IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 512 : FAQIH DALAM AGAMA

IH

Soalan: Apakah status hadith ini?

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

إذا أرادَ اللَّهُ بِعبدٍ خيرًا فقَّهَه في الدِّينِ، وزَهَّدَه في الدُّنيا ، وبصَّرَه عيوبَهُ

Maksudnya: “Sekiranya Allah inginkan kebaikan kepada seorang hamba, maka Allah akan memberikan kepadanya kefahaman di dalam agama, dizuhudkannya pada dunia dan ditunjukkan keaiban yang ada padanya.”

 

Ringkasan Jawapan: Hadith atau riwayat Imam al-Baihaqi di atas merupakan riwayat yang mursal. Hukum riwayat yang mursal ini adalah dhaif disebabkan sanadnya terputus iaitu pada tabaqah (peringkat) sahabat. Akan tetapi, makna riwayat di atas adalah sahih berdasarkan kepada hadith-hadith sahih yang lain.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, hadith ini ada diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya Syu’ab al-Iman, iaitu:

إِذَا أَرَادَ اللهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا جَعَلَ فِيهِ ثَلَاثَ خِلَالٍ: فِقْهَهُ فِي الدِّينِ، وَزُهْدَهُ فِي الدُّنْيَا، وَبَصَرَهُ عُيوبَهُ

Maksudnya: “Apabila Allah inginkan kebaikan kepada seorang hamba, maka Allah akan memberikan kepadanya tiga sifat ini: memberikannya kefahaman di dalam agama, dizuhudkannya pada dunia dan ditunjukkan keaiban yang ada padanya.” [1]

Adapun berkaitan hukum hadith ini pula, Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai dhaif disebabkan ia adalah hadith atau riwayat yang mursal.[2] Di samping itu, Imam al-‘Ajlouni juga menilai riwayat Imam al-Baihaqi ini adalah mursal.[3] Selain itu, Syeikh al-Albani juga menilai riwayat ini adalah mursal.[4]

Imam al-Zahabi mengatakan Muhammad bin Ka’ab al-Qurazhi ini suka memursalkan riwayatnya dengan meriwayatkan daripada seseorang yang tidak pernah dijumpai. [5] Ini kerana, maksud hadith mursal adalah adalah hadith yang pada sanadnya tidak dinyatakan (gugur) sahabat iaitu riwayat tabi’in (samada tabi’in itu besar atau kecil) terus kepada Nabi SAW.

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, riwayat al-Baihaqi ini adalah dhaif kerana ia adalah riwayat yang mursal. Ini kerana, hadith mursal adalah dhaif disebabkan sanadnya terputus dan ini juga merupakan pendapat ahli hadith seperti Imam Muslim.

Walaubagaimanapun, makna hadith di atas adalah benar kerana di sana banyak hadith lain yang menunjukkan sedemikian berkaitan kefahaman di dalam agama, zuhud dan sentiasa bermuhasabah. Antaranya:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama.”[6]

ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللَّهُ، وَازْهَدْ فِيمَا فِي أَيْدِي النَّاسِ يُحِبّوكَ

Maksudnya: “Zuhudlah kamu di dunia, nescaya akan disayangi Allah dan zuhudlah kamu di sisi manusia maka mereka akan menyayangimu.”[7]

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ، وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ

Maksudnya: “Orang yang pandai adalah orang yang sentiasa bermuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas kematian.”[8]

Melihat kepada hadith-hadith di atas, menunjukkan bahawa sememangnya terdapat anjuran daripada hadith-hadith yang lain berkaitan tiga perkara di atas. Untuk itu, kita sebagai seorang muslim perlu mencontohi dan berusaha ke arah itu kerana ia merupakan tanda bahawa Allah SWT menginginkan kebaikan kepada kita.

Penutup

Kesimpulannya, hadith atau riwayat Imam al-Baihaqi di atas adalah riwayat yang mursal. Hukum riwayat yang mursal ini adalah dhaif disebabkan sanadnya terputus iaitu pada tabaqah sahabat. Akan tetapi, makna riwayat di atas adalah sahih berdasarkan kepada hadith-hadith sahih yang lain. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat kebaikan. Amin.

Wallahua’lam

 

[1] Riwayat Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra no 10053

[2] Jalaluddin Al-Suyuti, Abdurrahman Bin Kamaluddin Abu Bakar bin Muhammad Sabiquddin, Al-Jami’ Al-Saghir Min Hadith Al-Basyir Wa Al-Nazir j. 1 h.28

[3] Al-Ajlouni, Ismail Bin Muhammad, Al-Kasyfu Al-Khafa Wa Muzil Al-Albas ‘Amma Isytahara ‘Ala Alsinah Al-Nas j.2 h.285.

[4] Al-Albani, Muhammad Nasiruddin, Dhaif Al-Jami’ Al-Saghir j. 1 h.48

[5] Al-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad Bin Uthman, Siyar ‘Alam Al-Nubala, j.5 h.66

[6] Riwayat Muslim no 1037

[7] Riwayat Ibn Majah no 4012. Imam Al-Nawawi menilai hadith ini sebagai hasan.

[8] Riwayat Al-Tirmizi no 2549. Imam Al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan.