Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-593 : HUKUM KAHWIN CUKUP RUKUN SEBELUM PENDAFTARAN

HUKUM KAHWIN CUKUP RUKUN SEBELUM BERDAFTAR 1

 

SOALAN

Assalamualaikum tuan, saya ada soalan berkenaan nikah. Untuk makluman saya bermastautin di W.Persekutuan kuala Lumpur, dan bakal pasangan berada di perak. Pasangan saya ingin berwalikan bapa beliau. Alhamdulillah bapanya sanggup untuk menjadi wali dan menikahkan kami berdua. Kami dijadualkan bernikah hujung bulan ini, insya Allah. Persoalannya sekarang, bapanya sendiri nak mengahwini kami berdua di rumah beliau bersaksikan anak lelaki dan kaum keluarga, buat masa sekarang beliau taknak jejakkan kaki ke pejabat agama. Pada bulan depan nanti ayah(wali) dan saya akan ke pejabat agama untuk mendaftarkan pernikahan tersebut. Boleh tuan jelaskan apa hukum perkahwinan sebegini dan adakan terdapat kesalahan di bawah peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002? Sekiranya salah, apakah hukumannya? Terima kasih tuan.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Perbuatan ini dianggap salah di sisi Undang-Undang Keluarga Islam dan dikira berdosa kerana melanggar arahan pemerintah yang berperanan menjaga maslahat institusi keluarga Islam bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku dengan mewajibkan pendaftaran nikah. Pendaftaran pernikahan adalah penting bagi memastikan sesuatu pernikahan itu sah mengikut rukun-rukun dan syarat-syarat seperti yang yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Setiap pasangan yang ingin berkahwin perlulah mendapatkan kebenaran daripada pihak Berkuasa Agama Negeri bagi menjalankan upacara akad nikah. Bagi yang bermastautin di Wilayah Persekutuan, kebenaran ini hanya boleh diberikan oleh Pendaftar atau pihak Hakim Syarie yang dilantik. Kegagalan mematuhi peraturan ini adalah menjadi kesalahan di bawah peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 seksyen 40 (2):

 “Mana-mana orang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani suatu bentuk akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Islam amat menggalakkan perkahwinan kerana ia merupakan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Namun, urusan perkahwinan ini melibatkan syarat-syarat dan rukun yang perlu dipenuhi untuk memastikan pernikahan itu sah di sisi syarak. Bukan itu sahaja, malah setiap individu yang ingin berkahwin perlu menjaga adab-adab tatacara yang digalakkan oleh Islam sebelum masuk ke gerbang perkahwinan, seperti adab mencari pasangan berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Perkara ini semua memberi banyak faedah dan kebaikan kepada pasangan suami isteri dalam melayari bahtera rumah tangga.

 

Selain itu juga, matlamat perkahwinan ini untuk menjadikan hidup seseorang itu dilengkapkan dengan kehadiran pasangan supaya saling berkerjasama  dalam melalui liku-liku hidup yang penuh dengan cabaran. Justeru itu, perkahwinan sepatutnya berperanan sebagai nikmat dalam kehidupan di dunia hingga ke akhirat, bukan sebagai pencetus masalah dan kemudaratan.

 

Dalam perkahwinan terdapat syarat dan rukun yang wajib dipatuhi supaya perkahwinan dapat dilaksanakan selari dengan hukum syarak. Terdapat lima rukun di dalam perkahwinan orang-orang Islam. Rukun ini wajib dipatuhi oleh setiap individu yang hendak berkahwin iaitu “pengantin lelaki, pengantin perempuan, lafaz (Ijab dan Qabul), wali dan dua orang saksi”.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj ila Makrifah Ma’ani Alfazi al-Minhaj, 3/188)

 

Selain daripada memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan syarak, pasangan yang berkahwin di Malaysia perlu mengikut prosedur pendaftaran perkahwinan yang telah ditetapkan oleh undang-undang di negeri masing-masing. Pasangan yang bakal berkahwin bukan sahaja perlu memenuhi syarat  sah dan rukun nikah, bahkan perlu memenuhi keperluan pendaftaran perkahwinan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Perlu diketahui bahawa ketetapan pendaftaran perkahwinan bertujuan menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat dan keluarga Islam agar tidak ada mana-mana pihak yang teraniaya. Oleh itu, selagimana arahan pemerintah yang tidak bertentangan dengan hukum syarak serta berkait rapat dengan kepentingan dan maslahat umat maka setiap umat Islam wajib mematuhinya. Imam al-Syarwani menjelaskan hal ini di dalam karyanya:

