IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-107: HUKUM MEMBERI MAKAN KEPADA NON-MUSLIM PADA SIANG HARI DI BULAN RAMADHAN

 

Soalan:

Assalamualaikum. Saya seorang warden di sekolah. Setiap pagi daripada membiarkan nasi yang berlebihan sewaktu sahur pada bulan Ramadhan dibuang, saya akan membawanya ke sekolah rakan yang bukan Islam dan guru wanita Islam yang tidak dapat berpuasa supaya mereka dapat menjamu selera daripada makanan itu dibuang. Tetapi adakah saya dikira bersubahat kerana memberi makan kepada orang bukan islam, dimana seakan-akan saya menggalakkan mereka supaya tidak berpuasa?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Memberi makan kepada wanita yang mempunyai uzur syar’ie di siang hari pada bulan Ramadhan adalah harus tanpa khilaf, kerana mereka termasuk golongan yang tidak diwajibkan berpuasa, contohnya wanita haid dan wanita yang mengandung dan ditakuti puasa akan menjejaskan kandungan.

Adapun memberi makan kepada non-Muslim di siang hari pada bulan Ramadhan, maka berlaku khilaf dalam kalangan ulama’ kepada dua pandangan:

Pandangan yang Mengharamkan

Pandangan ini dipegang oleh para ulama’ Syafi’iyyah iaitu Imam Syihabuddin Ar-Ramli, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Syeikh Abu Bakar ad-Dimyathi. (Nihayatul Muhtaj, 5/273; Tuhfatul Muhtaj, 3/427-428; I’anatu At-Thalibin, 3/30; Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh Manhaj at-Thullab, 10/310)

Antara hujah yang mereka gunakan ialah golongan non-Muslim juga tertakluk kepada hukum syarak, dan apabila kita memberi mereka makan di siang hari pada bulan Ramadhan, maka kita dianggap bersubahat dalam perkara maksiat. Namun begitu mereka menegaskan bahawa jika ada non-Muslim yang makan, maka kita tidak boleh mencegah dan melarang mereka.

Pandangan yang Mengharuskan 

1. Syeikh Sulaiman al-Majid, qadhi di Riyadh, Arab Saudi (Rujuk fatwa penuh beliau pada pautan berikut: https://bit.ly/2IDGbh6 ). Menurut beliau, non-Muslim tertakluk kepada taklifan syarak dalam erti kata mereka akan dihukum dan dipertanggungjawabkan di akhirat. Adapun dalam konteks kehidupan di dunia, mereka tidak diminta untuk melaksanakan tuntutan syarak. Bahkan kekufuran mereka menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum-hakam syariat. 

2. Dr. Khalid al-Mosleh (Rujuk fatwa beliau pada pautan berikut: https://bit.ly/2ki8gfb). Menurut beliau, adalah harus untuk memberi makan kepada golongan yang tidak boleh / tidak diwajibkan berpuasa seperti wanita haid, musafir dan non-Muslim.

 

Adakah Non-Muslim Dituntut untuk Berpuasa?

Isu ini banyak ditemui dalam kitab-kitab Usul Fiqh, Fiqh dan Ilmu Kalam, berkenaan persoalan apakah orang bukan Islam juga tertakluk kepada hukum syarak atau tidak? Jumhur ulama’ berpendapat bahawa orang bukan Islam juga tertakluk dengan hukum syara’. (Rujuk Imam Az-Zarkasyi, Al-Bahru al-Muhith, 2/128)

Namun menurut Syaikh Zakariyya al-Ansari, tuntutan itu bermaksud mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak akan keengganan mereka untuk memeluk Islam dan beramal dengan tuntutan syari’at, dan ia tidak bermaksud mereka diminta untuk beramal dengan tuntutan syari’at kerana jika mereka beramal sekalipun, amalan mereka tidak sah dan tidak diterima kerana salah satu syarat sah ibadah ialah Islam. (Asna al-Mathalib fi Syarh Raudh at-Thalib, 1/121).

