IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 514 : UCAPAN TERBAIK KETIKA SESEORANG DITIMPA MUSIBAH

soalan fb

Soalan: Apakah terdapat petunjuk daripada Nabi SAW apabila melihat seseorang yang ditimpa musibah?

 

Ringkasan Jawapan:

Hadith di atas adalah hadith Riwayat Al-Tirmizi dan dihukum sebagai hadith hasan. Ianya boleh untuk diamalkan apabila kita melihat seseorang yang ditimpa ujian.Ucapan do aini boleh dibaca apabila seseorang itu diuji dengan maksiat atau diuji dengan kefasikan. Adapun sekiranya seseorang itu diuji dengan kesakitan atau kekurangan fizikal, maka tidak sesuai diucapkan doa ini. Selain itu, kita juga dituntut untuk sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah berikan kepada kita.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Antara tujuan Allah SWT memberikan ujian kepada hamba-hamba-Nya adalah untuk melihat siapakah di antara mereka yang sabar dan baik amalannya. Tambahan pula, setiap ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT ini, berbeza-beza melihat kepada kemampuan setiap hamba-Nya.

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: “Dialah (Allah SWT) yang telah menciptakan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” 

(Surah Al-Mulk : 2)

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

Surah Al-Baqarah: 286

Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat petunjuk daripada Nabi SAW satu doa yang diajar oleh Nabi SAW apabila melihat

مَنْ رَأَى مُبْتَلًى، فَقَالَ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلَاكَ بِهِ، وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلًا، لَمْ يُصِبْهُ ذَلِكَ البَلَاءُ

Maksudnya: Barangsiapa yang melihat seseorang yang diuji, maka katakanlah: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku daripada sesuatu yang Allah berikan sebagai ujian kepadamu dan Allah telah memberikan kemuliaan kepadaku melebihi kebanyakan orang.” Maka dia tidak akan ditimpa musibah. [Riwayat al-Tirmizi (3432)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith sahih apabila dihimpunkan dengan jalur-jalur yang lain]

Imam al-Tibi berkata ketika mensyarahkan hadith ini, ucapan (doa) ini boleh dibaca apabila seseorang itu diuji dengan maksiat (pelaku maksiat) atau diuji dengan kefasikan (pelaku dosa). Adapun sekiranya seseorang itu diuji dengan kesakitan atau kekurangan fizikal maka tidak sesuai diucapkan ucapan ini. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 9/276]

Di samping itu, Imam al-Nawawi ada menyatakan berkaitan hadith di dalam kitabnya bahawa para ulama menganjurkan agar doa ini dibaca perlahan yang hanya didengari oleh dirinya sahaja tanpa didengari oleh orang yang diuji agar agar tidak menyakiti perasaannya melainkan ujian tersebut adalah maksiat (pelaku maksiat) maka tidak menjadi kesalahan untuk kita menguatkan bacaan doa (ucapan) sekiranya tidak mendatangkan mudharat kepadanya. [Lihat: al-Azkar, 303]

Antara hikmah dibenarkan untuk menguatkan ucapan atau doa ini bagi pelaku maksiat adalah agar pelaku maksiat tersebut terkesan dengan doa itu apabila mendengarnya, lalu dengan sebab itu dia akan meninggalkan perbuatan tersebut.

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah hasan dan boleh untuk diamalkan apabila kita melihat seseorang yang ditimpa ujian. Di samping itu juga, kita juga dituntut untuk sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah berikan kepada kita. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. Amin.

Wallahua’lam