Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-501 : BAGAIMANA MEMAHAMI PERTEMBUNGAN ANTARA HADIS LARANGAN MEMBUNUH BELALANG DENGAN HADIS YANG MENGHARUSKAN MEMAKANNYA?

IF HADITH 501

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Saya pernah dengar ada sebuah hadis yang melarang daripada membunuh belalang kerana ia adalah termasuk dalam kalangan tentera Allah yang terbesar. Soalan saya, sekiranya benar hadis tersebut, tidakkah ia telah bertembung dengan hadis yang mengharuskan untuk memakannya? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Terlebih dahulu, kami ingin tegaskan di sini bahawa terdapat banyak hadis yang menceritakan mengenai keharusan memakan belalang. Antaranya, riwayat daripada Abdullah bin Abi Aufa R.A bahawa :

غَزَوْنا مع رَسولِ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ سَبْعَ غَزَواتٍ نَأْكُلُ الجَرادَ

Maksudnya : “Kami telah pergi berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak tujuh peperangan. Dan kami memakan belalang.” Riwayat Muslim (1952)

Persoalan mengenai keharusan memakan belalang serta perkara yang berkaitan dengannya telah kami bahaskan secara panjang lebar di dalam ruangan :

  • Al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-963 : Hukum Memakan Belalang.
  • Al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-1670 : Perlukah Menyembelih Belalang dan Bolehkah Ia Dimakan Hidup-hidup?

Hadis larangan membunuh belalang

Mengenai perkara ini, terdapat sebuah hadis daripada riwayat Abu Zuhair al-Numairi bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَا تَقْتُلُوا الْجَرَادَ فَإِنَّهُ مِنْ جُنْدِ اللهِ الْأَعْظَمِ

Maksudnya : “Janganlah kalian membunuh belalang kerana sesungguhnya belalang itu adalah sebahagian daripada tentera Allah yang terbesar.” Riwayat al-Baihaqi (9654) di dalam Syu’ab al-Iman.

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, 22/297 dan al-Mu’jam al-Ausat, 9/111; juga oleh Imam Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Ma’rifah al-Sahabah, 5/2898; juga oleh Imam Abu al-Syeikh al-Asbahani di dalam al-‘Azmah, 5/1788;  juga oleh Imam Ibn Mandah di dalam Ma’rifah al-Sahabah, 1/870; dan oleh Imam Ibn Abi ‘Asim di dalam al-Ahad wa al-Mathani, 3/118.

Selain itu, kami sertakan juga di sini beberapa pandangan ulama berkaitan hadis ini :

  • Abu al-Hasan al-Haithami mengatakan bahawa di dalamnya terdapat perawi bernama Muhammad bin Ismail bin ‘Ayyash, dan dia adalah seorang yang lemah. (Lihat Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid, 4/39)
  • Imam al-Tabarani mengatakan bahawa tidak diriwayatkan hadis ini daripada Abu Zuhair melainkan dengan sanad-sanad ini, dan Ismail bin ‘Ayyash bersendirian meriwayatkannya. (Lihat al-Mu’jam al-Ausat, 9/111)
  • Syeikh al-Albani pula ketika mengulas kenyataan Imam al-Tabarani itu mengatakan bahawa Ismail bin ‘Ayyash adalah thiqah di dalam periwayatannya daripada orang-orang Syam dan ini adalah salah satu daripadanya. Begitu juga, rawi-rawi yang lebih tinggi daripadanya juga adalah thiqah. Lebih-lebih lagi, terdapatnya riwayat daripada Abdullah bin ‘Amru al-Hadrami yang menjadi mutabi’ tam (sempurna) kepada riwayat ini. Oleh itu, hadis dengan mutaba’ah seperti ini adalah kuat. (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 5/554)

Bagaimana memahami pertembungan antara hadis ini, dengan hadis yang mengharuskan memakannya?