فَيَجِبُ عَلَيْهِمْ طَاعَتُهُ فِيمَا لَيْسَ بِحَرَامٍ وَلَا مَكْرُوهٍ وَمِنْ مَسْنُونٍ وَكَذَا مُبَاحٌ إنْ كَانَ فِيهِ مَصْلَحَة عَامَّةٌ وَالْوَاجِبُ يَتَأَكَّدُ وُجُوبُهُ بِأَمْرِهِ بِهِ

Maksudnya: “Wajib mentaati pemerintah dalam perkara yang tidak diharamkan dan dimakruhkan Syarak. Seperti menyuruh pada perkara yang disunatkan serta perkara yang diharuskan. Apatah lagi sekiranya arahan tersebut melibatkan kebaikan serta kepentingan umum, maka kewajipan menturutinya lebih ditekankan”.

(Rujuk: Hasyiah Syarwani ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/69)

 

Oleh itu, setiap warganegara Malaysia perlu mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta memahami hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Berdasarkan perkara ini dalam kaedah ada menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah terhadap rakyatnya mestilah tertakluk kepada maslahah”.

(Rujuk: al-Asybaah wa al-Nazhair li al-Suyuthi, hlm 121)  

 

Proses dokumentasi bagi sesuatu perkahwinan merupakan satu keperluan yang mesti dititikberatkan. Sekiranya sesuatu perkahwinan itu tidak berdaftar menyebabkan segala tuntutan di Mahkamah Syariah tidak dapat dilaksanakan seperti tuntutan nafkah, perceraian ataupun kematian.  Maka kesan daripada tidak mendaftarkan perkahwinan juga menjadi lebih rumit sekiranya berlaku kematian terhadap suami. Jika pihak isteri tidak dapat membuktikan kesahan perkahwinan itu, maka isteri dan anaknya tidak dapat mewarisi harta pusaka peninggalan suami atau bapanya kerana pihak Mahkamah Syariah tidak akan melayan sebarang tuntutan yang dibuat oleh mereka berkaitan dengan tuntutan harta pusaka.

(Rujuk: Raihanah Abdullah, Prosedur Perkahwinan, h.15)

 

Proses rekod dan dokumentasi ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang menjelaskan bahawa peranan maqasid syariah itu menghindari sebarang kerosakan di dalam kehidupan manusia, kaedah yang dimaksudkan ialah:

دَرْءُ المَفَاسِدِ أَولَى مِنْ جَلْبِ المَصَالِح

Maksudnya: “Menolak kerosakan itu lebih utama berbanding mendatangkan maslahah”.

(Rujuk: al-Asybaah wa al-Nazhair li al-Suyuthi, hlm 87)

 

Setiap pasangan yang ingin berkahwin perlulah mendapatkan kebenaran daripada pihak Berkuasa Agama Negeri bagi menjalankan upacara akad nikah. Bagi yang bermastautin di Wilayah Persekutuan, kebenaran ini hanya boleh diberikan oleh Pendaftar atau pihak Hakim Syarie yang dilantik. Kegagalan mematuhi peraturan ini adalah menjadi kesalahan di bawah peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 seksyen 40 (2):

 “Mana-mana orang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani suatu bentuk akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, di dalam masyarakat yang sudah berkembang dan maju serta cara hidup yang semakin kompleks maka adalah wajar pendaftaran perkahwinan sebagai bukti terpenting yang boleh diakui apabila berlaku sebarang kemungkinan atau permasalahan yang timbul hasil daripada perkahwinan itu. Justeru, kami nasihatkan agar pihak saudara merujuk dengan Jabatan Agama Islam bahagian kekeluargaan untuk mendapatkan nasihat dan pandangan dalam perkara ini. Semoga dipermudahkan urusan saudara dan keluarga dalam melangsungkan perkahwinan.

Waallahu’alam.