IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-202: STATUS PUASA ORANG YANG KENTUT KETIKA MANDI DI SIANG HARI PADA BULAN RAMADAN

WhatsApp_Image_2022-04-29_at_9.49.11_AM.jpeg

 

Soalan

Salam, saya pernah kentut ketika mandi shower di siang hari pada bulan Ramadan tahun lalu dan saya merasakan ada air masuk melalui dubur. Kemusykilan saya adalah batal atau tidak puasa saya masa itu? Sebab saya dengar kawan-kawan cakap kentut ketika mandi di siang hari bulan Ramadan batal puasa sebab air tersedut ke dalam rongga dubur. Mohon penjelasan terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Perbuatan kentut ketika mandi di siang hari pada bulan Ramadan dengan menggunakan shower atau gayung tidak membatalkan puasa walaupun ketika kentut itu dia terasa air masuk ke dalam rongga duburnya. Ini kerana perbuatan tersebut tidak dikategorikan perbuatan yang sengaja mendedahkan air masuk ke dalam rongga badan seperti berendam.

Huraian Jawapan

Ramadan merupakan suatu bulan istimewa yang Allah SWT jadikan bagi hamba-hamba-Nya untuk melakukan ibadah. Terdapat beberapa ibadah yang jika dilakukan dalam bulan Ramadan maka Allah SWT akan memberikan ganjaran yang berlipat ganda berbanding bulan-bulan lain.

Maka disebabkan bulan Ramadan hanya  sebulan sahaja setiap tahun terkadang sebahagian umat Islam lupa terhadap perkara-perkara yang membatalkan puasa sehingga menyebabkan seseorang itu menjadi tertanya-tanya jika berlaku suatu keadaan kepadanya.

Secara asasnya, perbuatan kentut ialah mengeluarkan sesuatu angin daripada saluran dubur. Tetapi, adakala apabila ia berlaku ketika sedang berendam dalam air maka berkemungkinan air akan tersedut sedikit masuk ke dalam dubur. Jika hal ini berlaku ia membatalkan puasa kerana secara adatnya perbuatan itu boleh menyebabkan masuknya air ke dalam rongga yang terbuka.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, kata beliau:

لَوْ عُرِفَ مِن عَادَتِهِ أَنَّهُ يَصِلُ الْمَاءَ مِنْهُ إِلَى جَوْفِهِ أوْ دِمَاغِهِ بِالانغِمَاسِ وَلاَ يُمْكِنُهُ التَّحَرُّزُ عَنْهُ أَنَّهُ يُحْرُمُ الانغِمَاسُ وَيَفْطِرُ قَطْعاً

Maksudnya: Kalaulah seseorang mengetahui secara kebiasaanya bahawa jika dia berendam di dalam air akan menyebabkan air masuk ke dalam rongga terbuka atau otaknya maka haram berendam dan (perbuatan tersebut) membatalkan puasa menurut kesepakatan ulama Syafiʻiyyah.[1]

Manakala perbuatan kentut ketika mandi di siang hari pada bulan Ramadan pula bukanlah suatu keadaan berendam di dalam air tetapi sekadar untuk bersuci dengan membasahi tubuh badan dengan air sama ada menggunakan shower atau gayung. Walaupun ketika kentut itu dia terasa air masuk ke dalam rongga duburnya maka tidak membatalkan kerana kebiasaannya kentut Ketika mandi tidak menyebabkan air masuk ke dalam lubang dubur.

Berdasarkan kepada penelitian di atas, dapat disimpulkan bahawa kentut ketika mandi di siang hari pada bulan Ramadan dengan menggunakan shower atau gayung tidak membatalkan puasa walaupun ketika kentut itu dia terasa air masuk ke dalam rongga duburnya. Ini kerana perbuatan tersebut tidak dikategorikan perbuatan yang sengaja mendedahkan air masuk ke dalam rongga badan seperti berendam. Wallahuaʻlam.

[1] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyah, 1983), 3: 406.

Cetak