Berbalik kepada persoalan di atas, sebenarnya tiada sebarang pertembungan antara hadis Abu Zuhair al-Numairi ini dengan hadis yang mengharuskan untuk memakan belalang.  Akan tetapi, hendaklah kedua-dua hadis ini dilihat dan difahami dalam dua keadaan yang berbeza. Hal ini kerana para ulama memahami hadis larangan membunuh belalang ini, sekiranya ia dibunuh secara suka hati dan sia-sia serta tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda :

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya : “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya : Wahai Rasulullah! Apakah haknya? Baginda menjawab : Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.” Riwayat al-Nasaie (4349)

Oleh itu, haram untuk membunuh belalang secara sesuka hati atau tanpa sebarang sebab yang diizinkan, tetapi diharuskan untuk membunuhnya sekiranya bertujuan untuk mengambil manfaat daripadanya seperti untuk memakannya dan lain-lain.

Imam al-Baihaqi juga ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa sekiranya riwayat ini adalah sahih, dapat difahami (kemungkinan) maknanya ialah sekiranya ia tidak bertembung dengan kerosakan tanam-tanaman (disebabkan oleh belalang). Sekiranya bertembung antara keduanya, maka harus untuk mencegah kerosakan tersebut daripada berlaku dengan memeranginya atau membunuhnya, atau (kemungkinan) maknanya juga ialah tidak mungkin sama sekali untuk menyerangnya (menghapuskannya), sama ada dengan memeranginya atau membunuhnya. (Lihat Syu’ab al-Iman, 12/409)

Namun, majoriti ulama mengharuskan untuk membunuh belalang, sekiranya ia membawa kerosakan kepada harta benda orang ramai seperti merosakan tanam-tanaman dan lain-lain. Mengenai perkara ini, Imam al-Qurtubi membawakan di dalam kitab tafsirnya hujah mereka yang mengharuskan untuk membunuh belalang sekiranya mendatangkan kerosakan sebagaimana katanya  :

وَاحْتَجَّ الْجُمْهُورُ بِأَنَّ فِي تَرْكِهَا فَسَادَ الْأَمْوَالِ، وَقَدْ رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بقتال المسلم إذا أراد أخذ مال، فَالْجَرَادُ إِذَا أَرَادَتْ فَسَادَ الْأَمْوَالِ كَانَتْ أَوْلَى أَنْ يَجُوزَ قَتْلُهَا. أَلَا تَرَى أَنَّهُمْ قَدِ اتَّفَقُوا عَلَى أَنَّهُ يَجُوزُ قَتْلُ الْحَيَّةِ وَالْعَقْرَبِ؟ لِأَنَّهُمَا يُؤْذِيَانِ النَّاسَ فَكَذَلِكَ الْجَرَادُ.

Maksudnya : “Majoriti ulama berhujah dengan mengatakan  bahawa meninggalkannya (yakni tidak membunuhnya) akan membawa kepada kerosakan harta benda. Sesungguhnya Nabi SAW memberi kelonggaran (rukhsah) untuk membunuh orang Islam sekiranya dia mahu mengambil (merampas atau mencuri) hartanya (orang yang membunuhnya atau orang lain). Justeru, belalang sekiranya membawa kepada kerosakan harta benda adalah lebih-lebih lagi berhak (atau utama), yang membolehkannya untuk dibunuh. Adakah kamu tidak melihat, mereka (para ulama) telah bersepakat mengenai keharusan membunuh ular dan kala jengking? Hal ini kerana kedua-duanya memudaratkan manusia. Maka, demikianlah juga (hukumnya) bagi belalang.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/268)  

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa hadis Abu Zuhair al-Numairi ini sanadnya adalah baik dan tidak bercanggah sama sekali dengan hadis lain yang mengharuskan untuk memakan belalang. Akan tetapi, hendaklah kedua-dua hadis ini dilihat dan difahami dalam dua keadaan yang berbeza iaitu kita dilarang untuk membunuh belalang secara suka hati dan sia-sia tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak. Namun, sekiranya bertujuan untuk mengambil manfaat daripadanya seperti memakannya, maka kita diharuskan untuk membunuhnya. Begitu juga, jika ia memberi kemudaratan dan merosakkan harta benda orang ramai, maka majoriti ulama berpendapat harus atau boleh untuk membunuhnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan hadis-hadis Rasulullah SAW. Ameen.