-riwayat ini yang berjumlah sekitar 20 riwayat. (Rujuk al-Nukat ‘ala Muqaddimah Ibn al-Solah 1/67)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani pula telah mengarang sebuah kitab yang bertajuk Nuzhah al-Sami’in fi Riwayah al-Sohabah ‘an al-Tabi’in dalam meringkaskan dan menyusun semula karya al-Khatib al-Baghdadi yang menghimpunkan riwayat-riwayat hadith sahabat daripada tabi’in.

Salah satunya ialah Abdullah bin Umar bin al-Khattab R.Anhuma yang meriwayatkan hadith daripada seorang tabi’in, Abdullah bin Muhammad bin Abu Bakar (cucu kepada Abu Bakar al-Siddiq R.A), dimana Aisyah R.’Anha berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

أَلَمْ تَرَىْ أَنَّ قَوْمَكِ لَمَّا بَنَوُا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ ‏"‏‏.‏ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ‏.‏ قَالَ ‏"‏ لَوْلاَ حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ ‏"

Maksudnya: “Tahukah kamu, bahawa kaummu (Quraisy) ketika membina semula Ka’bah, mereka mengurangkan binaannya daripada binaan asas yang diletakkan oleh Nabi Ibrahim”. Aku (Aisyah) berkata: “Wahai Rasulullah, mengapa tidak kamu membinanya semula mengikut asas Nabi Ibrahim?” Baginda menjawab: “Jika tidak kerana kaummu masih baru meninggalkan agama kufur, nescaya aku telah melakukannya”.

   Sahih al-Bukhari (1583). (Rujuk Nuzhah al-Sami’in fi Riwayah al-Sohabah ‘an al-Tabi’in, tahqiq Tariq Muhammad al-‘Umudi, hlm. 44)

Begitu juga dengan hadith riwayat Jabir bin ‘Abdillah R.A yang meriwayatkan hadith daripada Ummu Kalthum (anak kepada Abu Bakr al-Siddiq R.A) bahawa Saidatina Aisyah R.Anha berkata:

إِنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّجُلِ يُجَامِعُ أَهْلَهُ ثُمَّ يُكْسِلُ هَلْ عَلَيْهِمَا الْغُسْلُ وَعَائِشَةُ جَالِسَةٌ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ إِنِّي لأَفْعَلُ ذَلِكَ أَنَا وَهَذِهِ ثُمَّ نَغْتَسِلُ ‏"‏

Maksudnya: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang seseorang yang menyetubuhi isterinya tanpa mengeluarkan mani, adakah mereka berdua wajib mandi, sedang Aisyah berada di situ. Maka Rasulullah SAW menjawab: Aku dan dia (Aisyah) telah melakukan yang demikian (bersetubuh tanpa mengeluarkan mani) dan kami mandi.

Sahih Muslim (350)

Menurut Imam al-Nawawi, Ummu Kalthum merupakan salah seorang tabi’in wanita, manakala Jabir merupakan seorang sahabat yang pastinya lebih tinggi martabat, kedudukan serta umurnya daripada Ummu Kalthum. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 4/42. Rujuk juga Mustakhraj Abi ‘Awwanah 3/93)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Mu’awiyah bin Abi Sufyan daripada Malik bin Yukhamir, seorang tabi’in yang meriwayatkan hadith ini daripada Mu’az bin Jabal R.’Anhum, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَزَالُ مِنْ أُمَّتِي أُمَّةٌ قَائِمَةٌ بِأَمْرِ اللَّهِ، مَا يَضُرُّهُمْ مَنْ كَذَّبَهُمْ، وَلاَ مَنْ خَالَفَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ ‏"‏‏

Maksudnya: Akan ada segolongan daripada umatku yang sentiasa berpegang kepada suruhan Allah SWT, dan mereka tidak terkesan dengan golongan yang mendustakan mereka atau yang melawan mereka, sehinggalah tiba hari kiamat mereka terus berada dalam keadaan tersebut.

Sahih al-Bukhari (7460)

Begitu dengan hadith daripada Umar al-Khattab R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَامَ عَنْ حِزْبِهِ أَوْ عَنْ شَىْءٍ مِنْهُ فَقَرَأَهُ مَا بَيْنَ صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الظُّهْرِ كُتِبَ لَهُ كَأَنَّمَا قَرَأَهُ مِنَ اللَّيْلِ

Maksudnya: Barangsiapa yang tertidur dan tidak sempat membaca bacaan rutinnya ketika waktu malam, dan dia menggantikan bacaan tersebut pada waktu antara solat Subuh dan solat Zohor, maka dicatat pahala baginya seakan-akan dia membacanya pada malam hari.

Sunan Abi Dawud (1313)

Menurut Imam Badruddin al-‘Aini, dalam sanad ini terdapatnya seorang sahabat iaitu Al-Sa’ib bin Yazid R.A yang meriwayatkan hadith ini daripada seorang tabi’in iaitu Abd al-Rahman ibn ‘Abd al-Qari yang mendengar hadith ini daripada Umar al-Khattab R.A. (Rujuk Syarh Sunan Abi Dawud oleh Imam Badruddin al-‘Aini 5/219 dan al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj 9/401)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, sememangnya terdapat sebahagian daripada sahabat Baginda R.’Anhum yang meriwayatkan hadith daripada para tabi’in, dan ia termasuk di bawah kategori riwayah al-akabir ‘an al-asoghir (رواية الأكابر عن الأصاغر), iaitu riwayat guru daripada murid atau tokoh besar daripada tokoh kecil. Namun, bilangannya adalah amat sedikit dan jarang-jarang berlaku.

Wallahu a’lam.