IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 152: KENAPAKAH PAHALA AMALAN DIGANDAKAN PADA BULAN RAMADHAN?

DIGANDAKAN RAMADHAN.JPG

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ SS Mufti. Saya ingin bertanya satu soalan, kenapakah di bulan Ramadhan pahala amalan kita digandakan lebih banyak, tidak sama seperti di bulan-bulan yang lain? Mohon penjelasan SS Mufti. Terima kasih.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga Baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Sesungguhnya Allah SWT memberikan pahala kepada hamba-hambaNya yang melakukan amal soleh mengikut kehendakNya tanpa terikat kepada apa-apa peraturan. Allah SWT berfirman:

وَلِلَّـهِ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَإِلَيْهِ يُرْجَعُ الْأَمْرُ كُلُّهُ فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

(Surah Hud: 123)

Imam al-Tabari dalam menafsirkan ayat menyebutkan bahawa hanya kepada Allah SWT jualah setiap amalan yang dilakukan oleh setiap mereka yang melakukan amalan. Dia-lah yang akan memberikan ganjaran kesemua manusia berdasarkan amalan-amalan mereka mengikut kehendakNya. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 1:235)

Allah SWT melipatgandakan pahala berdasarkan beberapa sebab antaranya disebabkan oleh kelebihan dan kemuliaan yang diberikanNya kepada beberapa perkara. Kemuliaan tersebut ialah seperti:

 صَلاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاةٍ فِيمَا سِوَاهُ؛ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: Solat di masjid aku ini (Masjid al-Nabawi) adalah lebih baik daripada seribu solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram.

Riwayat al-Bukhari (1133)

 فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً

 Maksudnya: Sekiranya telah tiba bulan Ramadhan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji. Dalam riwayat Muslim: seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah SAW).

Riwayat al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa kelebihan dan ganjaran yang besar yang ditawarkan oleh Allah SWT di bulan Ramadhan ialah kerana ia bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah memilih bulan Ramadhan untuk beberapa peristiwa besar seperti peristiwa penurunan al-Quran (nuzul al-Quran), pembukaan kota Mekah (Fath Makkah), pembukaan kota Andalusia dan lain-lain. Disamping itu juga, Alllah SWT telah mengkhususkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan di dalamnya iaitu malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

(Surah al-Qadr: 3)

Oleh sebab itu, Allah SWT telah menggandakan amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih dalam agama dan menganugerahkan kita taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah dengan ikhlas kepadaNya terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Amin.

WaAllahu a’lam.