IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-535 : KETIKA PERANG BADAR, MALAIKAT MEMAKAI SERBAN HITAM DAN KETIKA PERANG UHUD, MALAIKAT MEMAKAI SERBAN MERAH

IH535 min

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan. Saya pernah dengar satu ceramah. Dalam ceramah tu sebut, masa peperangan Badar dan Uhud, para sahabat boleh kenal malaikat. Ustaz tu kata, ketika perang Badar, malaikat pakai serban hitam, ketika perang Uhud, malaikat pakai serban merah. Adakah ada cerita yang sebegini ustaz? Saya ni jahil dan perlukan pencerahan ustaz. Terima kasih ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Al-Tabarani (m.360 H) di dalam al-Mu’jam al-Kabir. hadis tersebut adalah hadis munkar. Ini kerana terdapat perawi yang bernama Abdul Qudus bin Habib. Beliau adalah perawi yang ditinggalkan periwayatannya (matruk). Tambahan lagi, hadis tersebut bercanggah dengan hadis-hadis sahih yang menyatakan bahawa malaikat hanya turun pada peperangan Badar. Hadis yang bertaraf munkar tidak boleh dijadikan hujah dalam urusan akidah.

Huraian jawapan :

Matan asal hadis tersebut adalah berkenaan tafsiran perkataan مُسَوِّمِينَ yang dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat 125. Ibn Abbas meriwayatkan :

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي قَوْلِهِ {مُسَوِّمِينَ} قَالَ: مُعَلَّمِينَ وَكَانَتْ سِيمَاءُ الْمَلَائِكَةِ يَوْمَ بَدْرٍ ‌عمائمَ ‌سُودٍ وَيَوْمَ أَحَدٍ عمائمَ حُمْرٍ

Maksudnya : “Rasulullah SAW bersabda berkenaan firman Allah مُسَوِّمِينَ. Baginda bersabda : Mereka bertanda. Tanda malaikat pada hari peperangan Badar adalah serban berwarna hitam dan pada peperangan Uhud adalah serban berwarna merah.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani (m. 360 H) di dalam al-Mu’jam al-Kabir[1]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ دَاوُدَ الْمَكِّيُّ ثنا حَمْزَةُ بْنُ عُبَيْدِ اللهِ الثَّقَفِيُّ ثنا عَبْدُ الْقُدُّوسِ بْنُ حَبِيبٍ عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي قَوْلِهِ {مُسَوِّمِينَ}

“Ahmad Bin Daud al-Makki telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Hamzah bin Ubaidullah al-Thaqafi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Abdul Qudus bin Habib telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada ‘Ata bin Abi Rabah daripada Ibn Abbas, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda berkenaan firman Allah مُسَوِّمِينَ…”

Dalam sanad ini terdapat seorang perawi yang bernama Abdul Qudus bin Habib. Kredibiliti beliau beliau dalam periwayatan hadis banyak dikritik oleh para ulama. Imam al-Bukhari (m.256 H) menjelaskan bahawa beliau banyak meriwayatkan hadis-hadis yang bertukar-tukar sanad dan matan (maqlub). Beliau menyebut :

ويَرْوي عَبدُ القُدّوسِ عَنْ نافِعٍ ومُجاهِدٍ وَالشَّعبيّ ومَكحولٍ وعَطاءٍ أحاديثَ مَقْلوبةً

“Abdul Qudus meriwayatkan daripada Nafi’, Mujahid, al-Sya’bi, Makhil dan ‘Ata hadis-hadis yang bertukar sanad dan matan”[2]

Bahkan, Imam al-Bukhari menyatakan hadis-hadis yang banyak kesalahan (munkar)[3]. Ianya disebabkan beliau adalah seorang perawi yang lemah. Tambahan lagi, Imam al-Nasaie menyatakan Abdul Qudus adalah perawi yang ditinggalkan periwayatannya (matruk)[4].

Abu Hatim al-Razi (m.277 H) juga adalah ulama hadis yang mengkritik kredibiliti beliau. Beliau menyatakan :

متروك الحديث كان لا يصدق

“Beliau adalah perawi yang ditinggalkan periwayatan hadisnya dan seorang yang tidak dipercayai”[5]

Perkara yang sama dikemukakan oleh Al-Fallas, Amru bin Ali (m.249 H). Beliau menyatakan bahawa sudah menjadi ijmak para ulama hadis agar meninggalkan periwayatan beliau.[6] Ia juga dinyatakan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (m.806 H)di dalam kitab takhrij beliau ke atas kitab Ihya Ulum al-Din.[7]

Ibn ‘Adiy  (m.365 H) juga turut menjelaskan kedudukan Abdul Qudus bin Habib di sisi para ulama hadis. Beliau berkata :

وعبد القدوس له أحاديث غير محفوظة وَهو منكر الحديث إسنادا ومتنا

“Abdul Qudus mempunyai hadis-hadis yang tidak selamat dari kecacatan. Dia banyak meriwayatan hadis yang mempunyai kesalahan sama ada sanad atau matan.”[8]