Dalam isu ini juga, menarik untuk diperhatikan satu hadith daripada Ibn ‘Umar R. Anhuma yang berbunyi:

رَأَى عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ حُلَّةً سِيَرَاءَ عِنْدَ باب الْمَسْجِدِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوِ اشْتَرَيْتَهَا فَلَبِسْتَهَا يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَلِلْوَفْدِ قَالَ ‏"‏ إِنَّمَا يَلْبَسُهَا مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ فِي الآخِرَةِ ‏"‏‏.‏ ثُمَّ جَاءَتْ حُلَلٌ فَأَعْطَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عُمَرَ مِنْهَا حُلَّةً، وَقَالَ أَكَسَوْتَنِيهَا وَقُلْتَ فِي حُلَّةِ عُطَارِدٍ مَا قُلْتَ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ إِنِّي لَمْ أَكْسُكَهَا لِتَلْبَسَهَا ‏"‏‏.‏ فَكَسَا عُمَرُ أَخًا لَهُ بِمَكَّةَ مُشْرِكًا‏.‏

Maksudnya: ‘Umar bin Al-Khattab telah melihat jubah sutera dijual disisi pintu masjid. Maka dia berkata “Wahai Rasulullah, mengapa tidak engkau beli jubah tersebut dan memakainya pada hari Jumaat dan sewaktu menerima delegasi?” Jawab Baginda “Pakaian ini hanya dipakai oleh orang yang tiada bahagian di akhirat”. Kemudian tibalah beberapa pakaian sutera, dan Baginda memberikan salah satunya kepada Umar. Umar berkata “Mengapa kamu memberinya kepadaku, sedangkan kamu berkata yang (tidak bagus) berkenaan sutera ‘Utarid? Baginda menjawab “Aku tidak memberinya untuk kamu pakai”. Maka ‘Umar pun memberi sutera tersebut kepada saudara lelakinya di Mekah yang masih seorang Musyrik.

(Sahih Bukhari: 2612)

Telah diketahui bahawa seorang lelaki Muslim diharamkan daripada memakai sutera, dan jika berpandukan kaedah ‘orang bukan Islam tertakluk kepada hukum syarak’,  lelaki bukan Islam juga turut dilarang daripada memakai sutera. Namun begitu, hadith diatas jelas menunjukkan keharusan non-Muslim memakai sutera.

Ini menjadi hujjah bahawa non-Muslim secara hakikinya sememangnya tertakluk (mukhatab) dibawah hukum syarak, namun hukum itu tidak terpakai di dunia dan mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Adapun firman Allah SWT yang berbunyi:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: ...dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ayat ini tidak boleh digunakan dalam kes ini, kerana orang bukan Islam dan wanita Muslim yang mempunyai uzur syar’ie tidak ditaklifkan untuk berpuasa. Maka memberi mereka makan meskipun pada siang hari di bulan Ramadhan tidaklah dianggap bersubahat dalam melakukan maksiat, bahkan ia boleh dianggap sebagai satu kerja kebajikan yang berdasarkan konsep belas ihsan, ukhuwwah dan sifat kemanusiaan.

Islam juga melarang keras pembaziran harta, antaranya melalui hadith Baginda Nabi s.a.w:

إِنَّ اللَّهَ كَرِهَ لَكُمْ ثَلاَثًا قِيلَ وَقَالَ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT membenci ke atas kamu tiga perkata: bercakap kosong (gosip), pembaziran harta benda dan terlalu banyak bertanya.

(Sahih Muslim: 4259)

Kesimpulan

Kesimpulannya,  kami berpandangan hukum memberi makan kepada non-Muslim dan wanita yang mempunyai uzur syar’ie di siang hari pada bulan Ramadhan adalah HARUS atas dasar tolong menolong dalam perkara kebajikan. Namun kami turut meletakkan beberapa syarat dan garis panduan:

  • Tidak makan di tempat terbuka
  • Hendaklah mengutamakan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti sanak saudara yang bukan Islam, jiran-jiran yang miskin dan murid-murid di sekolah yang daif

Alangkah eloknya juga jika diundang juga mereka untuk sama-sama berbuka puasa, seperti yang telah kami jelaskan akan keharusannya dalam artikel kami bertajuk Hukum Menjemput Non Muslim Berbuka Puasa. (Boleh dilayari pada pautan https://bit.ly/2sqE5WT )

Selain itu, perbuatan ini juga merupakan salah satu bentuk kaedah dakwah kepada saudara kita yang bukan Islam dalam menzahirkan sikap penyayang dan prihatin yang amat dituntut dalam Islam. Oleh itu, inisiatif saudara yang bertanya amatlah terpuji dan wajar dijadikan contoh oleh kita semua. Perbuatan ini juga tidak boleh dianggap sebagai mencemarkan kesucian bulan Ramadhan kerana perbuatan itu sendiri merupakan manifestasi kepada sifat rahmah dan taqwa yang begitu ditekankan dalam Islam dan menjadi objektif yang perlu dicapai dalam bulan Ramadhan ini. Akhir sekali, pembaziran harta dalam apa jua bentuk juga wajib dielakkan.

Wallahu a’lam.


Cetak   Emel