Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ir156

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Apakah hukum membuat countdown bulan Ramadhan? Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan bulan yang dinanti-nantikan dan dirindui oleh golongan yang beriman. Allah SWT berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ 

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

(Surah al-Baqarah: 185)

Bagi menjawab soalan di atas, pertamanya, countdown bermaksud mengira detik yang berbaki sehingga tibanya sesuatu waktu yang dinantikan. Sesungguhnya perbuatan menunggu dan menanti-nantikan tibanya waktu yang dikhususkan untuk beribadah merupakan satu perkara yang mulia. Hal ini sama seperti menunggu waktu-waktu solat selepas selesai menunaikannya. Rasulullah SAW bersabda:

ألا أدلُّكُم على ما يُكَفِّرُ اللَّهُ بِهِ الخَطايا، ويزيدُ بِهِ في الحسَناتِ؟ قالوا: بلى يا رسولَ اللَّهِ قالَ: إِسباغُ الوضوءِ عِندَ المَكارِهِ، وَكَثرةُ الخُطى إلى المساجِدِ، وانتظارُ الصَّلاةِ بعدَ الصَّلاةِ

Maksudnya: Mahukah kalian aku tunjukkan kepada perkara yang dengannya Allah SWT akan mengampunkan dosa dan menambahkan pahala? Lalu para Sahabat RAnhum menjawab, “Sudah tentu, wahai Rasulullah SAW!”. Rasulullah SAW bersabda, “Menyempurnakan basuhan wuduk pada kesusahan (kesejukan, sakit dsb), banyaknya langkahan menuju ke masjid (untuk solat berjemaah) dan menunggu solat yang seterusnya selepas menunaikan solat.”

Hadith riwayat Ibn Majah: (776)

Begitu juga, sememangnya terdapat galakan untuk kita menunggu dan mengharapkan untuk disampaikan kepada bulan Ramadhan. Ini dapat difahami apabila kita dianjurkan untuk berdoa bermula dari bulan Rejab dan Sya’ban lagi supaya sampai kepada bulan Ramadhan. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik RA, bahawa beliau berkata: “Rasulullah SAW berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab;

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Maksudnya: Ya Allah, berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.

Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (2346)

Selain itu, kita juga dianjurkan berdoa supaya dapat sampai kepada bulan Ramadhan dalam keadaan yang selamat sejahtera dan bersedia untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dengan bersungguh-sungguh. Antara doa yang dianjurkan untuk dibaca ialah:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).

Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)

Disamping itu juga, Imam Ibn Rejab al-Hanbali di dalam kitabnya, Lataif al-Ma’arif menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadhl: “Sesungguhnya mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadhan dan enam bulan lagi supaya Allah SWT menerima daripada mereka amalan mereka”. (Rujuk Lataif al-Ma’arif: 204)

Ada dalam kalangan mereka golongan salaf yang juga melantunkan syair kerana kegembiraan menantikan ketibaan ‘tetamu yang membawa berkat’ iaitu bulan Ramadhan, dengan berkata;

جَاءَ شَهرُ الصِّيَامِ بِالبَرَكَاتِ * فَأَكْرمْ بِهِ من زَائِرٍ هُوَ آتِ

Maksudnya:

Maka bulan puasa yang penuh berkat telahpun datang

 Alangkah mulianya tetamu ini yang bertandang.

(Rujuk Lataif al-Ma’arif Fi Ma Li Mawasim al-‘Am Min al-Wazaif: 204)

Ini adalah salah satu cara golongan terdahulu memperingatkan orang ramai untuk mempersiapkan diri dengan ketibaan bulan Ramadhan. Disamping itu juga, kami telah mengulas panjang lebar berkaitan bagaimana sepatutnya kita melakukan persiapan untuk tiba bulan Ramadhan, sila rujuk Bayan Linnas siri ke-62: Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum membuat kiraan detik (countdown) bagi bulan Ramadhan adalah harus. Bahkan, ia sangat digalakkan jika sekiranya perkara tersebut menjadikan orang ramai bersemangat dalam melakukan kebaikan dan amal ibadat, maka orang yang membuat perkara ini akan turut mendapat pahala, berdasarkan satu hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدالُّ على الخيرِ كفاعلِه

Maksudnya: Orang yang menganjurkan kebaikan mendapat pahala yang sama seperti orang yang melakukannya.

Hadith riwayat al-Tirmidzi: 2670

Terdapat pelbagai cara untuk memperingatkan orang ramai untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Ramadhan, salah satunya adalah cara mengira detik (countdown) seperti ini. Ia satu usaha dakwah yang sangat baik dan memberi kesan yang besar terhadap masyarakat. Walaubagaimanapun, janganlah semata-mata menunggu tibanya bulan Ramadhan, sebaliknya hendaklah kita membuat persiapan dan memperbanyakkan amalan di bulan-bulan yang lain juga. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.