Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

Capture

Soalan: Bagaimanakah wabak seperti COVID-19 ini boleh memasuki Madinah sedangkan di sana terdapat hadith yang menyatakan bahawa Madinah merupakan tempat yang terpelihara daripada dimasuki wabak?

 

Ringkasan Jawapan: Hadith yang membicarakan berkaitan Madinah terpelihara daripada wabak ta’un adalah hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Oleh sebab itu, kita tidak boleh menolak hadith ini dengan alasan ia bertentangan dengan situasi semasa yang mana wabak COVID-19 telah memasuki Madinah. Untuk meleraikan persoalan ini, kami simpulkan bahawa wabak ta’un secara khusus sama sekali tidak akan memasuki Madinah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi. Adapun, wabak-wabak yang lain seperti COVID-19 ini boleh memasuki Madinah kerana hadith di atas menyebut secara khsuus berkaitan ta’un.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Madinah merupakan salah satu daripada tempat suci umat Islam. Ini kerana, di sana terdapat hadith sahih yang menuntut agar kita bermusafir ke Masjid al-Nabawi yang terletak di Madinah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”.[1]

Berdasarkan soalan di atas, adalah lebih baik buat kami untuk menukilkan terlebih dahulu hadith yang dimaksudkan bahawa Madinah merupakan tempat yang terpelihara daripada wabak:

  • Daripada Abu Hurairah RA berkata: Bahawa Nabi SAW bersabda:

عَلَى أَنْقَابِ المَدِينَةِ مَلاَئِكَةٌ لاَ يَدْخُلُهَا الطَّاعُونُ، وَلاَ الدَّجَّالُ

Maksudnya: “Terdapat malaikat di pintu-pintu masuk Madinah yang mana tidak akan masuk darinya ta’un (sejenis wabak) dan tidak juga Dajjal.”[2]

Melihat kepada hadith di atas, ia merupakan hadith yang sahih dan telah disepakati akan kesahihannya oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka, dari sudut statusnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Selain itu, dalam memahami makna hadith ini, Imam Ibn Hajar al-Asqalani ada menukilkan jawapan Imam al-Qurtubi yang menyatakan bahawa Madinah tidak akan dimasuki ta’un seperti yang berlaku di tempat selainnya seperti ta’un ‘Amawas dan ta’un al-Jarif.[3] Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata pada hadith ini disebutkan kelebihan Madinah dan juga kelebihan para penduduknya serta pemeliharaannya daripada ta’un dan Dajjal.[4]

Di samping itu juga, Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Ibn Qutaibah yang menyebut secara pasti bahawa ta’un tidak pernah berlaku di Madinah dan juga Makkah.[5]

Berbalik kepada persoalan di atas, COVID-19 merupakan salah satu wabak yang boleh membawa kepada kematian sama seperti ta’un ini. Namun, adakah apabila terdapat kes COVID-19 yang dilaporkan di Madinah, maka kita secara mudah ingin menolak hadith yang sahih ini. Bagi menjawab persoalan ini, suka bagi kami untuk menukilkan pandangan ulama berkaitan perbezaan di antara wabak dan ta’un ini, iaitu:

أَنَّ بَيْنَ الْوَبَاءِ وَالطَّاعُونِ عُمُومًا وَخُصُوصًا فَكُلُّ طَاعُونٍ وَبَاءٌ، وَلَيْسَ كُلُّ وَبَاءٍ طَاعُونًا

Maksudnya: “Antara wabak dan ta’un terdapat umum dan khusus iaitu setiap ta’un itu adalah wabak dan bukan semua wabak itu adalah ta’un.”[6]

Perkara ini disokong dengan sebuah riwayat yang dibawa oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya:

  • Daripada Abu al-Aswad berkata:

أَتَيْتُ المَدِينَةَ وَقَدْ وَقَعَ بِهَا مَرَضٌ وَهُمْ يَمُوتُونَ مَوْتًا ذَرِيعًا

Maksudnya: “Aku telah datang ke Madinah dan pada waktu terdapat penyakit yang menyebabkan penduduknya meninggal dengan cepat.”[7]

Imam Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa wabak (bukan ta’un) sememangnya wujud di Madinah.[8] Daripada riwayat di atas, dapatlah difahami bahawa wabak-wabak yang lain tidak terhalang untuk memasuki Madinah kerana hadith hanya mengkhususkan kepada wabak ta’un sahaja.

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang membicarakan berkaitan Madinah terpelihara daripada wabak ta’un adalah hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Oleh sebab itu, kita tidak boleh menolak hadith ini dengan alasan ia bertentangan dengan situasi semasa yang mana wabak COVID-19 telah memasuki Madinah. Untuk meleraikan persoalan ini, kami simpulkan wabak ta’un secara khusus sama sekali tidak akan memasuki Madinah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi. Adapun, wabak-wabak yang lain seperti COVID-19 ini boleh memasuki Madinah kerana hadith di atas hanya menyebut ta’un secara khusus. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memelihara kita daripada wabak COVID-19 ini. Amin.

Wallahua’lam

 

[1] Riwayat al-Bukhari no 1189

[2] Riwayat al-Bukhari no 1880 dan Muslim no 1379

[3] Ibn Hajar Al-‘Asqalani, Ahmad Bin Ali Bin Muhammad, Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari j.10 h.190

[4]Muhyiddin Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Bin Hajjaj, j.9 h.153

[5] Al-Nawawi, Al-Azkar h.153

[6] Abu Abdullah Ibn Qayyim Al-Jauziah, Muhammad Bin Abu Bakar Bin Ayub, Zad Al-Ma’ad  Fi Hadyi Khairi ‘Ibad, j 4 h.35-36

[7] Riwayat al-Bukhari no 2643

[8] Fath Al-Bar Syarh Sahih Al-Bukhari, j 10 h.181