IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-508: MENJAWAB SYUBHAH DERITA NABI SAW KETIKA WAFAT AKIBAT BERDUSTA

ih508_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat hubungan di antara ayat 46 di dalam surah al-Haaqah dengan hadith yang menceritakan kesakitan Nabi akibat memakan daging yang diracun ketika di Khaibar?

 

Ringkas Jawapan: Syubhah derita Nabi SAW ketika wafat akibat berdusta merupakan syubhah yang dibawa oleh golongan yang benci terhadap agama Islam dan ia tidak mempunyai asas sama sekali. Ini kerana, ayat al-Quran dan juga hadith Nabi SAW yang dibawa adalah dalam dua konteks yang berbeza. Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi SAW tidak pernah berdusta sepanjang hayat Baginda SAW dan Baginda SAW begitu amanah dalam menyampaikan ajaran Islam ini.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebahagian daripada golongan yang benci terhadap Islam akan cuba untuk menimbulkan kekeliruan atau syubhat terhadap agama ini. Antaranya, mereka cuba untuk menghubungkan di antara ayat di dalam surah al-Haaqqah dengan hadith Nabi  SAW iaitu pada menyatakan Nabi SAW merasakan urat seakan-akan terputus apabila hendak wafat dan ini adalah disebabkan Baginda SAW telah berdusta dengan ayat-ayat Allah SWT yang disebutkan pada ayat 44 sehingga 46 di dalam surah al-Haaqqah.

Bagi menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan firman Allah SWT dan juga hadith Nabi SAW yang dimaksudkan.:

وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْأَقَاوِيلِ ﴿٤٤﴾ لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ ﴿٤٥﴾ ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ ﴿٤٦

al-Haaqqah: 44-46

Maksudnya: “Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta -sebarang kata-kata rekaan. Sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami. Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta-merta).”

 

Di dalam hadith ada diceritakan berkaitan kesakitan yang dirasai oleh Nabi SAW apabila Baginda SAW hampir wafat iaitu seakan-akan urat Baginda SAW terputus Hal ini berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.anha, beliau berkata:

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ: يَا عَائِشَةُ مَا أَزَالُ أَجِدُ أَلَمَ الطَّعَامِ الَّذِي أَكَلْتُ بِخَيْبَرَ، فَهَذَا أَوَانُ وَجَدْتُ انْقِطَاعَ أَبْهَرِي مِنْ ذَلِكَ السُّمِّ

Maksudnya: Adapun Nabi SAW pernah berkata di saat berada dalam kesakitan yang menyebabkan Baginda SAW wafat: “Wahai Aisyah! Aku masih berasa sakit akibat makanan yang aku makan di Khaibar. Maka kali ini aku merasakan seolah-olah uratku terpotong disebabkan racun tersebut.” [Riwayat al-Bukhari (4428)]

 

Melihat kepada dua dalil di atas ini, Allah SWT memberi ancaman kepada Nabi SAW sekiranya Baginda SAW berdusta di atas nama Allah (dengan ayat-ayat Allah) maka Allah SWT akan menyentapnya dengan kekuasaan-Nya serta Allah SWT akan memutuskan tali jantungnya supaya Baginda SAW wafat dengan serta-merta. Oleh sebab itu, apabila Nabi SAW menyebut bahawa Baginda SAW sakit seperti urat terpotong sebagaimana yang terdapat di dalam hadith, maka ia seakan-akan menepati amaran Allah SWT di dalam al-Quran yang menyebutkan sekiranya Nabi SAW itu berdusta di atas nama Allah, maka akan diputuskan urat jantungnya.

 

Untuk itu, kami ingin menjawab syubhah atau kekeliruan ini dengan beberapa perkara:

 

Pertama: Sifat yang wajib bagi Nabi SAW adalah bercakap benar dan sifat yang mustahil bagi Nabi SAW adalah berdusta. Ini kerana, Nabi SAW tidak akan sesekali berdusta sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ

al-Najm: 3

Maksudnya: “Dan dia (Muhammad SAW) tidak akan memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.”

 

Kedua: Nabi SAW wafat tiga tahun selepas peristiwa Baginda SAW memakan daging kambing yang telah diracun oleh seorang wanita Yahudi. Perkara ini disebutkan Imam Ibn al-Qayyim:

أَنَّهُ أَكَلَ مِنْهَا وَبَقِيَ بَعْدَ ذَلِكَ ثَلَاثَ سِنِينَ حَتَّى قَالَ فِي وَجَعِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW memakan daging (yang diracun) tersebut dan Baginda SAW hidup selama tiga tahun (selepas peristiwa tersebut) sehingga Baginda SAW sakit dan wafat disebabkannya.” [Lihat: Zad al-Ma’ad, 3/298]

Di dalam ayat al-Quran jelas menunjukkan bahawa Allah SWT akan mengazabkan Nabi SAW serta merta sekiranya Baginda SAW berdusta. Akan tetapi, kesakitan yang dialami oleh Baginda SAW adalah selepas tiga tahun Baginda SAW memakan daging kambing beracun tersebut.

