IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 523: STATUS HADIS “GANJARAN KEPADA ISTERI YANG MENYEDIAKAN MAKANAN BUAT SUAMI”

STATUS_HADIS.jpg

Soalan

Assalamualaikum, boleh tolong semakkan hadith ini sama ada sahih atau palsu?

Rasulullah SAW bersabda: "Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya adalah lebih baik daripada isteri itu mengerjakan haji dan umrah". HR Anas bin Malik Jazakallah.

Ringkasan Jawapan

Hadis yang menyebutkan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah tidak dijumpai teks asalnya dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Namun, terdapat banyak hadis lain yang menceritakan keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik.

Huraian Jawapan

Terdapat banyak keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”.

Riwayat Ibn Hibban (4163)

Bahkan, isteri yang solehah dapat menggembirakan suaminya kerana jika si suami melihatnya maka akan menyenangkan hatinya. Hal ini sebagaimana yang disebutkan di dalam suatu hadis, Nabi SAW bersabda:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”

Riwayat Abu Daud (1664)

Begitu juga Nabi SAW menyebut berkenaan empat perkara yang menjadi kebahagiaan seseorang lelaki, iaitu:

اَلْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيُّ

Maksudnya“Wanita (isteri) yang solehah, tempat tinggal yang luas/lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa.”

Riwayat Ibn Hibban (4031)

Selain itu, Ibn Umar meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا

Maksudnya: Seorang isteri adalah pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya dan akan dipertanggungjawabkan atas urusan rumah tangganya.

Riwayat al-Bukhari (893)

Namun, hadis yang menyebutkan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah tidak dijumpai teks asalnya dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar.

Kesimpulan

Terdapat banyak hadis yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri tetapi tidak dijumpai teks hadis yang menceritakan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah sebagaimana yang tersebar dalam kalangan masyarakat. Wallahua’lam.