Al-Hafiz al-Zahabi (m.748 H) menukilkan pandangan Abdullah bin al-Mubarak (m. 181 H) berkenaan Abdul Qudus. Beliau menyebut :

ما رأيت ابن المبارك يفصح بقوله كذاب إلا لعبد القدوس

“Saya tidak pernah melihat Ibn al-Mubarak begitu lantang menyebut seseorang sebagai pembohong melainkan pada Abdul Qudus.”[9]

Bahkan sebahagian kandungan hadis yang diriwayatkan oleh Abdul Qudus ini bercanggah dengan hadis yang sahih yang menyebutkan bahawa Malaikat hanya turun ketika peperangan Badar. Rifa’ah bin Rafi’ al-Zuraqi meriwayatkan bahawa Jibril AS datang bertemu Nabi SAW, dia berkata :

‌مَا ‌تَعُدُّونَ ‌أَهْلَ ‌بَدْرٍ ‌فِيكُمْ قَالَ: مِنْ أَفْضَلِ المُسْلِمِينَ أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا قَالَ: وَكَذَلِكَ مَنْ شَهِدَ بَدْرًا مِنَ المَلَائِكَةِ

Apa yang kamu gelarkan atau anggap orang yang menyertai peperangan Badar daripada kalangan kamu? Baginda menjawab : Dia adalah sebaik-baik orang yang beriman. (Perawi hadis ini menyebut) atau kalimah yang seerti dengannya. Baginda menjawab lagi : Begitu juga malaikat yang menyertai peperangan Badar.”[10]

Imam Abu Jaafar al-Tabari (m.310 H) juga menjelaskan bahawa ayat 125 Surah al-Baqarah adalah merujuk kepada peperangan Badar[11].

Justeru, hadis tersebut adalah hadis munkar. Ini kerana terdapat perawi yang bernama Abdul Qudus bin Habib. Beliau adalah perawi yang ditinggalkan periwayatannya (matruk). Tambahan lagi, hadis tersebut bercanggah dengan hadis-hadis sahih yang menyatakan bahawa malaikat hanya turun pada peperangan Badar. Hadis yang bertaraf munkar tidak boleh dijadikan hujah dalam urusan akidah.

NOTA HUJUNG :

[1] Abu al-Qasim al-Tabarani, Sulaiman Bin Ahmad, al-Mu’jam al-Kabir (t.t), Maktabah Ibn al-Taimiyah, Riyadh, j.11 h.193 no 11469

[2] Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, al-Tarikh al-Kabir (2019), al-Nasyir al-Mutamayyiz, Riyadh, j.7 h.139.

[3] Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, al-Dhu’afa al-Saghir (2005), Maktabah Ibn Abbas, h.95. Beliau menyebut : في حديثه مناكير

[4] Abu Abdurrahman al-Nasaie, Ahmad bin Syu’aib, al-Dhu’afa wa al-Matrukin (1996), Dar al-Wa’i, Aleppo, h.69

[5] Ibn Abi Hatim al-Razi, Abdurrahman bin Muhammad, al-Jarh wa al-Ta’dil (1952), Dairah al-Maarif al-Uthmaniyah, India, j.6 h.55.

[6] Ibid. Beliau menyatakan : اجمع اهل العلم على ترك حديثه

[7] Abu al-Fadhl al-‘Iraqi, Abdurrahim bin al-Husain, al-Mughni ‘an Haml al-Asfar fi al-Asfar (2005), Dar Ibn Hazm, Beirut, h.811.

[8] Abu Ahmad bin ‘Adiy, Abdullah bin ‘Adiy, al-Kamil fi Dhu’afa al-Rijal (1997), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, j.7 h.46.

[9] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal (1963), Dar al-Ma’rifah, Beirut, j.2 h.643.

[10] Riwayat al-Bukhari no 3992. Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad bin Ismal, Sahih al-Bukhari (2001), Dar Tuq al-Najah, Beirut, j.5 h.80.

[11] Abu Ja’far al-Tabari, Muhammad bin Jarir, Jami’ al-Bayan fi Ta’wil Ayy al-Quran (2001), Dar Hajar, Kaherah, j.6 h.20. Beliau menyebut : الْقَوْلُ فِي تَأْوِيلِ قَوْلِهِ تَعَالَى: {إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ أَلَنْ يَكْفِيَكُمْ أَنْ يُمِدَّكُمْ رَبُّكُمْ بِثَلَاثَةِ آلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُنْزَلِينَ، بَلَى إِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا وَيَأْتُوكُمْ مِنْ فَوْرِهِمْ هَذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُمْ بِخَمْسَةِ آلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُسَوِّمِينَ} [آل عمران: 125] يَعْنِي تَعَالَى ذِكْرُهُ: {وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ} [آل عمران: 123] إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ بِكَ مِنْ أَصْحَابِكَ: {أَلَنْ يَكْفِيَكُمْ أَنْ يُمِدَّكُمْ رَبُّكُمْ بِثَلَاثَةِ آلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُنْزَلِينَ} [آل عمران: 124] وَذَلِكَ يَوْمَ بَدْرٍ