 

Ketiga: Urat yang terputus di dalam al-Quran dan hadith adalah urat yang berbeza dari sudut bahasa.

Imam Ibn al-Athir pula berpendapat bahawa kalimah al-Abhar (الأبهر) merujuk kepada urat darah yang berada di belakang tubuh badan. [Lihat: al-Nihayah fi Gharib wa al-Athar, 1/18] Adapun kalimah al-Wateen (الوتين) pula, ia merujuk kepada urat yang berada di antara jantung dan hati. [Lihat: al-Qamus al-Muhit, 691]

 

Melihat kepada dua makna ini menunjukkan tidak ada persamaan sama sekali dan ucapan Nabi SAW ketika hendak wafat itu adalah kinayah (perumpamaa) semata-mata bagi meunjukkan kesakitan yang dialami. Penggunaan kinayah ini amat masyhur dan sering digunakan oleh bangsa Arab. Selain itu, al-Quran juga tidak terkecuali menggunakan uslub atau metod kinayah ini.

 

Penutup

Kesimpulannya, melihat kepada beberapa perkara di atas, maka jelaslah kepada kita bahawa dakwaan yang dibawa oleh golongan yang benci terhadap agama Islam ini sama sekali tidak mempunyai asas. Ini kerana, ayat al-Quran dan juga hadith Nabi SAW yang dibawa adalah dalam dua konteks yang berbeza. Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi SAW tidak pernah berdusta sepanjang hayat Baginda SAW dan Baginda SAW begitu amanah dalam menyampaikan ajaran Islam ini. Hal ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya: [Lihat: Sahih al-Bukhari (4770), 6/111]

صَعِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الصَّفَا، فَجَعَلَ يُنَادِي: يَا بَنِي فِهْرٍ، يَا بَنِي عَدِيٍّ - لِبُطُونِ قُرَيْشٍ - حَتَّى اجْتَمَعُوا فَجَعَلَ الرَّجُلُ إِذَا لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يَخْرُجَ أَرْسَلَ رَسُولًا لِيَنْظُرَ مَا هُوَ، فَجَاءَ أَبُو لَهَبٍ وَقُرَيْشٌ، فَقَالَ: أَرَأَيْتَكُمْ لَوْ أَخْبَرْتُكُمْ أَنَّ خَيْلًا بِالوَادِي تُرِيدُ أَنْ تُغِيرَ عَلَيْكُمْ، أَكُنْتُمْ مُصَدِّقِيَّ؟ قَالُوا: نَعَمْ، مَا جَرَّبْنَا عَلَيْكَ إِلَّا صِدْقًا، قَالَ: فَإِنِّي نَذِيرٌ لَكُمْ بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ، فَقَالَ أَبُو لَهَبٍ: تَبًّا لَكَ سَائِرَ اليَوْمِ، أَلِهَذَا جَمَعْتَنَا؟ فَنَزَلَتْ: تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ 

Maksudnya: Nabi SAW pun naik ke atas Bukit Safa (selepas turunnya ayat tersebut) lalu menyeru: “Wahai Bani Fihr! Wahai Bani ‘Adiy! (iaitu anak-anak Quraish) lalu mereka berkumpul sehingga bagi orang yang tidak mampu untuk keluar, mengutuskan utusan untuk melihat apa yang akan disampaikan. Datanglah Abu Lahab bersama-sama kaum Quraish yang lain. Kemudian Rasulullah SAW berkata: Apa pandangan kamu sekiranya aku mengkhabarkan kepada kamu bahawa di sebalik lembah ini ada tentera berkuda yang hendak menyerang kamu, adakah kamu mempercayaiku? Serentak mereka menjawab: Ya, kerana kami tidak pernah mendapati pada dirimu (Rasulullah SAW) melainkan yang benar (ucapan yang benar). Rasulullah SAW berkata lagi: Sesungguhnya aku ini adalah seorang pemberi peringatan tentang azab yang dahsyat di hadapan kamu. Setelah itu, Abu Lahab berkata: Celakalah kamu sepanjang hari ini! Adakah kerana ini kamu mengumpulkan kami? Kemudian, turunnya ayat al-Quran:

 

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ

al-Masad: 1

Maksudnya: “Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab dan binasalah ia bersama!.”

 

Sebelum kami mengakhiri artikel ini, suka bagi kami untuk mendatangkan firman Allah SWT di dalam al-Quran:

 

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّـهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّـهُ الشَّاكِرِينَ 

Ali Imran: 144

Maksudnya: “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah) sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).”

 

Akhirnya, Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat menangkis syubhah-syubhah yang jahat terhadap junjungan yang mulia Rasulullah SAW serta dapat memberi sedikit kefahaman kepada kita dalam memperkukuhkan tahap keimanan kita supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan sebegini. Amin.

 

Wallahua’lam